Perundangan

Kronologi Dan Persepsi Pelantikan Ketua Hakim Negara

Isu pelantikan Ketua Hakim Negara (KHN) telah menjadi topik hangat dalam kalangan masyarakat sivil, ahli undang-undang, akademik dan pemerhati politik negara. Ini menunjukkan keresahan terhadap sejauh mana sistem kehakiman negara benar-benar menjalani proses reformasi yang menjamin kebebasan institusi ini daripada pengaruh eksekutif. Berikut merupakan perkembangan isu ini secara kronologi:

Pada 1 Julai 2025, tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara, YAA Tun Tengku Maimun Tuan Mat, tamat secara rasmi. Tun Tengku Maimun merupakan wanita pertama yang menyandang jawatan ini dan dikenali melalui beberapa keputusan penting dalam kes berprofil tinggi, khususnya berkaitan kepentingan awam dan isu perlembagaan.

Selepas tamat tempoh perkhidmatan mengikut Perlembagaan Persekutuan, kerusi Ketua Hakim Negara telah dipangku oleh YAA Dato’ Hasnah Mohammed Hashim. Pada masa yang sama, Presiden Mahkamah Rayuan juga bersara. Situasi dua jawatan kehakiman tertinggi berada dalam status pemangkuan serentak merupakan keadaan luar biasa yang membangkitkan persoalan tentang kestabilan institusi kehakiman.

Beberapa nama mula disebut-sebut sebagai calon KHN sepanjang Julai 2025, antaranya YAA Dato’ Zabariah Mohd Yusof (Hakim Besar Malaya), YAA Dato’ Hasnah (Hakim Mahkamah Persekutuan), dan Tan Sri Ahmad Terrirudin Salleh (Peguam Negara). Namun, sehingga pertengahan Julai, tiada pengumuman rasmi dibuat, sekaligus mencetuskan kekeliruan serta pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat dan komuniti undang-undang.

Menjelang pertengahan bulan Julai, tokoh-tokoh undang-undang serta pertubuhan masyarakat sivil yang memperjuangkan integriti kehakiman mula menyuarakan kebimbangan secara terbuka. Mereka mendesak agar proses pelantikan Ketua Hakim Negara disegerakan bagi mengelakkan kekosongan berpanjangan dan ketidakstabilan dalam struktur kehakiman negara.

Akhir Julai 2025, pelantikan rasmi diumumkan dan YAA Tan Sri Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu. Walaupun pelantikan ini menamatkan spekulasi, ia turut mencetuskan reaksi bercampur-baur, memandangkan latar belakang beliau sebagai bekas ahli politik — termasuk pernah menjawat jawatan Senator dan Timbalan Menteri Dalam Negeri. Pelantikan ini sekali lagi menghidupkan persoalan berkenaan kebebasan institusi kehakiman daripada pengaruh politik.

Lebih kontroversi, timbul pula dakwaan bahawa terdapat kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang menyenaraikan nama Tan Sri Ahmad Terrirudin Salleh sebagai antara calon utama KHN. Kebocoran ini menimbulkan tanda tanya serius tentang ketelusan proses pelantikan. Tambahan pula, terdapat dakwaan bahawa syor JAC yang mengutamakan calon dari kalangan hakim kanan sedia ada tidak diambil kira oleh Perdana Menteri, sekali gus mencerminkan kelemahan fungsi semak dan imbang yang sepatutnya dijalankan oleh JAC.

Secara perundangan, Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Namun, ruang budi bicara yang luas kepada Perdana Menteri dalam mencadangkan nama calon boleh menimbulkan persepsi campur tangan politik, khususnya apabila pihak dalam eksekutif mempunyai kepentingan dalam kes-kes yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang ditubuhkan pada tahun 2009 melalui Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) bertujuan meningkatkan ketelusan dan kredibiliti pelantikan hakim. Namun, Seksyen 5 Akta tersebut menetapkan bahawa lima daripada sembilan ahli JAC dilantik oleh Perdana Menteri. Perkara ini menimbulkan persoalan lanjut sejauh mana suruhanjaya ini benar-benar bebas dan tidak terdedah kepada pengaruh eksekutif — khususnya apabila syor mereka boleh diketepikan tanpa alasan yang didedahkan kepada umum.

Kronologi pelantikan Ketua Hakim Negara pada tahun ini memperlihatkan beberapa kelemahan struktur dalam proses pelantikan kehakiman tertinggi negara. Kelewatan, ketidaktelusan, kebocoran maklumat serta persepsi campur tangan politik telah memberi kesan kepada keyakinan masyarakat terhadap kebebasan institusi kehakiman.

Justeru, sudah sampai masanya satu reformasi menyeluruh dilakukan terhadap mekanisme pelantikan kehakiman, termasuk memperkukuh struktur JAC, mengurangkan pengaruh eksekutif, serta mewujudkan sistem yang lebih terbuka dan bertanggungjawab. Hanya melalui langkah ini, institusi kehakiman baru benar-benar berfungsi sebagai tiang seri kepada prinsip kedaulatan undang-undang negara.

(Artikel ini diambil daripada laman Facebook rasmi Yayasan Kedah Sejahtera yang diterbitkan pada 4 Ogos 2025)

No Comments

    Leave a Reply