Cerpen

Cinta Dalam Diam (Siri 1)

Jika jatuh kerana cinta, Bangkitlah kerana CINTA.

Arghhhhhhh!!

Lelaki tak guna!!

‘Aku korbankan segala-galanya untuk kau, ini kau balas pada aku.’

Membahang hati Hanan apabila terkenangkan kembali wajah bekas teman lelakinya yang telah seminggu meninggalkannya tanpa sebab.

“Maafkan saya, Hanan… Awak terlalu baik untuk saya, saya rasa tidak layak untuk awak,” rintih Ammar disaat hari terakhir perpisahan mereka.

Hanan keras membatu seperti diri baru dirasuki jin. Api kemarahannya membara sehingga api itu membakar air mata… bening matanya kering, hatinya kosong, mulutnya terkunci tidak semena-mena.

Ya, dia tahu tentang kecurangan kekasihnya yang talam dua muka itu. Rakan-rakannya juga menasihati Hanan untuk meninggalkan lelaki mata keranjang itu.

Tapi… Dia sudah terlanjur mencintai Ammar…

Terlalu dalam nama Ammar dilempar dipelusuk lubuk hatinya. Lautan cinta itu membutakan hatinya daripada melihat pembohongan Ammar kepadanya.

Kini kebencian yang menggunung kepada kaum Adam telah menguasai diri Hanan.

*****************

Sudah dua bulan peristiwa duka itu menyelubungi diri Hanan. Tetapi nama lelaki itu masih lagi tidak dapat dilupuskan daripada hati gadis polos itu. Pembelajaran Hanan di universiti turut terganggu.

“Hanann… Hanann Qamarinaaa … Nur Hanan Qomarinaaaa!!”

Lamunan Hanan terganggu dengan jeritan namanya yang kuat. Namanya diseru beberapa kali oleh Dr Shima. Nada suara pensyarahnya yang nyaring dan tinggi itu menyebabkan seluruh mata di bilik kuliah memandang serentak kepada Hanan.

“Err… ya saya Dr,”

Tergesa-gesa Hanan bangun daripada kerusinya setelah menyedari namanya dipanggil.

“Kamu mengalamun apa tadi? Cuba terangkan semula apa yang saya mengajar di hadapan ni.”

“Mmm-maafff Dr, saya tidak berapa faham topik harini,” dalih Hanan untuk menyelamatkan dirinya.

“Kamu tak faham atau kamu tak bagi tumpuan? Sudah berapa kali dalam kelas saya, kamu mengalamun? Kalau memang tak suka datang kelas saya dipersilakan keluar, air liur saya bukan dicipta untuk ajar pelajar yang tidak beradab seperti kamu!”

Pappppp… terasa seperti pipinya ditampar ketika itu. Merah padam mukanya setelah dimarahi oleh Dr Shima. Dalam berpuluh pasang mata yang memandang Hanan dengan pandangan sindiran, ada sepasang mata memandang Hanan dengan penuh simpati dan belas kasihan.

“Aku mesti bantu dia,”

Bisik pemilik sepasang mata tersebut didalam hati.

****************

(Di perkarangan luar masjid)

“Assalamualaikum Hanan,” Sapa Auliya dengan penuh mesra.

“Waalaikumussalam. Weh Liya, lama tak jumpa kau,” Balas Hanan.

“Ye ke lama tak jumpa, bukan kita kelas sekali ke? Kau je sombong tak nak tegur aku,” Sindir Auliya.

“Bukan sombong, tapi rasa macam tak layak pula nak kawan dengan sep ustajah macam kau ni… Hahaha,” Gurau Hanan dengan kawan yang dirinduinya dalam diam.

“Ngade la kau ni. Jom lepak pantai.. Lama tak dengar kau cerita pasal crush kau, haha,“ Usik Auliya.

Tidak semena-mena berubah air muka Hanan apabila mendengarkan perkataan crush. Dirinya mula melayang jauh memikirkan bekas kekasihnya.

‘Ops, adoi Liya, mulut tu laju sangat, langgar traffic light nanti! Hanan dah sedih!’ Monolog Auliya memarahi keterlanjuran bicaranya.

“Err… Maafkan patik Puteri Hanan, patik rela dipancung asalkan tuan puteri tidak murka kepada patik,” Auliya mula berdrama untuk memujuk sahabatnya itu.

“Hmm… aku ok je la, jangan risau,” Sayu nada suara Hanan membalas.

“Aaaa…” kata-kata Auliya terhenti setelah anak usrahnya datang memanggilnya.

“Akak Auliya adik-adik dah tunggu tu, dah lewat ni…”

“Okey dik, 5 minit akak datang, awak buka majlis dan beri pengisian dulu ya. Nanti akak datang kita sambung,” Auliya memberi arahan kepada adik usrahnya.

“Weh Hanan bila-bila free, datang la asrama aku ye, boleh sembang banyak lagi,”

“Ok Liya. Apa-apa aku hubungi kau.” Balas Hanan.

Pertemuan mereka berakhir dengan pelukan yang lama. Kedua-dua membisu, menggambarkan perasaan yang terlalu merindui antara satu sama lain. Bening mata Hanan mula berair entah mengapa.

“Aku sayang kau Hanan. Wallahi,”

Ucapan yang terakhir itu tiba-tiba keluar dari mulut Auliya menyebabkan kolam matanya tak mampu dibendung lagi.

Auliya sangat merindui sahabat karibnya itu. Dulu mereka sangat rapat, sentiasa berkongsi rasa hati, bergosip tentang crush masing-masing, berkongsi hobi yang sama dan segala benda pasti mahu sama. Tetapi segala-galanya berubah setelah Auliya sedikit demi sedikit berhijrah dalam mencari hidayah Allah.

Disaat Auliya bergelut peritnya untuk mendaki tangga perjalanan hijrah, disaat itulah satu persatu sahabatnya meninggalkannya. Dia dianggap wanita hipokrit oleh sahabat-sahabatnya. Disebabkan ada seorang manusia batu api di antara mereka, maka Hanan turut terpengaruh dengan sahabat-sahabatnya yang lain.

Perasaan kasih kepada sahabatnya itu tidak pernah berkurang walaupun Hanan sudah menjauhkan diri daripadanya. Auliya sentiasa berdoa agar Hanan dipilih untuk merasai kemanisan berhijrah dalam mengejar sebuah cinta yang hakiki.

***************

“Assalamualaikum warahmatullah…” Salam kedua diberi oleh imam menandakan sudah selesai mengerjakan solat fardhu Asar secara berjemaah. Hanan bergegas ke bilik persalinan untuk memakai tudungnya. Selesai memakai tudung dia mula mengatur langkah untuk pulang ke asrama. Matanya terfokus kepada satu kumpulan usrah di serambi masjid. Dan dia tahu Auliya ada disitu.

“Hmm rasa nak lalu situ la, nak dengar apa la Auliya kongsikan dengan adik-adik dia tu,” Bisik hati Hanan. Langkahnya diatur dengan berhati-hati agar jelmaannya tidak disedari oleh Auliya.

“Tanamkan kecintaan antum kepada Muhammad SAW. Kerana melalui jalan mencintai baginda, kita akan mencapai cinta Allah SWT,” Auliya menyampaikan nasihat buat adik-adiknya.

“Eh biar betul Auliya ni! Ada ke patut suruh juniornya kejar cinta lelaki, aku ingat ke geng tudung labuh ni tak couple, entah-entah Auliya ni ikut ajaran sesat!” Bermacam-macam andaian yang Hanan buat setelah melewati kumpulan usrah terbabit.

‘Aku mesti siasat!’ Azam Hanan lagak Detective Conan.

….Bersambung…

-Slot Suri Hati-

No Comments

    Leave a Reply