Puasa merupakan salah satu ibadah penting dalam kehidupan seorang Muslim. Dalam rukun Islam, puasa berada pada kedudukan ketiga setelah mengucapkan dua kalimah syahadah dan solat.
Allah SWT berfirman :
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَیۡكُمُ ٱلصِّیَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
“ Wahai orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa,” (Surah al-Baqarah : 183)
Dalam satu riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: Islam dibina di atas lima iaitu kalimah La Ilaaha Illallah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di baitullah, dan berpuasa pada bulan Ramadan. [Hadis Riwayat Muslim (16)]
Pengertian Taklif
Taklif adalah satu tanggungjawab atau bebanan agama yang ditentukan oleh syarak ke atas seseorang yang mukalaf yang mana perlaksanaan tanggungjawab itu dalam bentuk perbuatan yang perlu dilaksanakan atau ditinggalkan. Bebanan tersebut meliputi percakapan dan juga perbuatan mukalaf berdasarkan kesan daripada perintah atau larangan melalui nas-nas syarak sama ada dari al-Quran, hadis dan juga ijtihad syarie seperti qias dan ijmak (al- Syārikh et al, 2019).
Seorang mukalaf diwajibkan berpuasa. Mukalaf ialah orang Islam yang baligh dan berakal. Mereka wajib melaksanakan tangungjawab syara’ bukan hanya ibadat puasa sahaja bahkan semua ibadah-ibadah yang lain seperti solat, membayar zakat dan menunaikan haji dengan memenuhi syarat-syarat dan rukun-rukunnya. Sekiranya mereka tidak melaksanakannya, mereka akan mendapat dosa.
Adapun golongan yang tidak memenuhi kriteria taklif, mereka dikecualikan dari memikul tangungjawab syara’ seperti orang bukan Islam (kafir), kanak-kanak yang belum baligh dan orang yang tidak mempunyai akal yang sempurna dan waras.
Merujuk kepada hadis daripada Saidina Ali bin Abi Talib r.a. bahawa Rasulullah saw bersabda:
رفع القلم عن ثلاثة: عن النائم حتى يستيقظ، وعن الصبي حتى يشب، وعن المعتوه حتى يعقل
Maksudnya:“diangkat pena daripada tiga golongan: orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia remaja (baligh) dan daripada orang yang cacat akal sehingga dia pulih.” [Hadis Riwayat Imam At-Tarmizi (1423) dan Imam Ahmad (956)]
Berdasarkan hadis daripada Saidina Ali di atas, terdapat beberapa perkara yang menjadi halangan taklif.
- Gila, Ulama usul fiqh mendefinisikan sebagai kecacatan yang menyebabkan kebanyakan perbuatan dan percakapan seseorang terhalang dari jalan akal yang sempurna.
- Terencat akal ialah individu yang kurang akal, atau yang rosak akal warasnya.
- Lupa adalah sesuatu yang luar jangka yang berlaku kepada seseorang yang menyebabkan dirinya tidak ingat tanggungjawabnya.
- Safh bermaksud kelemahan berfikir yang menimpa seseorang yang memberi kesan kepada pengurusan hartanya berbanding seseorang mampu berfikir matang.
- Mabuk ialah hilang kewarasan akal disebabkan pengambilan sesuatu yang memabukkan yang mana orang yang mabuk tidak mengetahui apa yang dia lakukan saat mabuk.
- Paksa di sisi fuqaha, membawa seseorang kepada sesuatu yang dia tidak suka untuk melakukannya.
Siapakah OKU?
Sebelum kita ke huraian seterusnya, kita fahami siapakah Orang Kelainanan Upaya (OKU)? Golongan OKU biasa dirujuk sebagai individu atau anak istimewa, anak syurga, orang cacat, kurang upaya, kelainan upaya, dan keperluan khas (Ab Rahman, 2018).
Berakal adalah salah satu syarat taklif. Adakah Orang Kurang Upaya memenuhi syarat ini? Terdapat dua jenis Orang Kurang Upaya (OKU) :
Pertama : Golongan OKU bermasalah pembelajaran dan mental. Ia terbahagi kepada empat kategori umum iaitu :
- Tahap Tinggi iaitu terencal akal teruk dan autisme teruk. Tahap akal ialah gila, tidak memenuhi syarat taklif.
- Tahap Sederhana iaitu terencat akal sederhana dan autisme sederhana. Mereka berakal tetapi tidak mencapai tahap normal. Tahap akal ialah mumaiyiz, tidak memenuhi syarat taklif tetapi ibadatnya dikira sah.
- Tahap Rendah iaitu terencat akal rendah dan autisme rendah. Tahap akal ialah mumaiyiz, tidak memenuhi syarat taklif, ibadatnya sah.
- Tahap Ringan iaitu mempunyai akal yang normal dan waras seperti autisme berfungsi tinggi, sindrom asperger, bermasalah tingkah laku iaitu murid ADHD dan masalah pembelajaran spesifik. Tahap akal ialah waras, memenuhi syarat taklif dan wajib melaksanakan perintah Allah dan menghindari laranganNya.
Berdasarkan pembahagian di atas ternyata golongan yang bermasalah pembelajaran dan mental disamakan seperti kanak-kanak mumaiyiz. Selain itu, Ada juga tahap kerencatan akal terlalu tinggi dan ia boleh disamakan seperti kategori gila menurut ilmu fiqh.
Kedua : Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) Pelbagai. Mereka mempunyai lebih daripada satu jenis ketidakupayaan. Contohnya, seorang individu yang mengalami 2 jenis ketidakupayaan dari segi penglihatan dan pendengaran. Golongan ini tidak menghadapi kecacatan akal.
Mereka mempunyai akal yang sempurna. Cuma mereka mempunyai kecacatan dalam bentuk fizikal tubuh badan dan tidak memiliki pancaindera yang sempurna. Contoh seorang yang cacat percakapan seperti bisu, cacat pendengaran seperti pekak, cacat penglihatan seperti buta. Mereka memenuhi syarat taklif iaitu berakal.
Kewajipan ibadat puasa kepada OKU
Adakah OKU yang telah meningkat dewasa diwajibkan berpuasa ?
Di sini dapat kita fahami, tidak semua OKU dikecualikan daripada melaksanakan ibadat. Mereka yang tidak mempunyai masalah mental dan mempunyai akal yang waras wajib memikul tanggngjawab taklif syara’ seperti orang Islam yang lain.
Namun cara perlaksanaan ibadat bagi golongan ini berbeza dan diberi keringanan berdasarkan kemampuan mereka seperti orang bisu tidak diwajibkan membaca al-Fatihah di dalan solat kerana mereka tidak boleh bersuara dan bertutur dengan fasih dan lancar.
Allah S.W.T berfirman :
فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ مَا ٱسۡتَطَعۡتُمۡ وَٱسۡمَعُوا۟ وَأَطِیعُوا۟ وَأَنفِقُوا۟ خَیۡرࣰا لِّأَنفُسِكُمۡۗ وَمَن یُوقَ شُحَّ نَفۡسِهِۦ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ
Maksudnya: Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya); dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (Surah At-Taghābun: 16).
Keringanan ( rukshoh) kepada OKU
Adapun dalam konsep ibadat, terdapat keringanan (rukhsoh) dalam melaksanakan sesuatu ibadat. Begitu juga ibadat puasa.
Keringanan (ruksoh) ini untuk semua orang Islam samada orang yang sihat tubuh badan dan akal fikiran atau OKU. Sekiranya mereka mempunyai kesukaran ketika bermusafir, keletihan berpuasa ketika mengandung dan menyusukan anak dan tidak berkemampuan untuk berpuasa ketika sedang sakit dan tua, mereka boleh berbuka puasa dan mengantikan pada hari yang lain.
Allah SWT berfirman :
أَیَّامࣰا مَّعۡدُودَ ٰتࣲۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِیضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرࣲ فَعِدَّةࣱ مِّنۡ أَیَّامٍ أُخَرَۚ وَعَلَى ٱلَّذِینَ یُطِیقُونَهُۥ فِدۡیَةࣱ طَعَامُ مِسۡكِینࣲۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَیۡرࣰا فَهُوَ خَیۡرࣱ لَّهُۥۚ وَأَن تَصُومُوا۟ خَیۡرࣱ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ
Maksudnya:“Maka barangsiapa di antara kamu yang sakit atau dalam perjalanan(lalu dia berbuka) maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.” (Surah al-Baqarah : 184)
Allah SWT berfirman :
شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِیۤ أُنزِلَ فِیهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدࣰى لِّلنَّاسِ وَبَیِّنَـٰتࣲ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهۡرَ فَلۡیَصُمۡهُۖ وَمَن كَانَ مَرِیضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرࣲ فَعِدَّةࣱ مِّنۡ أَیَّامٍ أُخَرَۗ یُرِیدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡیُسۡرَ وَلَا یُرِیدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُكۡمِلُوا۟ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ
Maksudnya: “Dan wajib ke atas orang yang menanggung kesusahan yang teruk untuk berpuasa (kerana tua dan sebagainya) fidyah iaitu memberi makanan kepada orang miskin..” (Surah al-Baqarah : 185)
Kesimpulan
Kesimpulannya, golongan Orang Kurang Upaya yang mukalaf iaitu beragama Islam, telah baligh dan mempunyai akal fikiran yang waras seperti autisme berfungsi tinggi, sindrom asperger, ADHD dan Orang Kurang Upaya Pelbagai seperti kecacatan anggota tubuh badan atau kecacatan pendengaran, penglihatan dan percakapan, mereka diwajibkan mengerjakan ibadah puasa di Bulan Ramadan. Jika mereka mempunyai kesukaran dan kepayahan, maka mereka turut diberi keringanan (rukhsoh) dalam menjalani ibadah puasa. Semoga huraian yang ringkas ini dapat memberi gambaran jelas tentang persoalan di atas.
Rujukan :
- Al-Quran Al-Karim
- Shahih Muslim, Sunan at-Tirmizi dan Musnad Ahmad Ibn Hanbal.
- Mohd Hanafiah Hj Hassan, (2023). Fiqh Puasa terjemahan al-Muqaddimah al-Hadramiyyah.
- Syed Shahridzan Syed Mohamed, (2022). Kedudukan Taklif dalam Pelaksanaan Ibadat bagi OKU Masalah Pembelajaran, Pelbagai dan Mental.
- Al-Syārikh, M., Hariz, A. M. (2019). Mafhūm al-Iʿāqat al-ʿAqliyyat wa Atharuhu fī al-Taklīf al-Syarʿiy. Majallat al-Jāmiʿat al-Islāmiyyat li al-Dirāsāt al-Syarʾiyyat wa al-Qānūniyyat.
- Ab Rahman, A. (2018). Kedudukan Orang Kelainan Upaya (OKU) Sebagai Asnaf Ar-Riqab di Malaysia.
- Laman sesawang jkm.gov.my

No Comments