Keluarga adalah komponen penting dalam proses pembentukan masyarakat dan negara.
Sebuah negara tidak mampu berdiri sempurna tanpa institusi keluarga yang kukuh kerana pembentukan jati diri dan moral seseorang individu bermula dari rumah.
Hari ini kita melihat institusi kekeluargaan di Malaysia semakin rapuh disebabkan oleh pelbagai faktor yang menjerat seperti masalah kewangan, campur tangan orang luar, masalah komunikasi, sosial dan sebagainya.
Tambahan pula, dalam era maklumat tanpa sempadan ini, institusi kekeluargaan di Malaysia turut menghadapi cabaran yang semakin kompleks, terutamanya dengan pengaruh pemikiran feminisme dan liberalisme.
Pemikiran ini menyebabkan suami dan isteri tersasar daripada tanggungjawab serta peranan yang telah digariskan oleh ajaran Islam.
Akibatnya, keutuhan institusi keluarga yang sepatutnya menjadi asas kepada masyarakat yang harmoni mula terjejas.
Baru-baru ini bajet diumumkan oleh Menteri Kewangan, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi pengukuhan institusi kekeluargaan di Malaysia.
Antara perincian peruntukan tersebut adalah melalui program Pembinaan Asas Keluarga Negara, Subsidi Rawatan Kesuburan dan Program Pengukuhan Nilai Remaja.
Kementerian Pembangunan Wanita, Kebajikan dan Masyarakat ( KPWKM ) sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam menggerakkan agenda pemerkasaan insitusi keluarga perlu memandang serius usaha untuk menangkis fahaman femisnime dan liberal untuk dijadikan agenda utama dalam program-program pemerkasaan keluarga.
Wacana dan diskusi perlu dijalankan dengan meluas untuk memberikan kefahaman yang betul mengenai konsep pembentukan keluarga menurut ajaran Islam.
Disebabkan oleh kurangnya penghayatan agama dalam pembentukan sesebuah keluarga, ia menyebabkan institusi keluarga mudah rapuh dan tidak resilien dalam menghadapi tekanan dan krisis.
Dalam usaha pengukuhan institusi keluarga, kerajaan tidak seharusnya sekadar fokus kepada program-program keluarga tetapi advoksi secara menyeluruh juga perlu digerakkan di semua peringkat.
Selain itu, negara kita juga mempunyai pelbagai dasar berkaitan keluarga seperti Dasar Wanita Negara, Dasar Kanak-Kanak Negara dan Dasar Keluarga Negara.
Oleh itu, bagi memastikan setiap dasar ini kekal relevan dan berkesan, dasar-dasar tersebut perlu diintegrasikan secara holistik.
Langkah ini akan membolehkan kerajaan menjalankan penilaian semula terhadap dasar-dasar yang sedia ada berdasarkan perkembangan dan cabaran semasa yang melanda institusi keluarga.
Penilaian semula terhadap Dasar adalah langkah penting untuk menangani cabaran-cabaran semasa yang semakin kompleks dalam institusi keluarga, termasuk isu ekonomi, sosial, dan perubahan nilai dalam masyarakat.
Kesimpulannya, kerajaan perlu memainkan peranan yang penting dalam memastikan kelangsungan dan pengukuhan institusi keluarga di Malaysia.
Dengan sokongan yang berterusan, institusi keluarga dapat dipulihkan sebagai asas yang kukuh dalam membina sebuah negara yang harmoni dan sejahtera.
-Yayasan Kedah Sejahtera-

No Comments