Hak Asasi Manusia / Perundangan

Larangan Hijab: Hipokrisi Atas Nama Hak Asasi

pink flower

Artikel ini adalah Bab 4 dari Siri “Mentafsir Semula Hak Asasi Manusia” oleh Mardhiyyah Johari.

Hijab menurut definisi Dewan Bahasa dan Pustaka ialah tudung labuh penutup bahagian kepala. Selembar kain yang menutupi kepala hingga dada wanita beragama Islam ini seringkali mencetuskan kontroversi sehingga terdapat negara yang mengharamkan pemakaiannya. Bahkan terdapat majikan yang memecat pekerjanya hanya kerana memilih untuk berhijab.

Pada 15 Julai 2021, Mahkamah Tinggi Kesatuan Eropah memutuskan bahawa majikan dibenarkan untuk melarang pemakaian simbol kepercayaan agama atau politik oleh pekerja seperti berhijab.

Ia bersandarkan alasan majikan atau syarikat perlu menunjukkan imej yang neutral terhadap pelanggan mereka serta bertujuan mengelakkan perselisihan sosial. Kes itu dibawa oleh dua orang wanita Jerman yang masing-masing bekerja di pusat jagaan kanak-kanak dan farmasi. Kedua-dua wanita tersebut tidak memakai hijab ketika mula bekerja namun melakukannya beberapa tahun selepas itu.

Selain itu, media pada 12 Mei 2021 melaporkan bahawa Presiden Perancis Emmanuel Macron melarang calon pilihan raya Muslim berpenampilan memakai hijab di poster kempen.

Perkara 18 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) menjamin kebebasan beragama dengan menyatakan bahawa:
‘Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan berfikir, perasaan hati dan agama’.

Amnesty International sebuah badan hak asasi antarabangsa semasa sesi ke-55 Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Status Wanita menyatakan bahawa di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa setiap orang mempunyai hak untuk ekspresi dan kebebasan menzahirkan agama atau kepercayaannya. Cara seseorang itu berpakaian boleh menjadi ekspresi penting mengenai agama, budaya atau identiti peribadi, atau kepercayaannya. Maka secara amnya, hak kebebasan beragama atau kepercayaan dan kebebasan ekspresi membawa makna setiap manusia patut diberi kebebasan untuk memilih apa yang mahu atau tidak mahu dipakai.

Berhijab terkait kebebasan beragama dan ekspresi seseorang individu dalam memilih untuk berpakaian sesuai tuntutan agamanya. Namun larangan untuk memakai hijab sama ada daripada majikan mahupun Kerajaan adalah satu bentuk pencabulan hak asasi manusia kerana seseorang itu terhalang untuk mempraktiskan amalan agamanya kerana terdapat larangan daripada pihak yang berautoriti ke atasnya. Dalam erti kata yang lain, pilihan untuk berhijab adalah hak asasi seseorang individu, namun larangan berhijab adalah pencabulan hak asasi skala besar kerana ramai individu akan terkesan dan terhalang untuk mempraktiskan agamanya kerana larangan daripada pihak berkuasa tersebut.

Di saat semakin banyak pihak yang menunjukkan keterbukaan terhadap pemakaian hijab, Mahkamah Tinggi Kesatuan Eropah pula bertindak sebaliknya. Keputusan Mahkamah yang membenarkan majikan melarang pekerja memakai hijab boleh diintrepretasikan oleh masyarakat antarabangsa sebagai tidak mendukung hak kebebasan beragama. Malah apa yang lebih merisaukan ialah kes ini akan membuka ruang kepada lebih ramai majikan menekan pekerja yang berhijab supaya menanggalkan prinsip agama mereka.

Mereka terpaksa memilih antara prinsip agama atau kerja yang menjadi sumber pendapatan mereka. Walhal seiring perkembangan kesedaran tentang hak asasi manusia di seantero dunia, wanita tidak seharusnya tersepit dengan pilihan autokrasi seperti ini. Sebagai contoh tentera Afrika Utara membatalkan larangan pemakaian berhijab bagi wanita beragama Islam.

Selain itu, Perdana Menteri New Zealand turut menunjukkan keterbukaan dengan menyarung hijab secara terbuka.

Namun keterbukaan ini tidak seiring dengan diskriminasi yang masih berlaku secara meluas termasuklah di dalam negara kita, Malaysia.

Berita Harian bertarikh 28 Januari 2018 melaporkan bahawa Kementerian Sumber Manusia mendapati 13 hotel di Semenanjung Malaysia menetapkan dasar ‘standard grooming’ yang melarang pekerja wanita bertudung.

Malah umum mengetahui berkenaan larangan bertudung bagi pramugari syarikat penerbangan. Isu kebenaran bertudung di kalangan pramugari seolah-olah menjadi perdebatan politik mengatasi perbincangan ikhlas untuk menyelesaikan konflik sebenar melibatkan hak wanita di lapangan kerja.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, YB Dato Siti Zailah Mohd Yusoff adalah antara pemimpin politik yang pernah mengangkat isu kebebasan hak untuk bertudung dengan menyarankan agar pramugari Malaysia Airlines Berhad (MAS) diberi pilihan untuk bertudung.

Namun saranan itu kelihatannya hanya mencetuskan perdebatan di kalangan politikus dan orang awam, namun tidak memuktamadkan apa- apa keputusan yang mengangkat hak pramugari untuk bertudung.

Ironi apabila juruterbang wanita masih dapat memberikan komitmen kerja terbaik walaupun dengan imej bertudung namun keistimewaan itu kelihatannya belum dapat dinikmati oleh pramugari.

Hakikatnya pemakaian hijab tidak menjejaskan prestasi kerja seseorang. Malah ramai wanita berhijab berjaya menunjukkan kecemerlangan di lapangan kerjaya masing-masing. Jutaan wanita berhijab yang bekerjaya profesional di seluruh dunia. Contohnya The Sun Daily bertarikh 9 Ogos 2021 melaporkan berkenaan pencapaian wanita berhijab bernama Fakhirah Khairuddin yang berjaya mendapat tempat untuk bekerja di TESLA, California. Malah akhbar antarabangsa The News bertarikh 6 januari 2021 memaparkan kejayaan Dr Farah Roslan, wanita berhijab dari Malaysia yang memperkenalkan tudung pakai buang untuk doktor Muslimah di Hospital Royal Derby Hospital, United Kingdom.

Pada masa ini pilihan untuk berpakaian sopan diangkat oleh pelbagai pihak merentasi agama. Ia tidak hanya diangkat oleh golongan islamis semata-mata.

Contohnya pasukan Gimnastik Jerman yang bertanding dalam Sukan Olimpik 2021 di Tokyo memilih untuk memakai pakaian yang bertutup penuh, tidak terdedah seperti kebiasaan pakaian atlet gimnastik. Mereka berpakaian sedemikian demi membawa mesej menentang amalan seksis terhadap wanita dan kebebasan berpakaian bagi wanita.

Penampilan pasukan Gimnastik Jerman ini diraikan dengan pujian meluas pelbagai pihak. Malah media antarabangsa melaporkan dengan respon positif.

Kita mengakui bahawa ini adalah perkembangan yang baik apabila atlet gimnastik Jerman dijulang kerana berpakaian sopan. Namun pada masa yang sama kita terpaksa menelan kenyataan pahit menyaksikan wanita Islam di beberapa negara Eropah yang memilih tindakan yang sama harus menghadapi diskriminasi secara sosial dan undang- undang.

Undang-undang hak asasi manusia antarabangsa tidak akan berjaya menjadi undang-undang yang bersifat pelindung selama mana ia masih tidak dijadikan panduan dalam melindungi hak-hak manusia lain termasuklah hak kebebasan untuk berhijab bagi mana-mana wanita Islam.

Bagi wanita Islam, hijab membuat mereka rasa selamat dan dilindungi. Hijab adalah lambang perlindungan, kehormatan dan kemuliaan yang hadir bersama perintah agama melalui Surah An- Nur ayat 31:
“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya…”

Hikmah di sebalik hijab boleh dimengerti melalui Surah Al-Ahzab ayat 59:
“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri, ‘Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka’. Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”

Apabila wanita memilih berpakaian sopan atau menjolok mata dihormati keputusan mereka atas dasar itu adalah pilihan mereka, justeru dikatakan menghormati mereka adalah bermakna menghormati hak asasi manusia.

Namun pada masa yang sama mereka yang memilih untuk meletakkan selembar kain menutupi kepala dan dada dipandang penuh negatif sehingga mereka perlu ke Mahkamah dan berhadapan dengan tekanan majikan bahkan Kerajaan hanya untuk mempertahankan hak mereka supaya dapat berpakaian menurut keyakinan agama mereka. Inilah satu hipokrasi atas nama hak asasi.

No Comments

    Leave a Reply