Cerpen

Cinta Dalam Diam (Siri Akhir)

………

“Aku pulang dulu ya, terima kasih kerana izinkan aku tidur dibilik kau semalam, kalau nak jumpa lagi call je la ye,” Hanan menghampiri Auliya untuk bersalaman.

*******************

Tenang. Itulah perasaan yang dirasai setelah bertemu dengan sahabat lamanya, Auliya’.

Hampir terlupa yang dia terbawa pulang buku Auliya. ‘Aku belum maklumkan kepada dia yang aku nak pinjam buku ni,’ Segera Hanan menghantarkan mesej kepada Auliya.

“Syamail Muhammadiyyah,” Macam pernah dengar la nama ni, tapi dimana ya?

Kehidupan Hanan bukanlah datang daripada keluarga yang kuat mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya. Hanan kurang diberi pendedahan tentang agama daripada rumah. Dia mula tahu kewajipan menutup aurat pun melalui ustazahnya semasa dia di sekolah menengah. Kali terakhir dia mendengar sirah nabi adalah semasa tingkatan 5.

Hanan tidak begitu familiar dengan nama Nabi Muhammad SAW. Tetapi jika disebut Rasulullah SAW dia lebih tahu kerana selalu mendengar orang menyebut panggilan tersebut.

“Hatinya terpanggil-panggil untuk membaca buku ini sedangkan Hanan bukanlah seorang yang suka membaca buku yang tebal sebegini,” Maka bermulalah kisah Hanan dalam kembara mencari Cinta… Buku diselak dengan penuh berhati-hati.. Bab pertama mengenai rupa bentuk Rasulullah SAW.

Allah Maha Besar, indahnya kejadiaanmu Ya Rasulullah. Sedikit demi sedikit Hanan menyimpan hasrat untuk bertemu dengan Baginda.

Mulianya kamu, tidak pernah lagi seumur hidup Hanan membaca riwayat kisah hidup seseorang sedetail ini… Cara berjalan, cara berpakaian, cara makan hinggakan cara baginda ketawa juga turut diceritakan. Istimewanya baginda… Semakin dibaca, hati Hanan semakin merasakan sesuatu. Sesuatu yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata… Adakah ini Cinta?

“Adakah lelaki ini yang dikasihi oleh Auliya?” Segala persoalan semakin hampir kepada jawapannya.

Pertemuan dengan buku itu menyebabkan kehidupan Hanan berubah 360 darjah. Perlahan-lahan, dia cuba mengikuti sunnah Nabi. Dia mula belajar berpuasa pada Isnin dan Khamis. Dulu jika Hanan gemar menonton drama Korea, sekarang masanya banyak dihabiskan dengan mendengar kuliah di Youtube berkenaan sirah Nabi Muhammad SAW. Perubahan pada diri Hanan dihidu oleh Aina dan kawannya yang lain. Sangkaan mereka, Hanan mengalami stress melampau akibat putus cinta.

*******************

‘Rumah Anak Yatim Darul Firdaus. Dekat dengan bandar ni… Boleh la pergi melawat hujung minggu ni.’ Bisik Hanan pada diri-sendiri. Semenjak hatinya mula terpaut kepada akhlak Nabi Muhammad SAW, apa saja berkaitan dengan Baginda, Hanan cuba ikuti. Baginda SAW merupakan anak yatim piatu ketika usia yang masih kecil. Disebabkan itu, Hanan gagahkan dirinya menyantuni anak-anak yatim walaupun hakikat sebenar, Hanan tidak menyukai kanak-kanak. Cinta ini telah menuntun Hanan untuk berakhlak mulia dengan sesiapa sahaja.

Bab kewafatan Rasulullah SAW. Hanan meneruskan bacaan Syamail Muhammadiyyah yang hanya berbaki beberapa muka surat saja lagi. Airmata mengalir tanpa henti apabila membaca bab ini. Baginda telah lama meninggalkan umatnya. Rindu mula menyelubungi hidup Hanan.

Jahilnya aku tidak pernah kenal Nabi aku sendiri, hinanya aku, aku lebih kenal artis Korea berbanding Nabi aku sendiri, disaat aku dilimpahkan kekayaan, tidak langsung aku ingat kepada orang yang susah, sedangkan Baginda tidak pernah mengumpul kekayaan melainkan akan disedekahkan kepada fakir miskin dan untuk berjihad di jalan Allah. Hanan menyesali kealpaannya selama hidup ini.

********************

Hanan mencapai tudung bawal bidang 55’ berwarna hijau. Jubah hitam pemberian Auliya dipakai olehnya. Hatinya berasa begitu tenang pada pagi yang hening itu. Hari ini dia sudah berjanji untuk bersama-sama Auliya ke Majlis sambutan Maulidur Rasul di bandar. Hajatnya ingin memulangkan buku Syamail Muhammadiyah yang dipinjam olehnya bulan lepas kepada Auliya. Hanan juga ingin menceritakan yang dia sudah mula mencintai Nabi Muhammad SAW dalam diam tanpa pengetahuan siapa-siapa pun. Auliya yang akan menjadi orang pertama mengetahuinya.

Langkahnya diatur dengan tenang. Selawat tidak lekang dibibirnya. Tiba-tiba matanya ternampak seekor anak kucing. “Comelnya anak kucing tu, Rasulullah juga suka kucing. Muezza nama kucing Baginda.” Teruja sekali Hanan apabila melihat kucing terbabit yang sedang menyeberangi jalan. Wajah kegembiraan Hanan bertukar cemas kerana ada sebuah kereta Honda Jazz putih meluru laju kearah anak kucing terbabit. Pemilik kereta itu tidak nampak kehadiran anak kucing ditengah jalan. Sepantas kilat Hanan berlari ke tengah jalan, anak kucing itu didakap erat dalam pelukan tangannya.

“Allahuakbar!” Dumm!!! Jeritan Hanan kedengaran dan seketika kemudia, kereta Honda itu terlanggar batang tubuhnya.

“Hanan!” Auliya yang baru keluar daripada kedai runcit menjerit apabila menyedari sahabatnya dilanggar. Segera dia berlari dan dipangkunya kepala Hanan. Darah merah mengalir dengan begitu banyak.

“Meow… Meoww…” Anak kucing yang diselamatkan oleh Hanan masih dipegang kemas dalam dakapan gadis itu, selamat.

Orang ramai mula mengerumuni tempat kejadian. Pemandu kereta Honda Jazz itu begitu cuak. Dengan pantasnya tubuh Hanan dimasukkan didalam kereta dengan bantuan 3 orang muslimat untuk dihantar ke hospital.

“Mengucap ya Hanan, ingat Allah.. Dah nak sampai hospital ni…” Tudung hijau Hanan dibasahi dengan darah.

“Aaaku… tak kuat dah Liiyaa…” Tergagap Hanan cuba menuturkan kata-kata terakhir. “Terima kasih kenalkan aku dengan… ugh… Kekasih kau… Aaakuu pun cintai dia… Aku juga rinduu dia…,” Hanan cuba mengukirkan senyuman walaupun kesakitan sakaratul maut kian menguasai.

Nafasnya tercunggap-cunggap, menandakan ajalnya hampir tiba. Auliya mengesat air mata, ditabahkan hatinya untuk membantu Hanan mengucap dua kalimah syahadah.

Hanan menghembuskan nafas terakhir pada hari Isnin bersamaan 12 Rabiulawal 1440H. Salah satu doanya adalah ingin mati pada tarikh yang sama dengan Baginda Nabi SAW.

*******************

(Seminggu sebelum kejadian)

“Liya aku nak tanya ni, apa pendapat kau kalau ada orang lain mencintai kekasih kau?”

Terpinga-pinga Auliya mendengar soalan Hanan. “Sejak bila pula aku bercinta ni?” Tanya Auliya kembali. “Haritu kan kau ada kata kau mencintai seorang lelaki. Buat-buat lupa pula ye,”

“Oh… Kalau Dia yang kau maksudkan, aku okey je. Lagi ramai yang jatuh cinta pada dia lagi aku suka,” Gembira sekali Auliya menuturkan kata-kata itu.

Cinta ini aneh,

Jika kita mencintai seseorang, pasti kita tidak mahu manusia lain mencintainya,

Tetapi berlainan apabila mencintai Baginda SAW,

Berkongsi kecintaan yang sama merupakan matlamat utama para pencinta Nabi Muhammad SAW.

Buku Syamail Muhammadiyyah dicapai Auliya.

Terselit sekeping surat tulisan arwah Hanan pada muka surat bab menceritakan peristiwa kewafatan Baginda SAW.

‘Kau hadir disaat hati ini terluka kerana makhluk,

Namamu telah mengisi kekosongan dihatiku,

Melalui cintamu aku kenal cinta Tuhanku,

Akhlakmu meruntun jiwaku,

Seluruh kehidupanmu digadaikan hanya demi umatmu,

Menatap wajahmu adalah impianku,

Ya Allah… Izinkan rasa cinta ini terus subur didalam sanubariku.

Biarlah aku terus merinduinya,

Biarkan aku terus mengasihinya,

Biarkan aku terus mencintainya dalam diam.

Kerana dalam diam itu, aku pasti Engkau Maha Mendengar.

(Nur Hanan Qomarina)’

Auliya mengesat air matanya.

‘Cemburunya aku dengan kematian kau Hanan…

Akhir hidup kau tidak sempat merasai cinta manusia,

Tetapi Allah beri kau merasai cinta yang tulus kepada Baginda SAW.

Ya Allah, Kau kurniakan kami nikmat mencintaiMu dan kekasihMu, dan berikanlah hati kami ini kepada insan yang hatinya turut mencintaiMu dan Kekasihmu.

Hannan… bererti Kesayangan… Semoga engkau menjadi kesayangan Rasulullah SAW.’

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi kamu, Dan(ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”

[Ali ‘Imran: 31]

No Comments

    Leave a Reply