Di era globalisasi ini, peranan wanita sudah berubah berbanding zaman dahulu. Wanita zaman kini aktif menceburi pelbagai bidang dan mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.
Terdapat banyak faktor yang mendorong wanita untuk terlibat di dalam pekerjaan, antaranya disebabkan oleh desakan ekonomi yang mencabar memerlukan wanita untuk bekerja bagi membantu kewangan keluarga dan juga disebabkan oleh minat dan cita-cita mereka terhadap kerjaya.
Namun, zaman kini golongan wanita sering berdepan dengan konflik keseimbangan antara keluarga dan kerjaya terutamanya bagi mereka yang telah berumah tangga.
Berdasarkan kajian tinjauan yang dibuat oleh Linkedin Learning terhadap 2,843 responden golongan profesional menunjukkan bahawa 49 peratus daripada mereka dilaporkan mengalami tekanan dalam pekerjaan.
Kajian tersebut menyatakan punca berlakunya tekanan di tempat kerja disebabkan oleh kesukaran untuk mengimbangi tugas kerja dan kehidupan seharian. Selain itu, faktor bebanan kerja yang berat turut menjadi faktor utama.
Isu ini menjadi lebih serius apabila pihak majikan turut menafikan hak pekerja wanita untuk mendapatkan keseimbangan di antara pekerjaan dan kehidupan.
Menurut Tan Sri Lee Lam Thye, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) ada menyatakan tentang peri pentingnya bagi mengatasi isu tekanan di tempat kerja.
Menurut beliau, hal ini terjadi kerana tahap kesedaran tentang masalah kesihatan mental di tempat kerja dilihat masih rendah.
Bagi membantu wanita yang berdepan dengan konflik keseimbangan antara keluarga dan kerjaya, Malaysia mesti mengambil contoh negara yang telah terkehadapan menyediakan sistem sokongan kepada wanita yang berkeluarga melalui sistem “work from home” secara berkala.
Konsep WFH ini bukanlah suatu yang asing bagi sesetengah negara maju seperti Finland, Amerika Syarikat dan Australia di mana terdapat beberapa jenis syarikat yang menawarkan kerja secara atas talian.
Di Malaysia, syarikat-syarikat besar seperti institusi perbankan sudah mula mengaplikasikan sistem “work from home” secara berkala selepas pandemik Covid-19.
Antara kebaikan melaksanakan konsep WFH ialah meminimakan masa perjalanan ke tempat kerja, mampu meningkatkan produktiviti, membantu dalam mengimbangi kehidupan berkerja dan peribadi, memberi fleksibiliti waktu kepada para pekerja juga mampu memberi kebahagiaan yang stabil kepada para pekerja yang mudah tertekan apabila berada di pejabat.
Selain itu, Malaysia mempunyai Dasar Bekerja Dari Rumah yang diperkenalkan semasa pandemik. Meskipun perintah PKP telah tamat, dasar WFH harus diteruskan bagi memastikan fleksibiliti masa bekerja untuk membolehkan wanita berkeluarga bekerja dari rumah secara berkala dan mengikut keperluan.
Pelaksanaan semula Dasar Bekerja Dari Rumah dilihat mampu untuk menyokong wanita dalam mengimbangi tugas sebagai ibu dan pekerja dengan baik dan juga membantu mengurangkan tekanan di tempat kerja.
Kesimpulannya, penglibatan wanita di dalam sektor pekerjaan amat penting seiring dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita kepada 60 peratus. Oleh itu, sokongan terhadap wanita berkeluarga untuk lebih cemerlang di dalam bidang-bidang masing amat diperlukan agar mereka mencapai “work life balance”.


No Comments