Saya menyeru para ibu bapa dan penjaga sekalian bersama-sama membuka mata dan hati terhadap satu isu yang semakin kritikal iaitu kesihatan mental anak-anak muda kita.
Laporan terkini daripada Persidangan Antarabangsa Sarawak mengenai Kesihatan Mental Belia 2025 mendedahkan bahawa tekanan yang dihadapi oleh golongan belia hari ini semakin berat.
Antaranya daripada tekanan akademik, ketidaktentuan ekonomi, keterikatan dengan teknologi digital, hinggalah kepada retaknya institusi kekeluargaan.
Wahai para ibu bapa dan penjaga sekalian, marilah janganlah kita memandang ringan rintihan anak-anak ini.
Mereka mungkin tidak meluahkan secara terus, namun beban di hati mereka nyata.
Laporan menunjukkan seorang daripada lima remaja sedang bergelut dengan masalah kesihatan mental.
Jika kita benar-benar mahu melahirkan generasi masa depan yang mampu memimpin dan membawa perubahan, kita memulakannya dari rumah. Mulakan dengan cuba mendengar, memahami dan mencipta ruang selamat untuk mereka berbicara.
Kita juga perlu sedar bahawa tekanan mental ini bukan sekadar berlaku di bandar.
Malah, anak-anak di luar bandar dan kawasan terpinggir lebih terdedah kerana kekurangan akses kepada perkhidmatan sokongan.
Justeru, marilah kita sebagai ibu-ibu atau bapa-bapa menjadi kaunselor pertama mereka. Marilah kita berusaha dengan kelembutan, berdoa, kasih sayang dan keperihatinan.
Ingatlah, Rasulullah ﷺ bersabda bahawa senyuman itu sedekah, apatah lagi mendengar luahan hati seorang anak yang sedang tertekan.
Jangan biarkan mereka mencari pengganti ibu di luar sana yang belum tentu membawa mereka ke jalan yang benar.
Kitalah tempat pulangnya hati mereka.

No Comments