“Al-Wiladah bererti bersalin. Kadang-kadang bersalin anak itu tidak diikuti dengan keluarnya darah (nifas), namun hukum bagi wanita pada keadaan itu sama dengan hukum janabah.
Ini kerana anak yang lahir itu ialah hasil gabungan air mani wanita dan air mani lelaki. Hukumnya tetap sama walaupun berbeza (bentuk) kandungan yang dilahirkan atau cara melahirkannya.
Apabila kelahiran anak diikuti dengan keluarnya darah seperti kebiasaan perempuan yang melahirkan anak, darah tersebut dinamakan nifas yang mempunyai beberapa hukum tertentu.” (Kitab Fiqh Al-Manhaji )
- Kebiasaan bagi wanita bersalin akan keluar darah nifas yang mewajibkan wanita itu mandi wajib.
- Jika wanita itu bersalin tanpa darah apa pun, pandangan dalam mazhab Syafie, wanita itu tetap dikira berhadas besar dan wajib mandi.
- “Hukumnya tetap sama walaupun berbeza (bentuk) kandungan yang dilahirkan atau cara melahirkannya” Bererti jika kandungan yang dilahirkan itu berbentuk alaqah (gumpalan darah), atau mudghah (gumpalan daging) seperti dalam kes keguguran, tetap dikira wiladah dan wajib mandi.
Begitu juga kelahiran Cesarean, yakni kandungan keluar bukan daripada faraj wanita tetapi melalui pembedahan di kawasan abdomen, tetap mewajibkan mandi. Apabila seseorang wanita itu bersalin dan bernifas, adakah dia perlu mandi dua kali? Pertama akibat wiladah dan kedua akibat nifas?
[ Jawapannya ialah : ] TIDAK PERLU kerana memadai mandi dengan sekali sahaja.
BILAKAH WAKTU UNTUK MANDI WAJIB AKIBAT WILADAH?
Jawapan:
Selepas bersalin dan apabila berhenti keluarnya darah nifas dalam keadaan naqa’, yakni jika dimasukkan kapas ke dalam faraj lalu dikeluarkan tidak ada kesan-kesan darah, kekeruhan atau kekuningan. Jika darah sudah berhenti tetapi jika dimasukkan kapas masih dilihat kesan darah, warna keruh atau kekuningan, maka itu adalah keadaan tempoh yang menunjukkan masih dalam keadaan bernifas. –>> Tidak sah seseorang yang mandi hadas (wiladah) ketika dia dalam keadaan bernifas, mandi hadasnya tidak terangkat.
CARA NIAT MANDI HADAS WILADAH DAN NIFAS :
- Meniatkan setiap hadas besar yang dialami dan dimaksudkannya. Contoh, jika dia mengalami dua hadas besar iaitu nifas dan junub maka diniatkan kedua-duanya sekali. “ Sahaja aku mengangkat hadas nifas dan junub”.
- Memadai niat hanya satu niat sahaja atau satu niat yang umum merangkumi kesemua hadas. “Sahaja aku mengangkat hadas akbar (besar)” ( atau ) “Sahaja aku menunaikan fardhu mandi atau seumpama dengannya”.
Kesimpulannya, menurut ulama Feqah, sekiranya seseorang itu mengalami dua hadas besar atau lebih, hukumnya adalah sah jika dia mengangkat kesemua hadas tersebut sekaligus dengan satu mandi sahaja.
Rujukan : AlKafi Li Al Fatawi.
Disebabkan ramai sangat saudari, ibu-ibu dan wanita yang bertanya tentang masalah ini, jadi saya cuba ringkaskan.. Moga bermanfaat dan sampai.
Wallahua’lam.

No Comments