Masa adalah satu makhluk yang tak boleh dilihat, didengar dan dirasai tetapi masa adalah sebahagian daripada kehidupan. Waktu tidak seperti makhluk fizikal yang lain, waktu sentiasa berubah-ubah dan tidak boleh dikejar.
Manusia tidak boleh mengendalikan waktu, namun kita boleh memanfaatkannya. Kalau kita gagal mengurusnya dengan baik maka ia berlalu begitu sahaja lantas merugikan kita.
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٞۖ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمۡ لَا يَسۡتَأۡخِرُونَ سَاعَةٗ وَلَا يَسۡتَقۡدِمُونَ
Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan. [Al-A`râf: 34]
Mengurus Sistem 24 Jam.
فَالِقُ ٱلۡإِصۡبَاحِ وَجَعَلَ ٱلَّيۡلَ سَكَنٗا وَٱلشَّمۡسَ وَٱلۡقَمَرَ حُسۡبَانٗاۚ ذَٰلِكَ تَقۡدِيرُ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡعَلِيمِ
Allah jualah Yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui. [Al-An`âm: 96]
Siang dan malam adalah pengukur waktu untuk menentukan hari-hari yang berlalu. Sehari dihitung bermula terbit matahari hingga ia terbit semula untuk hari berikutnya. Allah SWT menetapkan satu hari bersamaan 24 jam manakala 1 jam mempunyai 60 minit. Ini bermakna kita mempunyai 1440 minit sehari untuk digunakan.
Namun tidak semua manusia yang benar-benar memanfaatkan kitaran waktu ini. Bahkan mereka semakin lalai dan membuang masa. Justeru kehidupan menjadi tidak teratur dan secara tidak langsung mengabaikan segala kewajipan mereka. Para Ulama telah mengajarkan satu doa agar masa kita sentiasa diberkati Allah;
اللهم إنا نسألك إصلاح الساعات والبركات في الأوقات
“Ya Allah sesungguhnya kami meminta kepada-Mu kebaikan pada masa kami, dan keberkatan pada waktu Kami.”
Doa bukan sekadar duduk berdiam diri bahkan perlu disertai dengan usaha. Oleh itu, usaha ke arah menjadi seorang yang produktif adalah sangat penting dalam kehidupan seorang muslim.
Hukum Produktif.
Jika sesuatu objek bergerak, maka ia akan terus bergerak. Begitu juga jika sesuatu objek berhenti, maka ia akan terus berhenti selagi mana tiada daya luar yang mempengaruhi objek tersebut. Inilah ketetapan yang Allah jadikan (سنة الله). Dalam konsep produktiviti, apabila kita sudah memulakan sesuatu kerja maka ia lebih mudah untuk teruskan kerja tersebut hingga selesai.
Kata satu pepatah ; “Setiap permulaan itu memang sulit. Dengan memulai setengah, pekerjaan sudah selesai.” Apabila sedang bergerak melakukan kerja, kita perlu memerhatikan apa faktor-faktor yang melambatkan atau menghentikan kerja.
Gangguan Produktif dan Cara Atasi.
Antara gangguan tersebar produktif adalah sikap suka bertangguh (procrastination). Sikap ini mengakibatkan kita mengabaikan prioriti kerja yang dilakukan. Para ulama seperti Syeikh Yusof Al Qardhawi telah membahaskan perkara ini dalam kitabnya Fiqh Awlawiyat (Fiqh Keutamaan). Nilai tanggungjawab terhadap sesuatu kewajipan perlu dihayati dengan sebaiknya untuk mengatasi gangguan ini. Selain itu, kita boleh mempraktikkan kaedah Undang-undang 2 minit.
Caranya adalah lakukan satu kerja dalam masa 2 minit, jika rasa hendak teruskan, maka teruskan. Jika hendak berhenti, maka berhenti. Apabila kita sudah mula lakukan sesuatu kerja walaupun hanya 2 minit, ini bermakna kita telah berjaya mengelak prokrastinasi. Jika ada perkara yang boleh disiapkan dalam masa 2 minit, maka siapkan agar tidak menjadi lambakan pada masa akan datang. Namun begitu sentiasalah berjaga-jaga dengan deadline (cipta tarikh akhir sendiri lebih awal).
Kedua adalah gangguan notifikasi. Perkara ini kerap berlaku pada zaman serba canggih kini. Apabila sikap bertangguh (prokrastinasi) itu datang maka kita mula teringin untuk bermain dengan media sosial. Apa yang perlu kita buat? Kita boleh cuba katakan pada diri ; “10 minit akan datang baru boleh main.”
Pengaplikasian ini sama seperti teknik Pomodoro yang diasaskan oleh Francesco Cirillo. Teknik ini mengajar kita cara membahagikan masa untuk menyelesaikan setiap urusan kerja. Contohnya ; kita letakkan 25 minit untuk setiap kerja dan tetapkan waktu rehat selama 3-5 minit atau 5-10 minit di antara kerja-kerja tersebut. Latih otak kita agar sentiasa berfikir ; “Bila tengah buat kerja, fokus. Tak boleh main internet, media sosial, baca buku lain, dan sebagainya.”
Kitaran Tidur.
وَجَعَلْنَا ٱلَّيْلَ لِبَاسًۭا (١٠) وَجَعَلْنَا ٱلنَّهَارَ مَعَاشًۭا (١١)
“Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) masa untuk mencari rezeki?” [An-Naba’: 10-11]
Allah SWT telah menjadikan jasad manusia ini mempunyai sifat penat dan bertenaga. Antara salah satu faktor yang mempengaruhinya adalah kitaran tidur yang berkualiti.
Dalam kitab الخطة البراقة لذي النفس التواقة karangan Dr. Solah Abdul Fatah Al Kholidi, ada menyebutkan bahawa setiap muslim mesti tidur selama 6 jam sahaja sehari. Jika berlebihan tidurnya pasti membawa kepada malas dan mensia-siakan waktu. Jika berkurangan ia akan menyebabkan fokus terganggu dan tidak bersemangat untuk bekerja. Terdapat juga jenis-jenis tidur yang dikelaskan oleh para ulama ;
Kata al-Hafiz as-Sayuti:
- Tidur di permulaan pagi di panggil عيلولة ertinya kefaqiran.
- Tidur waktu dhuha di panggil فيلولة ertinya lemah badan.
- Tidur sebelum gelincir matahari dipanggil قيلولة iaitu menambahkan aqal.
- Tidur selepas gelincir matahari di panggil حيلولة iaitu menghalang daripada solat(zohor).
- Tidur akhir siang(sebelum maghrib) di panggil غيلولة iaitu membawa kemusnahan.
[Hasyiah At-Tarmasi – Dar Minhaj juzuk 5, m/s 640]
Justeru itu, tidurlah pada waktu malam dan bekerjalah pada waktu siang.
Berkerja dengan Berkualiti.
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِكُلِّ عَمَلٍ شِرَّةٌ وَلِكُلِّ شِرَّةٍ فَتْرَةٌ فَمَنْ كَانَتْ فَتْرَتُهُ إِلَى سُنَّتِي فَقَدْ أَفْلَحَ وَمَنْ كَانَتْ إِلَى غَيْرِ ذَلِكَ فَقَدْ هَلَكَ
Dari Abdullah bin ‘Amru, dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda, “Sesungguhnya setiap amalan itu ada waktu semangatnya, dan setiap masa semangat ada masa jenuhnya, maka barangsiapa semangatnya cenderung kepada sunahku dia beruntung, dan barangsiapa masa jenuhnya cenderung kepada selain itu maka ia celaka.” (HR Imam Ahmad)
Kadangkala kita merasa penat ketika melakukan sesuatu pekerjaan. Maka berehatlah dan jangan berhenti. Kita mesti menjaga kualiti kerja yang dibina agar tidak kembali menjadi kosong.
Akhirnya mulakanlah produktif kita pada waktu pagi selepas bangun solat subuh berjemaah. Sesungguhnya Allah SWT telah menjanjikan keberkatan pada waktu itu. Rasulullah SAW dan para sahabat tidak pernah mensia-siakan waktu pagi.
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا
Rasulullah ﷺ berdoa, “Ya Allah, limpahkanlah keberkahan kepada umatku pada waktu pagi buta.” (HR At-Tirmidzi)
Kata Imam Jalaluddin Ar Rumi : “Angin saat fajar memiliki rahsia untuk memberitahu anda. Jangan kembali tidur”.
No Comments