Pembangunan Diri

Kesihatan Mental Belia & Masa Depan Pembangunan Insan Malaysia

Dalam tempoh dua tahun terakhir, Malaysia menyaksikan lonjakan kes berkaitan kesihatan mental dalam kalangan belia. Laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendedahkan lebih sejuta rakyat dewasa mengalami kemurungan, termasuk 7.9 peratus daripada mereka berumur 16 hingga 19 tahun dan 7.6 peratus dalam kalangan belia berumur 20 hingga 29 tahun. Malah, hampir 1 dalam 6 kanak-kanak berumur 5 hingga 15 tahun menunjukkan tanda-tanda gangguan kesihatan mental.

Laporan ini menunjukkan Malaysia tidak lagi berdepan masalah sampingan sebaliknya sebuah krisis pembangunan insan. Terkini, isu calon SPM yang membunuh ibu dan abangnya. Adakah kita ingin menunding jari kepada mana-mana pihak? Sepatutnya perlu dicari punca tekanan yang dihadapi olehnya dan cuba koreksi mengapa kejadian ini boleh terjadi?

Belia merupakan aset negara, penyambung kepimpinan, tenaga ekonomi, dan penggerak transformasi sosial. Namun kini, mereka menjadi antara golongan paling terjejas. NHMS dan Kajian Kesihatan Belia (AHS 2022) menunjukkan kadar kemurungan dalam kalangan belia perempuan mencecah 36.1 peratus berbanding 17.7 peratus dalam kalangan belia lelaki. Kajian sama merekodkan 13.1 peratus belia mempunyai pemikiran bunuh diri dan 9.5 peratus pernah mencuba bunuh diri. Ini menunjukkan bahawa tekanan emosi bukanlah sekadar masalah individu tetapi petunjuk ketidakupayaan sistem sosial menangani tekanan generasi muda.

Krisis ini semakin ketara selepas pasca pandemik COVID-19 di mana pengasingan sosial, tekanan pelajaran dalam talian, dan gangguan ekonomi rumah tangga meninggalkan kesan mendalam terhadap kesejahteraan mental belia. Kebanyakan data ini diperoleh secara menyeluruh dari seluruh negara, namun perbandingan menunjukkan kawasan bandar menyaksikan peningkatan masalah lebih tinggi akibat tekanan sosial dan persaingan akademik.

Faktor pencetus tekanan sosial ini dalam kalangan belia adalah media sosial dan budaya perbandingan (FOMO), kos sara hidup yang meningkat, kekurangan kaunselor terlatih dan akses terapi profesional serta stigma terhadap rawatan kesihatan mental. Lebih merisaukan, domain sokongan sosial dan persekitaran dalam Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia (MyMHI’23) mencatat skor yang rendah iaitu 68.3 dan 65.5 daripada 100. Ini menunjukkan belia Malaysia tidak merasakan persekitaran mereka sebagai tempat yang menyokong.

Antara cadangan yang boleh membantu masalah ini dikurangkan iaitu meluaskan aplikasi MyMinda/MySejahtera dengan menambah fungsi saringan mental dan terapi digital, kelengkapan fasiliti pusat latihan profesional cegah bunuh diri dicukupkan di klinik-klinik, skim subsidi terapi pesakit belia B40 yang sedang membuat terapi di hospital awam atau swasta, perkasa masjid dan sekolah melalui modul intervensi komuniti agama dan kaunseling, serta penilaian berkala MyMHI.

Justeru, kesihatan mental bukan lagi isu tertutup. Ia telah menjadi kayu ukur sebenar pembangunan insan. Sekiranya belia Malaysia tidak diberikan ruang, sokongan dan sistem pemulihan maka segala pelaburan dalam pendidikan, teknologi dan ekonomi akan kehilangan daya tahan. Maka, inilah masa untuk bertindak bukan dengan kata tetapi melalui dasar dan program berasaskan data dan nilai manusiawi.

Syatirah Badri

Pegawai Penyelidik

Yayasan Kedah Sejahtera

No Comments

    Leave a Reply