“Tak, kita berpuasa bukan kerana nak merasai apa yang orang miskin dan lapar rasa, tu hanya hikmah puasa.”
Perbualan dengan semua anak-anak tentang ibadah puasa bulan Ramadan petang tadi. Kefahaman “Upin Ipin” yang perlu di kikis. Tujuan berpuasa adalah untuk menjalankan perintah Allah. Puasa itu satu ibadah, sama macam ibadah solat, zakat, tunaikan haji ke Baitullah.
Perintah Allah, suruh kita puasa. Kita dengan susah payah, sabar melaksanakan perintah Allah dalam susah, tu membuktikan kita adalah orang beriman. Sabar dalam melaksanakan taat. Melalui ibadah yang sama dengan ibadah Rasulullah pernah buat dulu.
“Kenapa puasa kena tahan lapar, tak boleh makan dan minum ummi?”
Itulah syarat ibadah puasa, disiplin ibadah puasa. Tak lain tak bukan untuk mendidik, menjadi hamba Allah yang boleh kawal diri di samping kita merasai apa yang saudara seislam kita yang susah rasa.
Susah nak makan, nak minum, lemah tubuh badan dengan kurangnya makanan, tapi tu bukanlah tujuan utama puasa.
“Macam solat la abang, kakak, kak chik. Lepas kita angkat saja takbiratul ihram, tak boleh bercakap, tak boleh makan minum, tak boleh ucap perkataan lain selain daripada ayat-ayat di dalam rukun solat. Itulah disiplin ibadah solat,”
Refresh dan refresh balik,
Rukun islam kita, tiang kepada agama islam. Biar mereka faham kenapa tiang ini didirikan. Kenapa ada 5 rukun ini sebagai rukun islam.
- Syahadah
- Solat
- Puasa
- Zakat
- Haji
Agar mereka bertumbuh menjadi hamba Allah yang faham akan perintah ibadah. Bukan hanya tempelan, bukan hanya melakukan ibadah dan suruhan Allah tanpa faham hanya dapat paksaan tanpa penerangan.
Generasi anak-anak sekarang bukan lagi generasi suap telan suap telan. Mereka berhak mendapat didikan atas disiplin ilmu agama yang sebenar. Untuk memastikan amal mereka amal yang sahih.
Maka ke atas ibu bapa juga wajib berilmu, mendidik dengan ilmu, dididik ibu bapa dengan ilmu.

No Comments