Hak Asasi Manusia

Buli Siber: Peranan Kerajaan Dalam Melindungi Wanita

Fenomena buli siber atau “doxing” bergerak seiring dengan kemajuan dan kepesatan teknologi digital. Sebelum ini kita sering mendengar tragedi bunuh diri oleh artis luar negara seperti Korea Selatan disebabkan oleh tekanan mental kerana buli siber.

Kini Malaysia juga tidak terlepas daripada tragedi hitam tersebut apabila seorang pempengaruh tiktok yang bernama Esha telah meragut nyawanya sendiri akibat tekanan buli siber.

Menurut kajian yang dijalankan oleh CyberSecurity Malaysia mendapati sebanyak 50 peratus daripada wanita yang menggunakan internet di Malaysia pernah menjadi mangsa buli siber.

Perbuatan mempamerkan maklumat peribadi mangsa dengan bertujuan untuk memalukan, mengugut dan menghukum mangsa dinamakan sebagai “doxing”.

Tambahan pula, wanita sering menjadi sasaran utama buli siber dan “doxing” seperti diganggu secara seksual, dihina, dimaki dan dimalukan.

Kesan daripada jenayah “doxing” ini menyebabkan wanita sering mengalami trauma dan tekanan mental yang membimbangkan. Kehidupan peribadi mereka boleh terganggu oleh perasaan takut kerana mereka merasakan diri sentiasa diawasi atau terancam.

Ancaman “doxing” juga dilihat sebagai keganasan gender terhadap wanita.

Hal ini kerana “doxing” bukan sahaja memberi kesan langsung kepada individu yang menjadi mangsa tetapi juga melemahkan penyertaan wanita secara keseluruhan dalam masyarakat.

Ketakutan akan gangguan dan ancaman boleh menyebabkan ramai wanita mengurangkan atau mengelakkan penglibatan mereka dalam aktiviti sosial, politik, atau profesional dalam talian.

Kesan daripada perkara ini akan menyebabkan ketidakseimbangan gender dalam sektor tertentu.

Menurut Sekretariat Pertubuhan Naratif Malaysia akta berhubung doxing atau buli siber masih kabur, sebaliknya Malaysia hanya menggunakan peruntukan seperti Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 serta beberapa akta lain seperti Akta Jenayah Komputer 1997 untuk mendakwa penjenayah siber.

Oleh itu, kerajaan disarankan untuk merangka undang-undang baru untuk mengatasi aktiviti “doxing” secara khusus dan lebih luas berkaitan dengan privasi dan keselamatan dalam talian.

Kerajaan perlu melihat kes bunuh diri yang terjadi kepada Esha ini sebagai tragedi besar yang memerlukan kepada tindakan segera dari segi penguatkuasaan agar tiada lagi nyawa yang melayang akibat rakusnya komen-komen ugutan dan hinaan yang bermahajarela di media sosial.

No Comments

    Leave a Reply