Perkahwinan adalah sebuah institusi mulia yang menjadi lambang kehormatan pasangan suami isteri. Tujuan disyariatkan perkahwinan di dalam Islam.
Namun, banyak pasangan memilih untuk bercerai apabila mereka sudah tidak merasai ketenangan dan kedamaian di dalam perkahwinan disebabkan oleh pelbagai konflik dan masalah. Menurut laporan statistik perkahwinan dan penceraian Malaysia 2022, jumlah penceraian rakyat di negara ini meningkat 12 peratus kepada 56,975 pada tahun 2021 berbanding 50,862 pada tahun sebelumnya.
Negeri Kedah mencatatkan rekod tertinggi bagi kes perceraian di Malaysia iaitu sebanyak 13,101 kes pendaftaran penceraian bagi pasangan beragama Islam dicatatkan di Kedah bagi tempoh empat tahun dari 2019 hingga 2022. Menurut kajian yang diterbitkan oleh Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Universiti Sains Islam Malaysia , terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada penceraian dalam kalangan orang dewasa.
Antaranya disebabkan oleh tiada persefahaman, pengabaian tangungjawab nafkah zahir dan batin, faktor personaliti, campur tangan orang ketiga dan masalah kewangan. Kedudukan Kedah sebagai negeri yang tertinggi mencatatkan kes cerai mesti dipandang serius oleh semua pihak kerana penceraian boleh membawa kepada keruntuhan institusi kekeluargaan sekaligus menyumbang kepada masalah kepincangan yang serius dalam masyarakat.
Pada tahun lepas Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Kerajaan Negeri Kedah telah melaksanakan program Raikan Cinta sebagai inisiatif untuk membantu pasangan membina keluarga bahagia.
Penganjuran program sebegini amat baik untuk memberi advokasi dan kefahaman kepada pasangan suami isteri. Namun, program “Raikan Cinta” ini dilihat lebih efektif sekiranya dapat dilaksanakan di setiap DUN Negeri Kedah agar sasaran lebih berfokus kepada keluarga yang
bermasalah.
Selain itu, dalam berdepan isu penceraian yang tinggi di Kedah. Kerajaan Negeri perlu lebih proaktif dan keterhadapan untuk mencari solusi yang tuntas untuk mengukuhkan institusi keluarga di Kedah.
Dalam konteks Kedah, kerjasama rentas portfolio Kerajaan Negeri sangat diperlukan kerana isu penceraian melibatkan agensi agama, golongan belia dan wanita.
Sidang meja bulat melibatkan pemegang taruh institusi perkahwinan dan keluarga di peringkat negeri perlu dilaksanakan segera untuk mengenalpasti punca utama penceraian di Kedah bagi menghasilkan satu Pelan Tindakan Pengukuhan Institusi Keluarga Kedah.
Kesimpulannya, isu penceraian yang tinggi di Kedah perlu diberi perhatian khusus oleh pihak berkepentingan kerana tanpa institusi keluarga yang utuh, kewujudan negara tidak akan sempurna.

No Comments