Hak Asasi Manusia / Perundangan

Iktiraf Gender Ketiga Memprejudiskan Hak Wanita

Artikel ini adalah Bab 2 dari Siri “Mentafsir Semula Hak Asasi Manusia” oleh Mardhiyyah Johari.

Dunia maya Malaysia dikejutkan dengan iklan SUHAKAM bertarikh 14 Jun 2021 yang mencari penyelidik untuk mengkaji berkenaan pengiktirafan jantina ketiga di negara ini. Iklan tersebut yang disiarkan di laman facebook SUHAKAM menyatakan tajuk kajian ialah ‘Feasibility of Having Legislation on The Recognition of a Third Gender in Malaysia’. SUHAKAM mensasarkan dapatan kajian (research outcome) tersebut akan menjadi asas kepada reformasi undang-undang (law reforms) ke arah mengiktiraf gender ketiga di Malaysia.

Tindakan SUHAKAM itu telah membawa kepada bantahan lebih 150 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam. Gabungan NGO itu berkata, SUHAKAM sebagai sebuah institusi yang ditubuhkan oleh Parlimen Malaysia seharusnya mengambil kira pandangan semua pemegang taruh dalam mengangkat apa-apa isu hak asasi manusia.

Mereka menegaskan bahawa :
“Kami membidas tuduhan anti ilmu dan anti intelektual yang dikenakan kepada sesiapa yang membantah kajian ini kerana ahli akademik dalam gabungan NGO ini secara jelas mengenal pasti ketidakbebasan penyelidik apabila sebarang hasil atau dapatan kajian mestilah ke arah menyokong objektif yang telah ditetapkan terlebih dahulu oleh SUHAKAM iaitu untuk membangunkan reformasi perundangan komprehensif bagi menetapkan garis panduan pengiktirafan gender untuk golongan transgender di Malaysia.”

Adakah pengiktirafan undang-undang terhadap gender ketiga merupakan sesuatu yang boleh diterima dalam negara kita? Pada masa ini individu yang mahu menukar jantina di Malaysia akan membuat permohonan di Mahkamah. Contohnya pada tahun 2011, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pernah menolak permohonan seorang lelaki bernama Mohd. Ashraf Hafiz untuk menukar nama dan status jantina dalam MyKad kepada Aleesha Farhana.

Manakala pada 18 Julai 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan saman pemula dan pengisytiharan yang difailkan oleh seorang wanita supaya dia diisytiharkan sebagai lelaki. Ketua Pengarah JPN diarah menukar nama wanita itu dalam kad pengenalan dan menukar digit terakhir kad pengenalan kepada digit yang menunjukkan jantina lelaki. Dalam erti kata lain pada masa ini kebenaran menukar jantina diputuskan oleh Mahkamah berdasarkan kes.

Malaysia mesti mengambil serius implikasi negatif yang bakal berlaku sekiranya gender ketiga diiktiraf di negara ini. Implikasi yang ketara adalah melibatkan hak-hak dan kepentingan wanita.

Sukan-sukan Bagi Kategori Wanita akan Disertai Atlet Lelaki

Sekiranya gender ketiga diiktiraf, maka atlet wanita terpaksa menerima hakikat bahawa sukan kategori wanita akan disertai lelaki yang menukar jantina kepada wanita. Kesannya atlet wanita terpaksa bertanding atas padang yang tidak sama rata kerana atlet lelaki semestinya mempunyai kelebihan dari segi fizikal.

Sukan Olimpik di Tokyo tahun 2021 menjadi bukti apabila atlet angkat berat bernama Laurel Hubbard yang merupakan seorang lelaki secara biologi yang kemudiannya menukar jantina telah dibenarkan menyertai pertandingan angkat berat kategori wanita dan mencipta sejarah sebagai transgender pertama bertanding di Sukan Olimpik. Kritikan disuarakan atlet angkat berat Olimpik wanita, Tracey Lambrechs bahawa penyertaan transgender akan memusnahkan sukan kategori wanita kerana atlet wanita lambat laun tidak akan menyertai sukan yang mana mereka sedar tidak ada peluang untuk menang, sepertimana dilaporkan akhbar Dailymail UK bertarikh 23 Jun 2021.

Keadaan menjadi lebih parah apabila atlet wanita yang bersuara mengenai ketidakadilan yang berlaku diminta untuk diam. Reuters bertarikh 07 Mei 2021 melaporkan situasi seperti ini dialami Tracey Lambrechs apabila dia mempertikaikan ketidakadilan penyertaan atlet transgender Laurel Hubbard dalam sukan angkat berat wanita.

Suara atlet wanita berkenaan sukan wanita tidak lagi dominan dan dianggap prioriti kerana peluang juga diberikan kepada atlet transgender atas nama hak asasi apabila gender ketiga telah diterimapakai undang-undang setempat.

Sekiranya atlet wanita mahu mencabar pertandingan yang mereka rasakan tidak adil, mereka harus menempuh proses yang mencabar iaitu memfailkan tuntutan di Mahkamah. AP News bertarikh 13 Februari 2020 melaporkan bagaimana keluarga tiga pelajar perempuan yang merupakan atlet lumba lari sekolah telah memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah untuk menyekat atlet transgender daripada menyertai sukan kategori wanita di Connecticut.

Nama seperti Selina Soule menjadi popular kerana perjuangannya melindungi sukan wanita dari disertai atlet lelaki yang beridentiti wanita. Selina Soule sendiri adalah seorang atlet lumba lari remaja berpotensi besar yang hilang kelayakan untuk menyertai pertandingan di peringkat daerah dan New England kerana dikalahkan atlet transgender yang merupakan lelaki secara biologi sepertimana dilaporkan Independent Women’s Forum bertarikh 26 Jun 2020 .

Tempat-tempat Privasi Wanita Harus Dikongsi Dengan Lelaki Beridentiti Perempuan

Pengiktirafan gender ketiga memberi makna wanita terpaksa berkorban untuk berkongsi ruang privasi mereka dengan lelaki secara biologi. Contohnya seperti asrama dan tandas perempuan serta ruang wudhu dan solat wanita di masjid. National Post bertarikh 02 Ogos 2018 memaparkan kisah yang berlaku di Toronto .Seorang yang dikenali sebagai Hanna, 37 tahun terpaksa berkongsi bilik dengan lelaki yang beridentiti perempuan lalu Hanna mendakwa menjadi mangsa serangan seksual. Apabila beliau adukan kepada Pusat Sokongan Undang-Undang Hak Asasi Manusia (Human Rights Legal Support Centre), Hanna pula dikatakan oleh pusat hak asasi itu sebagai melakukan diskriminasi kerana merujuk teman sebiliknya sebagai lelaki (man).

Hanna yang menganggap dirinya sebagai seorang yang aktif dalam komuniti LGBTQ kini merasakan bahawa golongan wanita yang lemah tidak mampu menyuarakan hak jantina mereka sendiri kerana khuatir melanggar hak orang lain.

Manakala BBC News bertarikh 08 Jun 2016 melaporkan kemenangan seorang transgender dalam kes Mahkamah di Jersey apabila beliau mencabar penggunaan istilah jantina lelaki (gents) dan perempuan (ladies) yang digunakan di tandas.

Membuka Ruang Lebih Luas Kepada Penipuan Jantina Untuk Tujuan Jenayah

Seorang yang melakukan jenayah boleh menukar identiti kepada jantina berbeza untuk mengelakkan dirinya dari dicam atau dikenali, seterusnya memudahkan tindakan melarikan diri. Apa yang paling ditakuti ialah pemangsa seks boleh menyamar dengan menukar identiti jantina bagi memudahkan akses kepada mangsa.

The Press and Journal bertarikh 22 Jun 2018 berkongsi pengalaman seorang ibu yang cuba memperkenalkan dirinya sebagai lelaki telah mendapat akses dengan mudah daripada pihak pengurusan asrama untuk masuk ke bilik asrama lelaki (male dormitory). Ibu tersebut berasa takut andai kesempatan seperti itu disalahgunakan oleh pemangsa seks untuk mendapatkan akses dengan mudah ke dalam asrama wanita hanya dengan menukar identiti sebagai wanita.

Golongan wanita dan lelaki juga terdedah kepada keadaan di mana mereka akan berpasangan dengan ‘lelaki’ dan ‘wanita’ yang menyamar identiti. Sebagaimana yang telah dilakukan oleh pesalah seksual wanita bernama Gayle Newland. Menurut laporan BBC News bertarikh 29 Jun 2017 Gayle Newland menyamar identiti sebagai lelaki lalu berpasangan dan melakukan hubungan intim dengan rakan perempuannya. Gayle Newland telah didapati bersalah oleh Mahkamah UK.

Pesakit Wanita Terpaksa Berkongsi Wad Dengan Pesakit Lelaki

Evening Standard bertarikh 11 Januari 2019 serta The Telegraph bertarikh 10 Januari 2019 melaporkan situasi yang berlaku di England yang mana pesakit lelaki dibenarkan untuk berkongsi wad dengan pesakit wanita di hospital-hospital apabila mereka memperkenalkan identiti mereka sebagai wanita. Malah laporan ini juga menyatakan bahawa tiada mana-mana perkhidmatan kesihatan (National Health Service) di UK mensyaratkan pesakit untuk menjalani transisi dari lelaki kepada wanita terlebih dahulu untuk mereka diberikan rawatan sebagai pesakit wanita, iaitu jantina yang dipilih.

Seterusnya laporan Express bertarikh 12 Januari 2019 menyatakan bahawa hospital-hospital di Britain telah secara rutin membenarkan pesakit lelaki yang memperkenalkan identiti mereka sebagai wanita untuk berkongsi wad dengan pesakit wanita. Laporan ini juga menyebut bahawa terdapat doktor yang mendakwa negara telah mengorbankan hak majoriti demi hak minoriti. Wad adalah tempat yang memerlukan perlindungan privasi bagi wanita, lebih-lebih lagi apabila mereka dalam keadaan sakit.

Keberadaan pesakit lelaki dalam wad pesakit wanita adalah gangguan terhadap privasi wanita.

Masalah Penempatan Banduan Penjara

Isu penempatan transgender wanita/ transwomen di penjara menjadi satu masalah besar bagi negara yang mengiktiraf gender ketiga. Pada masa ini mereka ditempatkan di penjara wanita dan seterusnya menimbulkan isu serangan seksual terhadap banduan wanita.

Mahkamah Tinggi England dan Wales baru-baru ini telah menolak permohonan daripada banduan wanita yang mencabar polisi menempatkan banduan lelaki secara biologi di penjara wanita. Dia sendiri mendakwa menjadi mangsa serangan seksual oleh banduan transgender. Mahkamah memutuskan bahawa tindakan menempatkan banduan transgender wanita/transwomen bersama dengan banduan wanita adalah tidak bersalahan undang-undang sepertimana laporan The Guardian pada 02 Julai 2021.

Laporan The Guardian bertarikh 11 Oktober 2018 pula mendedahkan kisah seorang transgender wanita/transwomen bernama Karen White yang diletakkan dalam penjara khusus wanita di UK. Dalam tempoh tiga bulan di penjara, dia telah melakukan serangan seksual terhadap dua banduan wanita. Masalah ini pasti menjadi tekanan besar bagi banduan wanita kerana penjara adalah tempat terkurung bagi mereka menjalani hukuman atas kesalahan masing-masing.

Namun sel sempit dan tandas penjara harus dikongsi pula dengan banduan lelaki yang memperkenalkan diri dengan identiti wanita.

Isu ini diangkat media Fair Play for Women betarikh 16 Mei 2021 dan 11 November 2020 yang melaporkan ketua penjara meletakkan banduan transgender bersekali dengan banduan wanita hanya atas alasan mereka perlu bergaul dengan wanita. Isu penempatan transgender dalam penjara wanita ini telah dibawa ke Mahkamah apabila terdapat banduan wanita yang memfailkan saman terhadap Kerajaan UK untuk mencabar polisi menempatkan banduan transgender dalam sel wanita.

Konflik Rumah Tangga Apabila Pasangan Menukar Jantina

Pengiktirafan gender ketiga membawa kepada konflik baru rumah tangga apabila situasi suami atau isteri tiba-tiba menukar jantina berlaku. Mangsa yang paling malang dalam situasi ini pastilah anak-anak yang akan keliru dan kehilangan watak asli ayah atau ibu. Frasa “suamiku kini isteriku” atau “isteriku kini suamiku” seperti disiarkan The Establishment pada 14.11.2016 akan menjadi biasa dalam masyarakat. Hatta pasangan yang telah berkahwin selama tiga puluh tahun tidak terkecuali berhadapan konflik kekeliruan seperti ini seandainya gender ketiga diterima (The Florida Times-Union, 21 Ogos 2015).

Apa yang lebih membimbangkan adalah keruntuhan rumah tangga apabila suami atau isteri menukar jantina. Fakta menunjukkan Pendaftar Perkahwinan di Singapura telah membatalkan perkahwinan-perkahwinan yang pada asalnya didirikan oleh pasangan lelaki dan wanita, namun kemudiannya salah seorang pasangan mengubah jantina lalu menjadikan perkahwinan itu sebagai perkahwinan sama jantina.

Golongan Lelaki Mengandung

Adakah masyarakat kita sudah bersedia atau sanggup untuk melihat suasana golongan lelaki mengandung kelihatan di mana-mana apabila gender ketiga diiktiraf? Itulah keadaan yang berlaku apabila golongan wanita yang masih mempunyai rahim, namun menukar identiti menjadi lelaki. Mereka mahu mempunyai anak lalu memilih untuk mengandung walaupun fizikal mereka kelihatan lelaki seperti bermisai dan berjanggut.

Situasi ini dapat dilihat dalam laporan NBC News bertarikh 19.05.2019 (Trans dads tell doctors: ‘You can be a man and have a baby’) dan 02 Julai 2021 (Thomas Beatie – He was famous for being ‘the pregnant man’) serta The Guardian bertarikh 20 April 2019 (The dad who gave birth: ‘Being pregnant doesn’t change me being a trans man’).

Ibu Tumpang / Surrogate Mother

Bagi golongan lelaki gay pula, mereka yang mahu memiliki anak memilih untuk mendapatkan ibu tumpang (surrogate mother). Terdapat seorang nenek di Nebraska yang menjadi ibu tumpang untuk anak lelakinya seorang gay (BBC News, 02 Disember 2020). Bayi tersebut adalah hasil persenyawaan sperma pasangan lelakinya serta ovum kakaknya. Malah terdapat laman web surrogate.com bagi pasangan gay mencari ibu tumpang. Situasi bercelaru seperti ini pasti akan merosakkan nasab masyarakat. Malah amalan ini jika dimulakan pasti mencetuskan kekeliruan berbahaya terutama kepada generasi anak-anak yang lahir dari kepincangan susur galur yang dicipta oleh golongan melawan fitrah.

Anugerah Wanita Direbut Lelaki

Pengiktirafan gender ketiga bermaksud lelaki secara biologi yang menukar identiti kepada wanita akan bersaing bagi merebut anugerah yang dikhususkan untuk wanita. Wanita yang selama ini perlu bersaing di lapangan kerjaya dan politik untuk mendapat tempat yang didominasi lelaki, kini terpaksa bersaing hanya untuk mendapat anugerah yang terhad untuk jantinanya sendiri.

Nisha Ayub sebagai contoh seorang transgender wanita/transwomen telah menerima anugerah U.S. International Women of Courage Award pada tahun 2016 yang sepatutnya menjadi milik golongan wanita asli.

No Comments

    Leave a Reply