Bagaimana keluarga mahu mencapai populasi ideal dengan beranak ramai dengan kehidupan kerja masa kini?
Membaca pesanan Public Health Malaysia ini, membuat saya termenung. Bagaimana kita mahu mencapai populasi ideal, apakah Dasar Pembangunan Keluarga yang ideal dengan gaya hidup kita sekarang?
Rata-rata di Malaysia suami isteri bekerja, ada yang jam enam pagi sudah keluar rumah, malah ada yang lebih awal. Bagaimana subuh dan sarapan anak-anak? Waktu petang pula ada yang sudah sampai rumah jam enam petang namun ramai juga yang jam sepuluh baru keluar ofis. Belum termasuk mereka yang bekerja shift.
Suasana kerja di Malaysia bukan sekadar Isnin Jumaat dari jam 8/9 pagi hingga 5/6 petang. Rata-rata bekerja hingga santak waktu bekerja memakan masa bersama keluarga. Bagaimana kerja sekolah anak yang kita sedia maklum hampir setiap hari diberikan, solat jemaahnya dan keperluan waktu malam?? Silibus yang mencapai langit ketujuh hebatnya.
Itu belum masuk berbengkel, kursus lapangan luar kawasan yang bukan sekadar sekali dua setahun. Jika anda berkursus berbengkel di mana pun, anda akan berjumpa dengan banyak lagi kumpulan pekerja dari pelbagai agensi yang juga berbengkel berhari-hari. Dan pastilah anak juga ditinggalkan. Anak duduk dengan siapa?
Belum termasuk ayah memegang jawatan tinggi dan ibu pun tak mahu kalah mahu mencapai dasar kuota negara wanita perlu mencapai 30 peratus pembuat keputusan. Zaman ini ibu yang tak kisah anak pun ramaaai. Belum masuk kerja luar bersosial anak diabaikan. Janji ibu ayah happy dengan kawan-kawan.
Beranak ramai ini bukan sekadar mengandung dan melahirkan. Jika purata ibu yang sihat ramai untuk mengandung dan melahirkan, bapa juga berkemampuan pun, masalah yang harus difikirkan adalah penjagaan anak setelah dilahirkan.
Bagaimana sistem sokongan keluarga negara kita?
Ibu terpaksa mengepam EBM setiap hari, siapa yang akan menjaga anak pengasuh kah nurseri kah?
Sistem sokongan bukan sekadar beri pelepasan rebat pembelian kelengkapan susu anak. Banyaaak perkara harus difikirkan. Kerajaan bukan mampu menyediakan semuanya.
Dengar jumlah kes penderaan anak-anak, kematian bayi di tempat jagaan yang bukan sedikit, seolah-olah nyawa anak-anak begitu murah diperlakukan oleh sebahagian pengasuh tak bertanggungjawab.
Anda rasa ibu bapa tenang bekerja di pejabat?
Ingat kisah mayat bayi dalam freezer rumah pengasuh?
Di UK sangat berbeza. Waktu kerja normal hanya pada waktu siang. Malam tiada urusan kerja walaupun emel. Group WhatsApp Telegram untuk urusan kerja memang tidak menjadi amalan di sana.
Setiap pagi saya menghantar anak-anak ke sekolah di Scotland, saya lihat kebanyakan anak-anak di sana dihantar ibu bapa atau beberapa orang dihantar atuk nenek. Tiada kelihatan bas sekolah. Kita belum cerita isu keselamatan bas dan van sekolah di Malaysia yang agak menyedihkan. Maka bonding mereka sangat bagus (bab bila dewasa jangan cerita). Anak-anak tidak akan dibiarkan bersendirian di mana-mana tanpa pengawasan.
Di UK undang-undang dan akta berkaitan kanak-kanak dikuatkuasakan dengan baik sekali. Kes pembuangan bayi sangat langka. Boleh dibilang dengan jari dalam masa 10 tahun. Kurang 10 kes!
Jika ada pun kes akan disiasat hingga lubang cacing. Begitu juga kes penderaan bayi. Kes kematian Baby P yang didera merupakan satu kes yang mana pihak autoriti mengambil tindakan tegas terhadap pelaku malah semua petugas dan pegawai cuai yang terlibat.
Mereka bukan negara Islam tapi mereka menjaga maqasid penjagaan nyawa lebih dari kita! Kita, bab bayi dan kanak-kanak mati didera atau diabaikan seolah-olah tidak berkesudahan. Terus bertambah dan bertambah…
Di Malaysia berapa ramai ibu bapa tinggalkan anak sendirian di rumah?? Golongan B40, M40 dan T20 masalah yang sama. Sistem sokongan yang bagus dari fasiliti di UK pun tidak mampu membuatkan rakyat UK mempunyai anak yang ramai. Bagaimana kita yang berada di Malaysia mahu sasarkan anak sehingga enam tujuh orang dengan sistem kita sekarang?
Mahu tidak mahu ibu bapa perlu bekerja keras membesarkan anak-anak. Saya yakin ramai ibu bapa di luar sana sangat struggle membesarkan anak-anak walaupun dua tiga orang. Saya tabik pada ibu bapa yang tidak kenal erti penat membesarkan anak dan mencari nafkah serta menabur bakti pada negara.
Saya sendiri selama dua hari ini, memberi latihan di luar kawasan, berawal pagi menyiapkan sarapan dan menunggu anak sarapan sebelum bergegas ke tempat kerja. Habis training semalam langsung pulang ke rumah jam 7 malam menyiapkan makanan dan memastikan anak-anak solat dan makan malam, dan sambung pula bengkel jam 8:30 malam di negeri lain pula. Kasihan anak-anak dan bila dekat memang jika mampu saya bawa ke bengkel, pagi kami hantar ke sekolah. Agar dipastikan solat kerja rumah nya dapat diselesaikan.
Sepanjang saya memberikan kursus, saya lihat banyak lagi kumpulan pekerja yang menerima latihan kursus dari seluruh Malaysia. Dan anda boleh bayang berapa hari mereka meninggalkan keluarga. Malah salah seorang peserta dalam kelas saya membawa anaknya yang masih kecil bersama ibu dan suaminya. Kita sebagai pekerja terpaksa akur dengan kehendak majikan.
Ya ada wanita jenis hati kering tak kisah tinggal anak pergi bekerja merata tapi kebanyakan ibu tidak begitu. Jika ditinggalkan pun dalam keadaan berat hati.
Malah saya pernah mendengar keluhan seorang banker bahawa dia kerap keluar punch out jam 10 malam sepanjang 30 tahun bekerja! Dia sudah rasa burn out. Dia sebagai ayah tidak dapat melihat perkembangan anak-anaknya.
Mempunyai pembantu rumah bukanlah solusi terbaik. Tapi apa solusi terbaik kita ada?
Apa pun keadaannya, ibu bapalah yang bertanggungjawab memastikan perkembangan anak-anak dari sudut fizikal, rohani spiritual emosi bukan sekadar pencapaian akademik semata-mata. Anda rasa pembantu rumah dan pengasuh mampu buat ini semua?
Malah bagi keluarga dengan ibu suri rumah pun, bukan mudah ya beranak ramai. Menghantar anak pagi petang, menyiapkan rumah dan pakaian. Menolong anak dengan kerja rumah dan tuntutan sekolah yang pelbagai. Jika suami outstation anda boleh bayang havocnya kehidupan? Belum masuk tuntutan sosial terhadap ibu bapa yang sudah tua.
Kehidupan kita jauh berbeza.
Maka…
Anda rasa bagaimana kita mahu mencapai populasi yang ideal dengan keadaan sosial masyarakat kita sekarang?

No Comments