“Bro, kau tak serik ke?” soal Leman kepada rakan karibnya, Zaki.
Habis dua puntung rokok dihisapnya. Tangannya terus mencapai sepuntung lagi rokok dan menyalakan api padanya.
Malam itu mereka berdua sahaja yang kelapangan untuk lepak bersama. Kebiasaannya, enam orang sekawan akan berjumpa di kedai mamak tersebut pada setiap hujung minggu seperti itu.
Kali ini, Leman melapangkan masanya untuk Zaki menghabiskan malam yang berbaki dua jam lagi sebelum waktu Subuh.
“Kau cakap baik-baik sikit Leman”, balas Zaki setelah kepulan asap dihembuskan. Leman, juga merupakan perokok tegar seawal usia di bangku sekolah menengah bersama Zaki. Leman yang mengajak rakannya itu melakukan perkara yang dilarang di sekolah. Soalan jenis apakah yang diajukan kepada dirinya yang juga cerminan diri Leman ini.
“Ok, sorry, sorry. Aku cuma tanya saja”. Leman telah lama berhenti merokok tanpa pengetahuan rakannya itu. Setelah berbulan-bulan bergiat aktif di kampus, kerja-kerja persatuan dan perniagaan kecil-kecilan yang dibuatnya menjadi aktiviti utamanya setiap hari selepas pelajaran dalam kelas.
Leman menutup masa lapangnya dengan amanah dan tanggungjawab daripada perbuatan terkutuk itu. Kini, tiba gilirannya untuk memperbaiki rakan karibnya itu. Ah, tak mudah sama sekali!
“Zaki, kau dah tidur ke belum ni?” sengaja Leman mengubah topik. Kelihatan Zaki dengan matanya yang segar terbuka. Mungkin saja tidak mengantuk oleh kerana menghisap rokok mengejutkan degupan jantung.
“Belum”, ringkas jawab Zaki. Puntung rokok ditenyeh di atas meja. Leman setia menunggu apa saja yang akan dimuntahkan daripada mulut rakan karibnya itu. Leman berazam untuk membawa Zaki kembali ke pangkal jalan, sebagai tindakan bertanggungjawab menebus kembali dosanya dahulu mengheret Zaki ke lembah kehinaan. Masakan tidak, Zaki datangnya daripada keluarga yang baik. Mujur Leman tersedar daripada lamunan tidur apabila Zaki menelefonnya untuk berjumpa di kedai mamak.
“Aku dah cuba berhenti, weh. Nak sebulan dah. Aku tahu merokok ni memang akan dapat sakit, aku dah ada tanda-tanda tu semua. Kau cakap la, sakit jantung, batuk teruk, apa lagi. Aku dah kena dah semua. Tapi bila nak masuk cukup sebulan tu, dia datang, weh. Haha” ujar Zaki merespon soalan Leman. Kata-katanya yang diakhiri hilai tawa itu menyentakkan Leman.
“Siapa dia? Ayah kau? Apa dia buat?” Soal Leman penuh tanda tanya.
“Memang TAK lah aku nak berhenti merokok, kau tahu?! Haha”, Zaki cuba menelan perasaan kecewanya. Kenyataan pahit bukan mudah untuk dikongsi cerita.
“Aku hormat dia weh. Orang baik kot. Tapi sorylah, bro.
Dia nak nasihat aku tapi dia macam tak yakin dengan aku. Haha sedih siot!! Orang macam aku ni harapanlah nak berubah…Eh, kau tanya aku macam kau tak merokok pulak. Kau dah berhenti ke, sial?” Zaki terus mengalihkan pandangan ke Leman. Takkan sanggup bagi Zaki untuk membuka pekung di dada. Cukuplah hanya membuka awalan cerita. Ianya perkara yang memalukan apabila dirinya yang kotor dengan dosa berhasrat untuk berubah menjadi baik.
“Eh, aku..aku..bolehla nak kata dah berhenti tu.. tapi yalah, manusia kan memang tak lari daripada buat dosa”, respon Leman sedikit terkejut dengan panggilan ‘siot’ dan ‘sial’ yang dilontarkan. Panggilan yang dah lama tak didengarinya sejak menyambung belajar di peringkat universiti. Leman menyedari hakikat perbezaan bagai langit dan bumi antara dirinya dan Zaki. Leman mengetahui Zaki tidak menyambung pengajian selepas tamat SPM beberapa tahun lalu.
Leman cuba tidak ‘menyucikan’ dirinya apabila berbual dengan Zaki. Dia tahu Zaki akan menjauhkan dirinya daripada orang-orang baik, seperti mana hubungan renggang dengan Ayahnya sekarang.
“Kau dah berhenti??! Seriouslah gila? Kau tak beritahu aku pun, kan?” Zaki begitu terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Leman. Bunyi guruh pun tiada, tiba-tiba saja kata sudah berhenti. Leman bahkan terdiam, ligat fikirannya mencari jawapan yang sesuai dan masuk akal.
Tujuh puntung rokok yang telah ditenyehkan dibuang ke dalam tong sampah. Kerusi Zaki dirapatkan ke arah Leman, anak matanya tepat memandang ke dalam matanya Leman.
“Kau…kau buat macam mana?”
***
“Eh, ada lagi rupanya..”, staf yang bertugas di kaunter Jabatan Sains itu perlu memastikan semua pelajar tahun akhir menghantar tesis FYP pada hari itu. Lagi satu jam masa penyerahan tesis akan berakhir, tak disangkanya masih ada pelajar yang menghantar tesis di lewat petang.
Zahirah hanya tersenyum kelat, lalu meletakkan segera tesis FYP di atas timbunan tesis kawan-kawannya yang lain di satu sudut. Usai tandatangan penyerahan diturunkan, Zahirah meminta diri untuk beredar. ‘Orang last pun tak kisahlah. Asalkan hantar. Alhamdulillah’, lega hatinya. Mujur tiada yang memarahinya ketika itu, mahu keluar kampus dengan aman kalau boleh.
Petang itu, Zahirah meluangkan masa di tasik bersama ahli usrahnya. Usrah yang amat dirinduinya setelah tiga bulan tidak bersua dek kesibukan masing-masing menyiapkan tugasan FYP dan komitmen lain. Moga-moga hari terakhir dirinya di kampus ini, meninggalkan makna di hati sahabat-sahabat serta kerinduan yang menghidupkan buat dirinya.
“Lepas ni Zahirah nak buat apa?” soal salah seorang ahli usrahnya.
“Sambung belajar ke kerja?” sambung yang lain.
“atau kahwin? Hehe..” gurau sahabat yang lain pula.
“Eh takdalah. Belum lagi kot..”, pantas Zahirah menepis soalan ‘hangat’ itu. Hatinya masih belum terbuka untuk memikirkan soal berumahtangga. Selagi belum ada yang menyunting dirinya.
“Saya mungkin kerja dulu. Nak sambung belajar pun perlu ada duit”, ujar Zahirah perlahan. Jauh pandangannya dipalingkan ke arah air tasik. Air tasik jadian itu mengalir setempat, mungkin saja disebabkan bayu senja memukul aliran air.
“Tahu tak, pepatah arab ada berbunyi”, Zahirah cuba memberi pengisian. Tidaklah sembang kosong saja usrah santai kali ini. Sahabat-sahabatnya terus memasang telinga memberikan perhatian kepada Zahirah.
“’Statiknya air akan merosakkannya, statiknya pemuda (dengan banyaknya masa lapang dia) akan membunuh dirinya’.
Orang muda macam kita ni, perlu bergerak. Melangkahlah sejauh yang boleh. Kutip mutiara daripada mereka yang lebih berpengalaman. Manfaatkan setiap masa yang ada dengan aktiviti-aktiviti berfaedah, program-program ijtimaie. Program jamaie memang wajib dah, program kemasyarakatan ni ha. Penting tau untuk tarik mad’u”, Zahirah menghela nafas seketika.
“Kan..penting kot. Saya pun silap selama ni saya hanya fikir nak hadir program Jemaah je. Macam program luaran lain tak penting pula. Hihi”, ujar seorang sahabat Zahirah, menyokong kenyataan Zahirah.
“..Kalaulah kita statik je, tak bergerak duduk rumah saja, otak kita pun beku. Hanya terperap dalam rumah dan dihantui masalah keluarga. Sedangkan solusi boleh kita dapatkan dalam usrah macam ni..”, sambung Zahirah.
“Eh, tak jugak la Ira. Orang sekarang ni duduk rumah pun boleh dapat berita semasa dah. Scroll-scroll media sosial, pap! Terus dapat tahu isu terkini”, sahabat lain mencelah.
“Haa, itupun kalau dia follow akaun yang baik-baik. Dapatlah konten yang baik. Orang kat luar sana tu, manalah nak dapat sumber yang sahih kalau tak diberitahu betul-betul. Huh..”, keluhan Zahirah kali ini berbaur kesal. Mindanya bercelaru. Terimbau ingatannya pada Alang dan Nenda.
“Ibu, Alang nak guna duit sikitla..”, rayu Alang pada Ibu. Tangannya berkira-kira jumlah wang yang diperlukannya. Ibu sedang sibuk bercucuk tanam di luar halaman, terganggu dengan permintaan lazim anak teruna sulungnya itu. Si Ibu berhenti menabur baja pada anak pokok. Matanya tidak dikalihkan ke Alang, takut termakan lagi dengan janji manisnya nanti.
“Berapa kamu nak?”
“Tak banyak pun, RM100 boleh, bu?”Alang tanpa segan silu meminta sejumlah wang. Baginya, RM100 itu tidaklah banyak mana jika dibandingkan dengan hari-hari sebelumnya dia meminta. Cuma kali ini dia tidak mendahulukan tujuan dia meminta wang itu. Ibu terkejut dengan jumlah yang diinginkan, namun hati Ibu siapa yang tak sayangkan anaknya. Ibu cuba berlembut dengan Alang, supaya keegoannya tidak meninggi takut terdengar jiran.
“Kamu nak beli apa, Alang?” soal Ibu perlahan.
“Nak beli kasut sukan. Haritu punya dah koyak kan. Kasut sukan memang RM100 lebih, Ibu. Sebab nanti Alang ingat nak join rugbi. Ada match kat taman-taman ni”, Alang cuba meyakinkan Ibunya.
Ibu tak dapat nak berfikir panjang. Jika diikutkan perasaan, beliau akan kelihatan kedekut pula apabila tak menghulurkan duit kepada anak untuk keperluan seperti itu. Lantas, Ibu membenarkan Alang mengambil sendiri wang di tempat khusus yang disimpan oleh Ibu di rumah. Alang mengucapkan terima kasih dan segera mengambil wang itu tanpa rasa bersalah. Zahirah di ruang dapur terlihat kelibat Alang mengambil sejumlah wang daripada dompet Ibu. ‘Astaghfirullah, sabar jangan marah, Ira’, geram dengan sikap Alang yang tak reti nak berusaha cari pendapatan sendiri. Dia hanya mampu beristighfar ketika kekalutan sebegini berlaku.
Motor hitam Yamaha itu meluncur laju keluar dari rumah. Zahirah hanya menelan lumrah sikap abangnya yang seorang ini. Begitu mudah sekali Ibu menghulurkan duit kepadanya tanpa bersoal panjang. Entah apa yang dia buat dengan duit itu pun tahukah Ibu.
-bersambung-

No Comments