Kebelakangan ini, isu pelantikan Ketua Hakim Negara kembali menjadi perbincangan hangat dalam kalangan ahli akademik, pengamal undang-undang dan ahli politik.
Terdapat dakwaan menyatakan bahawa terdapat campur tangan Perdana Menteri dalam pelantikan ketua hakim negara bagi menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang telah tamat tempoh perkhidmatan pada 1 Julai 2025.
Pelantikan YAA Wan Ahmad Farid sebagai Ketua Hakim Negara telah menamatkan spekulasi yang timbul.
Namun begitu, persoalan utama yang wajar dikupas adalah sejauh mana proses pelantikan ini bebas daripada sebarang campur tangan luar, termasuklah daripada pihak eksekutif, dan bagaimana perkara ini telah mencetuskan polemik konflik kepentingan dalam konteks semasa.
Pertama perlu difahami bahawa Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang berteraskan pemisahan kuasa antara tiga cabang utama iaitu badan legislatif, eksekutif dan kehakiman.
Cabang kehakiman memainkan peranan penting sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap cabang eksekutif dan legislatif.
Oleh itu, kebebasan institusi kehakiman adalah asas kepada keadilan, ketelusan dan keluhuran Perlembagaan.
Proses pelantikan Ketua Hakim Negara perlu selari dengan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong melantik Ketua Hakim Negara atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Ini secara perlembagaannya telah memberi Perdana Menteri peranan penting dalam proses pelantikan tersebut, walaupun pelantikan tersebut secara formal dibuat oleh YDPA.
Sebagai usaha reformasi institusi kehakiman, pada tahun 2009 Perlembagaan dipinda dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 diluluskan di parlimen.
Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) ditubuhkan sebagai badan bebas untuk mencadangkan calon yang layak kepada Perdana Menteri.
Namun, lima daripada sembilan ahli JAC adalah lantikan Perdana Menteri, sekali gus menimbulkan persepsi bahawa ahli lantikan Perdana Menteri mempunyai pengaruh besar dalam suruhanjaya dan dapat menentukan keputusan akhir JAC.
Ini menimbulkan persoalan tentang keberkesanan prinsip pemisahan kuasa dan sejauh mana JAC benar-benar bebas dalam membuat keputusan tanpa pengaruh eksekutif.
Kebimbangan terhadap kemungkinan campur tangan politik semakin ketara apabila Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mempunyai kes yang masih berjalan di mahkamah.
Keadaan ini menimbulkan konflik kepentingan yang serius dan mencetuskan persepsi bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara mungkin dibuat berdasarkan kepentingan politik, bukan merit dan kelayakan undang-undang.
Dalam sebuah sistem demokrasi yang sihat, persepsi ini amat bahaya kerana ia boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap kebebasan dan integriti sistem kehakiman.
Bagi memelihara institusi kehakiman, pelbagai pihak termasuk Badan Peguam Malaysia telah menggesa agar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) dipinda untuk mengurangkan pengaruh eksekutif dalam JAC.
Cadangan-cadangan termasuk:
• Mengurangkan kuasa Perdana Menteri dalam pelantikan ahli JAC.
• Menambah penyertaan badan bebas seperti pengamal undang-undang dan wakil masyarakat sivil.
• Menubuhkan Jawatankuasa Pemilih Parlimen yang memainkan peranan semak dan imbang terhadap proses pelantikan kehakiman.
• Menetapkan tempoh pelantikan yang tetap dan proses penilaian berdasarkan merit.
Kesimpulan, mengikut perlembagaan, Perdana Menteri mempunyai kuasa yang dominan dalam pelantikan Ketua Hakim Negara berdasarkan peruntukan Perlembagaan sedia ada. Walaupun JAC ditubuhkan sebagai usaha reformasi, pengaruh eksekutif masih besar dan memungkinkan berlakunya campur tangan, sama ada secara langsung atau melalui persepsi awam.
(Artikel ini diambil daripada laman Facebook rasmi Yayasan Kedah Sejahtera yang diterbitkan pada 24 Julai 2025)

No Comments