Hak Asasi Manusia / Kewangan

Pemilikan Rumah Pertama: Cabaran Keluarga Muda di Malaysia

Pemilikan rumah pertama merupakan salah satu pencapaian penting bagi setiap keluarga kerana rumah bukan sekadar tempat berteduh, tetapi juga lambang kestabilan, keamanan, dan asas kepada pembentukan keluarga.

Dalam konteks kehidupan di Malaysia, memiliki rumah pertama adalah impian setiap keluarga muda sama ada menjadikan rumah tersebut sebagai aset pelaburan atau tempat tinggal.

Tambahan pula, memiliki rumah sendiri dapat mengurangkan tekanan mental dan kebimbangan terhadap masa depan yang tidak menentu.

Kajian oleh Khazanah Research Institute (KRI) pada tahun 2019 mendapati bahawa pemilikan rumah secara signifikan meningkatkan kesejahteraan mental dan rasa keselamatan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pasangan yang memiliki rumah sendiri cenderung untuk melaporkan tahap kepuasan hidup yang lebih tinggi berbanding mereka yang masih menyewa.

Selain itu, pemilikan rumah pertama juga merupakan menjadi asas penting untuk perancangan masa depan.

Perkara ini disokong oleh kajian oleh PwC Malaysia pada tahun 2022 yang menyatakan pasangan muda yang memiliki rumah sendiri lebih cenderung untuk merancang masa depan mereka dengan lebih berstruktur.

Kajian ini mendapati bahawa 74 peratus daripada pemilik rumah di bawah umur 35 tahun telah membuat pelan kewangan jangka panjang, berbanding hanya 54 peratus daripada mereka yang menyewa.

Namun begitu, cabaran yang sering dihadapi oleh pasangan muda untuk memiliki rumah adalah kekangan kewangan.

Rata-rata pasangan muda yang mendirikan rumah tangga berumur lingkungan antara 25 tahun hingga 35 tahun.

Mereka ini masih berada di peringkat awal kerjaya dengan pendapatan yang sederhana dan belum mempunyai kestabilan kewangan.

Tinjauan oleh Bank Negara Malaysia mendapati hampir 70 peratus daripada keluarga muda di bawah umur 30 tahun berhadapan dengan masalah simpanan yang tidak mencukupi untuk membayar wang pendahuluan rumah.

Tambahan pula, kadar faedah pinjaman perumahan yang semakin tinggi menyukarkan lagi proses pemilikan rumah.

Selain itu, harga rumah yang semakin meningkat turut menjadi faktor utama, terutamanya di kawasan bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, dan Pulau Pinang.

Oleh itu, penting untuk kerajaan melihat pemilikan rumah pertama bagi keluarga muda sebagai isu utama yang perlu diberi perhatian dalam dasar kerajaan. Seperti menyediakan pelbagai pendidikan dan kursus kewangan bagi meningkatkan literasi pengurusan kewangan yang betul kepada pasangan muda yang berhasrat memiliki rumah pertama.

Akhir sekali, usaha kerajaan dalam membina rumah kos rendah adalah langkah yang penting dan positif, namun ia masih belum mencukupi untuk membantu golongan sasaran memiliki kediaman sendiri secara menyeluruh.

Terdapat keperluan untuk menambahbaik lokasi, kualiti, dan akses kewangan bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat memiliki rumah yang selesa dan mampu milik.

No Comments

    Leave a Reply