Agama / Pembangunan Diri

Untaian Tasbih…

Zikir menurut Tok Guru Nik Abdul Aziz

Kata Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz, zikir itu dibahagikan kepada tiga ;

A. Zikir hati

B. Zikir lidah

C. Zikir anggota badan, yang tok guru namakan sebagai al-Jawarih.

Menurut tok guru, zikir hati adalah hati sentiasa ingat kepada Allah, walaupun tidak berlafaz di lidah.

Zikir lidah, tok guru terjemahkan dalam bahasa Kelantan sebagai “ngatik”. Dalam penjelasan tok guru, ramai orang boleh zikir lidah, tetapi belum tentu sampai ke dalam hati.

Menariknya dalam kupasan Tok guru, apabila beliau mensyarahkan berkenaan dengan zikir al-Jawarih.

Kata Tok Guru, perkataan al-Jawarih الجوارح diterjemah sebagai anggota badan, sedangkan dalam bahasa Arab ada perkataan أعضاء yang juga bermakna anggota badan.

Kata tok guru lagi, perkataan الجوارح asal maknanya adalah haiwan yang pemangsa. Ia akan melukakan binatang lain.

Perkataan الجوارح yang bermakna anggota badan ini, kerap digunakan dalam kalangan ahli tasawwuf. Hal ini kerana, anggota badan manusia pemangsa kepada orang lain. Dengan sebab mulut, boleh melukakan hati orang; dengan sebab tangan, boleh melukakan hati orang; dengan sebab kaki, boleh melukakan hati orang.

Jadi, zikir al-Jawarih adalah berhenti dari melakukan sebarang kejahatan. Apabila manusia itu berzikir, mulutnya akan tertutup dari mengumpat dan maki hamun; apabila manusia itu berzikir, tangannya tidak akan melakukan perkara yang boleh menyakiti orang lain.

Konsep zikir yang diperjelaskan oleh Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz cukup padat dengan konsep kebaikan yang diajar oleh Al-Quran dan hadis.

Pada saya, inilah tasawwuf yang sebenar.

Ikat hati kita dengan zikrullah, lantunan momentum suara hati dan lafaz dibibir berpadu, Persis untaian TASBIH.

Mengapa ia diibaratkan persis UNTAIAN TASBIH…

Ada awal tiada penghujungnya, dibentuk demi mengingatiNya, dicantum kerana cintaNya, diratib semata-mata kerana redhaNya, menitis air mata tika merasai kemanisan menyintaiNya..

About Author

Ustazah Fadhlina merupakan tenaga pengajar tauliah MAIK Kelantan. Beliau juga salah seorang Penerbit Rancangan Radio Klate Kita, Radio Digital Online dan antara penulis sukaralewan di bawah Jabatan Informasi dan Teknologi Maklumat Dewan Muslimat PAS Malaysia.

No Comments

    Leave a Reply