Artikel ini adalah Bab 3 dari Siri “Mentafsir Semula Hak Asasi Manusia” oleh Mardhiyyah Johari.
Agama menurut definisi Dewan Bahasa dan Pustaka ialah kepercayaan pada Tuhan dan sifat- sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran dan perintah-Nya, kepercayaan pada Yang Maha Kuasa. Setakat buku ini ditulis, agama yang mempunyai penganut paling ramai di dunia pada masa ini ialah kristian dengan jumlah pengikut melebihi 2 bilion diikuti Islam dengan anggaran pengikut sekitar 1.8 bilion.
Agama dengan jumlah pengikut ketiga terbesar di dunia ialah hindu iaitu sekitar 1.1 bilion, seterusnya agama Buddha dengan anggaran 500 juta pengikut di kedudukan keempat.
Walaupun terdapat kajian yang menunjukkan jumlah negara-negara yang tidak beragama/tidak mengamalkan agama semakin bertambah, namun dalam masa yang sama perkembangan agama tetap berlaku dengan pesat.
Satu kaji selidik dijalankan oleh Gallup International dan WI Network dengan 63,898 wawancara menunjukkan 90% penduduk di China menganggap diri mereka atheis atau tidak beragama. Situasi ini berpunca daripada pemerintahan komunis selama berdekad-dekad yang membentuk fahaman tidak percaya kepada konsep agama dan ketuhanan. Selain China, kajian ini mendapati rakyat Sweden dan Czech juga mendakwa bahawa mereka atheis atau tanpa agama. Pemerintah Sweden telah melakukan kajian sendiri dan mendapati hanya 8% rakyatnya masih menghadiri acara keagamaan secara konsisten.
Agama yang berkembang paling pesat di dunia adalah Islam berdasarkan kajian yang dibuat oleh Pew Research Centre.Jumlah Muslim dijangka bertambah sebanyak 70% pada tahun 2060, dari 1.8 bilion kepada menghampiri 3 bilion.
Dari keseluruhan penduduk dunia, hanya 15.58% yang tidak berpegang pada mana-mana agama (religiously unaffiliated), manakala bakinya adalah pengikut agama yang pelbagai.
Maka secara faktanya, jumlah manusia yang berpegang kepada agama masih mendominasi populasi dunia. Justeru itu agama adalah satu isu fundamental yang mesti diberi perhatian serius dan tidak boleh sama sekali diremehkan dalam berbicara tentang hak-hak asasi manusia.
Malaysia adalah sebuah negara dengan jumlah penganut agama yang paling besar adalah Islam dengan 61.3%, seterusnya Buddha (19.8%), Kristian
(9.2%) dan Hindu(6.3%).
Agama Islam adalah agama persekutuan sepertimana termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, manakala Perkara 11(1) Perlembagaan memberikan jaminan hak kebebasan beragama. Kebebasan beragama di negara ini diikat dengan Perkara 11(4) di mana undang-undang negeri boleh mengawal dan menyekat doktrin atau kepercayaan agama lain dikembangkan di kalangan Muslim.
Isu yang mencabar penilaian minda dan nurani kita berkenaan hak asasi manusia dalam soal beragama ialah murtad, iaitu keluar daripada Islam.
Terdapat tanggapan bahawa melarang seseorang Muslim itu keluar daripada Islam adalah satu paksaan dalam beragama, justeru tuduhan dilempar bahawa ajaran Islam mengandungi pemaksaan yang melanggar hak asasi manusia.
Tanggapan yang dibuat secara semborono tanpa ilmu hanya menampakkan kedangkalan pemikiran. Tuduhan secara rambang tanpa sifat peduli untuk mengetahui duduk perkara sebenar adalah musuh kepada perpaduan antara penduduk berbilang bangsa dan agama.
Oleh itu, amat mustahak untuk kita mengetahui pendirian Islam terhadap orang yang murtad, adakah benar terdapat paksaan hingga diperintahkan hukuman bunuh terhadap mereka yang keluar dari Islam? Adakah terdapat kontradiksi antara pendirian Islam dan hak asasi manusia?
Jika kita rujuk kepada dokumen hak asasi antarabangsa iaitu Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat pada Perkara 18, memperuntukkan kebebasan beragama secara mutlak :
“Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan berfikir, perasaan hati dan ugama; hak ini termasuklah kebebasan menukar ugama atau kepercayaannya, dan kebebasan, samada secara bersendirian atau secara bersama-sama dengan orang-orang lain dan secara terbuka atau bersendiri, menganuti ugama atau kepercayaannya melalui pengajaran, amalan, pemujaan dan pematuhan.”
Manakala dalam dokumen hak asasi manusia antarabangsa yang ditandatangani negara-negara Islam, Perkara 10 Deklarasi Kaherah Mengenai Hak Asasi Manusia Dalam Islam menyebut bahawa Islam melarang sebarang unsur tekanan terhadap manusia mahupun eksploitasi kemiskinan dan kejahilan sebagai satu paksaan ke atas seseorang untuk menukar agamanya.
ARTICLE 10:
“Islam is the religion of true unspoiled nature.It is prohibited to exercise any form of pressure on man or to exploit his poverty or ignorance in order to force him to change his religion to another religion or to atheism.”
Manakala Al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 256 dengan jelas menegaskan :
Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Terdapat perbezaan pandangan ulama’ mengenai hukuman ke atas orang yang murtad.
Secara ringkasnya, kebanyakan ulama terdahulu berpegang teguh bahawa murtad dikenakan hukuman hudud manakala terdapat ulama kontemporari mengatakan tiada ketetapan mengenai hukuman murtad atau dalam erti kata lain ianya adalah takzir. Pendapat kedua ini dipelopori oleh ulama kontemporari seperti Abd al-Mutaali al- Saidi, Ibrahim al-Nakhai, Muhammad Abduh, Mohamad Hashim Kamali dan lain-lain lagi. Pada dasarnya hukuman murtad bukanlah hudud tetapi hanya takzir. Golongan ini berpendapat umpamanya pandangan Abd al-Mutaali al-Saidi iaitu manusia diberikan kebebasan beragama mengikut pilihannya.
Faktor yang menyebabkan Rasululullah s.a.w menyatakan hukuman bunuh pada kesalahan murtad bukanlah kerana kemurtadan mereka tetapi berfaktorkan pemberontakan menentang Islam. Terdapat juga kritikan ulama terhadap kesahihan dan darjat hadith “sesiapa yang menukar agamanya hendaklah dibunuh”. Hadith ini adalah hadith ahad dan tidak kuat untuk dijadikan hujah kepada sesuatu hukum menurut ilmu usul fiqh.
Pandangan kedua ini selari dengan pendapat daripada Sheikh al-Azhar iaitu Sheikh Mahmoud Syaltut yang disiarkan dalam laman web Dar al Ifta’ Mesir. Beliau berpandangan bahawa membunuh orang yang murtad bukanlah hukum had.Jika dapat dirumuskan bahawa sesungguhnya hudud tidak sabit dengan hadith ahad (lawan kepada hadis mutawatir), maka kafir seorang diri tidak menghalalkan darahnya untuk dibunuh. Sebaliknya hukum bunuh hanyalah terhadap kafir jenis muharabah (permusuhan dan percubaan fitnah terhadap agama) kerana zahir ayat Quran melarang paksaan dalam agama. Maka hukum bunuh terhadap orang murtad tidak terjadi semata-mata kerana perbuatan murtad sahaja, tetapi kerana ada elemen tambahan yang memecah belahkan jemaah Islam iaitu menggunakan riddah untuk memalingkan Muslimin dari agama mereka, maka ini adalah harbun(perang) dalam agama.
Sheikh Mahmoud Syaltut berpendapat bahawa orang murtad tidak dikenakan hukuman duniawi melainkan hanya hukuman moral dan itu diserahkan hanya kepada Allah. Alasannya berdasarkan ayat 217 Surah Al-Baqarah.
Di Malaysia, undang-undang jenayah syariah berkaitan murtad adalah tidak seragam. Sepertimana diketahui, undang-undang syariah adalah tertakluk pada bidang kuasa negeri. Terdapat enakmen jenayah syariah yang menggunapakai istilah murtad seperti Enakmen Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II (Kelantan) 1993. Namun kebanyakan negeri-negeri tidak menggunakan istilah murtad sebaliknya menggunakan istilah yang berkaitan dengan kesalahan tersebut sahaja seperti ‘percubaan murtad’ yang digunakan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995.
Seksyen 63(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah memperuntukkan mengenai kesalahan percubaan murtad. Peruntukan tersebut menyatakan bahawa :
“Apabila seseorang Islam dengan sengaja, sama ada dengan perbuatan atau perkataan atau dengan cara apa jua pun, mengaku hendak keluar dari agama Islam atau mengisytiharkan dirinya sebagai orang yang bukan Islam, Mahkamah hendaklah, jika berpuashati bahawa seseorang itu telah cuba menukarkan iktikad dan kepercayaan agama Islam sama ada dengan pengakuan atau perbuatannya sendiri, memerintahkan orang itu supaya ditahan di Pusat Bimbingan Islam untuk tempoh tidak melebihi tiga puluh enam bulan dengan tujuan pendidikan dan orang itu diminta bertaubat mengikut Hukum Syarak.”
Manakala Melaka turut menggunakan istilah “percubaan murtad” dalam enakmennya tetapi berbeza sedikit hukuman yang dikenakan berbanding dengan kesalahan percubaan murtad di negeri Sabah iaitu Mahkamah Syariah Melaka akan memerintahkan orang tersebut supaya ditahan di Pusat Bimbingan Islam dalam tempoh tidak melebihi enam bulan berdasarkan Seksyen 66 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991. Manakala Selangor pula menggunakan istilah “mendakwa bukan Islam” dan jika sabit kesalahan, pesalah akan didenda tidak melebihi RM 5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun berdasarkan seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1992.
Secara umumnya murtad tetap dianggap sebagai kesalahan dalam undang-undang jenayah Syariah di Malaysia namun berbeza istilah dan hukumannya dalam enakmen negeri-negeri.
Sebagaimana rakyat sesebuah negara terikat dengan undang-undang negara tersebut maka penganut sesuatu agama juga adalah terikat dengan peraturan agama yang dianuti. Seseorang yang tidak mementingkan ketaatan pada agama tidak sewajarnya mempertikaikan pendirian mereka yang taat untuk terus konsisten mematuhi segala perintah dan larangan dalam agama yang mereka imani.
Melakukan sesuatu yang memudharatkan dan merosakkan imej negara secara terang-terangan adalah satu pengkhianatan terhadap negara dan mempunyai hukumannya.
Bahkan bagi mereka yang menjadi perisik atau spy dan menyalurkan maklumat rahsia sesebuah negara kepada negara lain, jika tertangkap akan dibunuh. Sebagai contoh BBC News bertarikh 20 Julai 2020 melaporkan Iran menjatuhkan hukum bunuh kepada bekas pekerja di Kementerian Pertahanannya yang menjadi perisik bagi pihak US dan Israel sehingga membawa kepada pembunuhan Qasem Soleimani.
The New York Times bertarikh 20 Mei 2017 pula melaporkan Kerajaan China telah memenjarakan atau menjatuhkan hukum bunuh terhadap 18 hingga 20 orang perisik CIA dari tahun 2010 hingga 2012.
Tiada siapa mempertikaikan hukuman keras ke atas pengkhianat negara. Maka begitu jugalah penilaian yang adil harus diberikan terhadap Islam tanpa dipengaruhi sentimen islamophobia.
Pengiystiharan murtad secara terang-terangan sebagai provokasi terhadap ummat Islam, seterusnya disusuli perbuatan-perbuatan yang bersifat memerangi Islam dan ummatnya sehingga mencetuskan kacau bilau, mudharat, permusuhan dan merosakkan keamanan adalah satu pengkhianatan terhadap agama dan sudah pasti mempunyai hukumannya. Ia adalah perlindungan terhadap keamanan hidup beragama.
Hidup beragama adalah satu hak asasi manusia yang dijamin negara dan didukung deklarasi hak asasi manusia antarabangsa.
Maka peraturan yang melarang keluar agama sewenang-wenangnya serta larangan perbuatan khianat yang menimbulkan permusuhan dan kacau bilau ke atas penganut sesuatu agama bukanlah satu kontradiksi hak asasi sebaliknya adalah satu bukti perlindungan hak asasi manusia.

No Comments