Hak Asasi Manusia

“Pride Month”: Ancaman Normalisasi L*BT di Malaysia

Bulan Pride yang disambut di seluruh dunia pada bulan Jun setiap tahun sering digambarkan sebagai bulan kesedaran terhadap komuniti L*BT.

Namun begitu, secara realitinya ia menjadi platform utama untuk mempromosikan gaya hidup, dan identiti jantina yang bercanggah dengan norma, nilai dan budaya kebanyakan negara, termasuk Malaysia.

Strategi normalisasi L*BT yang wujud hari ini bukanlah fenomena baharu. Ia telah dirancang secara tersusun sejak tahun 1989 oleh dua aktivis pro L*BT dari Amerika Syarikat, Marshall Kirk dan Hunter Madsen, menerusi karya mereka “After the Ball”.

Dalam karya tersebut, mereka menggariskan pelan komunikasi strategik bagi mengubah persepsi masyarakat terhadap homoseksualiti daripada dianggap sebagai amalan songsang kepada sesuatu yang perlu diterima, dirai dan dimartabatkan atas nama kebebasan individu dan hak asasi manusia.

Malaysia tidak terkecuali daripada ancaman normalisasi L*BT. Statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada Mac lalu menunjukkan bahawa 90 peratus penghidap HIV di negara ini adalah lelaki, dan majoritinya melibatkan hubungan sejenis.

Selain itu, laporan oleh World Population Review menunjukkan bahawa Malaysia kini berada pada kedudukan kelima tertinggi di Asia dari segi bilangan transgender, yang dianggarkan mencecah 24,000 orang.

Perkembangan ini sewajarnya mencetuskan kebimbangan, bukan sahaja dari sudut kesihatan awam, malah dari sudut kestabilan moral dan sosial negara.

Dari sudut perundangan, Malaysia merupakan antara negara yang mengekalkan pendirian tegas dalam menolak sebarang bentuk pengiktirafan terhadap amalan L*BT.

Merujuk kepada undang-undang jenayah sivil, Seksyen 377B Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa:

“sesiapa yang melakukan hubungan seks luar tabii secara sukarela boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, serta boleh dikenakan sebatan.”

Namun demikian, usaha pengiktirafan L*BT tetap berlaku dalam pelbagai bentuk, khususnya melalui tekanan kumpulan hak asasi.

Sebagai contoh, Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO) secara terbuka telah membawa tuntutan agar Malaysia mengiktiraf orientasi seksual dan identiti jantina sebagai sebahagian daripada hak asasi dalam proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) anjuran Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva pada tahun 2013.

Selain itu, NGO seperti Sisters in Islam turut dilihat menyokong kebebasan seksual atas nama keadilan gender dan hak asasi, sekali gus membuka ruang kepada normalisasi L*BT di Malaysia.

Kontroversi terbaru melibatkan tindakan Kerajaan Negeri Terengganu yang memasang papan tanda larangan homoseksual di kawasan universiti juga telah mendapat kecaman daripada sesetengah pihak yang melihatnya sebagai “diskriminasi”, walaupun ia selaras dengan perlembagaan Malaysia yang menetapkan Islam adalah agama persekutuan.

Ini jelas menunjukkan wujudnya tekanan berterusan untuk melonggarkan pendirian negara terhadap isu L*BT.

Melihat kepada kebimbangan ini, Malaysia wajar mempertimbangkan pendekatan lebih proaktif dalam menangani isu normalisasi L*BT.

Antara langkah yang boleh diambil ialah dengan mengikuti langkah Rusia yang telah menggubal undang-undang khas pada 2013 untuk melarang sebarang bentuk “propaganda L*BT”, khususnya kepada golongan kanak-kanak dan remaja.

Pada tahun 2022, undang-undang tersebut diperluaskan lagi untuk melarang sebarang promosi, perbincangan atau perwakilan positif terhadap L*BT dalam semua bentuk media termasuk filem, buku, pengiklanan dan internet. Mana-mana individu atau organisasi yang melanggar undang-undang ini boleh dikenakan denda berat.

Kesimpulannya, isu L*BT bukan sekadar persoalan hak individu, tetapi merupakan cabaran besar terhadap keutuhan institusi keluarga. Strategi normalisasi L*BT yang berakar dari Barat kini sedang meresap masuk ke dalam masyarakat Malaysia melalui pelbagai saluran, termasuk media, pendidikan dan badan hak asasi.

Justeru, kerajaan perlu segera menggubal dasar dan undang-undang khusus untuk menyekat penyebaran ideologi ini secara menyeluruh, selari dengan prinsip Maqasid Syariah dan kepentingan awam.

No Comments

    Leave a Reply