Kita harus menyedari bahawa setiap manusia itu merupakan Khalifah yang di amanahkanNya untuk mengurus, mentadbir serta memimpin manusia lain menjalani kehidupan manusiawi dengan hukumNya dan peraturan-Nya. Oleh sebab itu, sebagai seorang khalifah, ia perlu tahu bagaimana cara untuk memimpin dirinya sendiri sekaligus ia memimpin dan membimbing sesiapa sahaja yang menjadi da’ie dalam lingkungan dakwahnya.
Definisi kepemimpinan menurut perspektif Islam merupakan suatu amanah yang wajib ditunaikan. Manakala pemimpin adalah orang yang bertanggungjawab untuk menjaga dan menguruskan orang lain atau menjaga sesuatu yang diamanahkan kepadanya. Firman Allah SWT yang bermaksud:
إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلْأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰٓ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحْكُمُوا۟ بِٱلْعَدْلِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعًۢا بَصِيرًۭا
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan Segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum Dengan adil. Sesungguhnya Allah Dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran Yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat,” [An Nisa’: 58]
Termasuk dalam suruhan ialah menunaikan kewajipan syarak yang merupakan amanah Allah SWT kepada manusia. Pemimpin bertanggungjawab menjaga pancainderanya daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan menunaikan segala amanah yang menjadi amalan manusia dalam pergaulan seharian.
Dengan ini dikatakan setiap manusia dipertanggungjawabkan untuk mengurus atau menjaga sesuatu amanah (tugas) khususnya pemimpin dan hakim adalah berkewajipan melaksanakan tugasnya dengan baik.Samada urusan tersebut berkaitan dengan hak Allah SWT. Bertepatanlah sebagaimana sabda Rasulullah SAW, diriwayatkan oleh Ibnu Umar :
حدثنا عبد الله بن مسلمة عن مالك عن عبد الله بن دينار عن عبد الله بن عمر أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال :
ألا كلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته فالأمر الذي على الناس راع عليهم وهو مسئول عنهم والرجل راع على أهل بيته وهو مسئول عنهم والمرأة راعية على بيت بعلها وولده وهي مسئوله عنهم والعبد راع على مال سيده وهو مسئول عنه فكلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته
Ibnu Umar r.a berkata: Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannya. Seorang Ketua Negara akan diminta pertanggungjawab perihal rakyat yang dipimpinnya.seorang suami akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri yang memelihara rumahtangga suaminya akan ditanya perihal tanggungjawabnya dan tugasnya. Bahkan seorang pembantu rumah atau pekerja rumahtangga yang bertugas memelihara barang milik majikannya juga akan ditanya (diminta pertanggungjawaban) dari hal yang dipimpinnya. [Riwayat Bukhari dan Muslim]
Kepimpinan dalam Islam bukanlah alat untuk mendapatkan kekayaan, pangkat dan kesenangan hidup di dunia. Malahan ia merupakan amanah yang wajib ditunaikan oleh setiap manusia yang hidup dalam sistem Allah SWT, sedarilah bahawa bumi ini milik Allah SWT yang mutlak. Kita sedang berhidup dibawah Pemerintahan-Nya. Seharusnya manusia itu mentadbir alam ini dengan hukum-Nya, dengan peraturan-Nya (Al Quran) dan juga menjadikan Sunnah Rasulullah SAW itu panduan kita dalam menjalani kehidupan insani.
Kecuaian dan kegagalan pemimpin dalam melaksanakan tanggungjawabnya itu akan mengakibatkan penyesalan yang berpanjangan dan kerugian yang paling besar dalam hidupnya di dunia dan diakhirat kelak iaitu pada hari perhintungan amalan. Ingatlah segala kerja buat kita pada hari ini, hari-hari yang kita pada masa lalu dan pada masa akan datang. Setiap kerja buat kita ini akan dibentangkan di mahkamah Allah SWT di akhirat kelak.
Dan setiap dari kita tidak akan terlepas dari catatan dua malaikat yang ditugaskanNya menemani kita sejak diawal kelahiran kita sehinggalah roh kita terpisah dari jasad kita.Dua malaikat ini tidak pernah berhenti menulis,setiap darinya ada dalam catatan amalan kita.
Segala kebajikan,segala kebaikan,segala keburukan,kejahatan kita hatta sebesar zarah sekalipun diambil kira. SUATU PERINGATAN UNTUK RENUNGAN BERSAMA.
Seorang Pemimpin yang hebat akan bergerak dengan iman, ia merupakan sinergi yang diyakini dalam hati (Tasdiqun Bil Qalbi) diikrarkan dengan lisan (Ikrarun Bi Lisan) dan diamalkan dengan perbuatan (Amalun Bil Arkhan). Iman yang benar sebagaimana yang digambarkan Allah SWT laksana pohon yang akarnya menjunam jauh ke dalam tanah, rantingnya menjulang tinggi ke udara dan setiap buahnya yang lazat dapat dijamah oleh manusia dan segala makhluk di sekelilingnya. Seseorang manusia yang tahu akan hakikat keberadaannya di atas muka bumi Allah akan berusaha sedaya upaya untuk menjadi khalifah yang terbaik, walaupun dirinya terpaksa menelan 1001 kepahitan.
Kerana kepemimpinan yang hebat itu dilahirkan melalui tarbiyyah Ilahi, ia melalui dan menjalani suatu proses perjalanan hidup atau satu proses tarbiyyah yang telah disusun atur secara natural dengan cantik dan indah atas kehendak dan izin Allah SWT. Bertepatanlah dengan firman Allah SWT dalam surah al-Insyirah yang bermaksud:
1. Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (Wahai Muhammad serta mengisinya Dengan iman dan hidayah petunjuk) ?
2. dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam) ,
3. Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan Dalam melaksanakannya)?
4. dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?
5. oleh itu,maka(tetapkanlah kepercayaanmu)Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
6. (sekali lagi ditegaskan): Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
7. kemudian apabila Engkau telah selesai (daripada sesuatu amal Soleh), maka bersungguh-sungguhlah Engkau berusaha (mengerjakan amal soleh Yang lain),
8. dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah Engkau memohon (Apa Yang Engkau gemar dan ingini).
Pemimpin yang menyedari hakikat keberadaannya diatas muka bumi Allah SWT akan berusaha sedaya upaya untuk menyampaikan mesej dakwahnya kepada masyarakat dalam pelbagai perpsektif, apa jua medan dan bentuk medium penyampaiannya itu sangat jelas dan ia meninggalkan kesan dalam hati setiap manusia. Ia menjadikan dirinya dai’e yang sentiasa berikhtiar untuk mengembalikan Daulah Islamiyyah dan berusaha sedaya upaya untuk membawa kembali Cahaya Nubuwwah bertamu memenuhi ruang hati manusia. Ia menjadikan dirinya seorang pemimpin yang berjiwa mendidik, ia menjadikan dirinya (al qiyadah tarbawiyyah), malah ia menjadikan dirinya seumpama anak panah yang dilepaskan dari busarnya, disasarkan tepat ke dalam hati setiap manusia. Setiap bicaranya mendidik jiwa walaupun adakalanya bicara itu pasti membuatkan dirinya atau insan lain terluka.
Ketahuilah bicaranya itu bukan untuk menunding sesiapa, namun demi CINTA SEJATINYA ITU – DEMI CINTA ILAHI. Setiap langkahnya adalah perjuangan, fikirannya tajam, bicaranya penuh hemah dan setiap bicaranya itu adalah untuk kebaikan dirinya dan insan-insan disekelilingnya. Namun ada juga yang kurang mengerti, teguran disangka bisa. Nasihat itu pula bukan bermaksud dirinya lebih baik atau bukan bermakna mereka sengaja menunjuk pandai atau alim, tetapi mereka sangat menyayangi dan sangat menyintai kita dan mereka menginginkan yang terbaik untuk kita KERANA DIRI MU BEGITU BERHARGA UNTUK ISLAM.
Biarlah kita terus berbicara, semoga setiap bicara ini mampu menjentik minda menyentuh rasa untuk membimbing diri agar menjadi mukmin sejati. Mudah-mudahan hidup di dunia diberkati,dan di akhirat kelak Jannah menanti..
MUKMIN SEJATI – ia akan menjadikan dirinya pemimpin yang sentiasa mentarbiyyah, mendidik, membimbing qalbu manusia agar kembali ke jalan Allah SWT.
Baginya seorang dai’e itu bukan hanya mampu berucap di khalayak ramai malah ia mampu menyampaikan syiar Islam dengan kemahiran dan bakat yang Allah SWT anugerahkan kepadanya untuk dimanfaatkan kepada umat Islam seluruhnya. Ia juga mampu menterjemahkan dan mempersembahkan argumentasi dakwahnya dalam pelbagai versi samada secara lisan atau tulisan kerana baginya mata pena itu sangat berkuasa dan mampu bertindak menjadi medan untuk seseorang mengekspresikan segala mesej Islam dan penyampaiannya itu mampu meninggalkan kesan dalam hati dan jiwa manusia. Maka ia akan menulis dengan penuh tanggungjawab dengan menjadikan Islam dan hukum-hukumnya sebagai paksi kehidupan serta menjadi Ad-Din itu sebagai pola pemikiran dan rujukannya kepada semua bentuk kehidupan.
Untuk memastikan penyampaiannya dalam bentuk lisan atau tulisan itu melekat di hati manusia, pemimpin itu perlu memahami hakikat kejadiannya sebagai seorang manusia pilihan Allah ‘Khalifatullah’ dan merasakan dirinya berada dibawah sistem Allah SWT. Sebagaimana firman-Nya :
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ وَلَوْ ءَامَنَ أَهْلُ ٱلْكِتَـٰبِ لَكَانَ خَيْرًۭا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ
“Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik,” [Al-Imran : 110]
Menyusuri kehidupan dan perjuangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai tokoh pimpinan ulama ini telah mengajar kita erti sebuah kehidupan. Kekuatan, ketabahan dan kesabaran Al Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam menempuhi pelbagai mehnah dan tribulasi demi membimbing manusia menuju ke jalan yang diredhai Allah SWT, menghadapi segala bentuk ragam manusia yang menyesakkan dada dan minda. Namun kesungguhannya dalam ikhtiar untuk menegakkan ketuanan Islam di bumi Kelantan cukup menyentuh sanubari ini.
Keikhlasannya dan keluhuran budi pekertinya telah menyedarkan hati ini untuk kembali menemui makna dan erti apa itu Islam yang sebenarnya. MAZA YAKNI FI ISLAM : Karangan Fathi Yakan : “MENGAPA SAYA BERADA DALAM ISLAM”.
Setiap pendokong agama Allah SWT akan menempuhi dan melaluinya, terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan dan ribuan ujian tanpa henti. Bila mana setiap yang kita usahakan selama ini membuahkan hasilnya.. Dari situlah terbitnya sebuah ungkapan..
“Alangkah manisnya perjuangan ini..bila mana Ilmu(Iman,Islam dan Ihsan) menjadi akar umbi dalam setiap pergerakkan kita,”
وَمِمَّنْ خَلَقْنَآ أُمَّةٌۭ يَهْدُونَ بِٱلْحَقِّ وَبِهِۦ يَعْدِلُونَ
“Dan di antara orang-orang Yang Kami ciptakan itu, ada satu umat Yang memberi petunjuk Dengan kebenaran, dan dengannya mereka menjalankan keadilan,” [Al A’raaf : 181]
ان الذى خلق الحقيقة علقما لم يدخل من اهل الحقيقة جيلا
“Sesungguhnya orang yang mencipta hakikat (kebenaran) itu bagaikan jadam pahitnya,namun tidak sunyi (terus wujud) generasi pendokong kebenaran (selepasnya)”
Saidina Ali pernah berkata : لا تخلو الأرض من قائم لله بالحجة
“Bumi ini tidak akan sunyi dari orang yang bangkit dengan hujjah kerana Allah”.
Apa yang kita nafkahkan ini sebenarnya adalah untuk diri kita sendiri dengan menjadikan dunia ini adalah ladang di akhirat kelak.

No Comments