Travelog

Separuh Hatiku Tertinggal di Aceh

Jejak Tarbiah - MALAHAYATI: LAKSAMANA WANITA PERTAMA ACEH ABAD KE-15 Perlahan-lahan saya cuba menyelak-nyelak sejarah kesultanan Aceh dan menanda-nanda mana-mana perenggan sejarah yang boleh dituliskan dan disampaikan semula. Aceh lahir agak lewat

Dalam banyak-banyak tempat saya berlanglang buana, separuh hatiku sudah tertinggal di tanah rencong ini. Tulisan ini adalah satu usaha kecil demi mengikuti suri tauladan yang ditunjukkan ulamak agar bermusafir & membuat catatan-catatan ibrah dalam penulisan.

Selain digelar serambi mekah, tanah ini juga dinamakan tanah rencong. Rencong merupakan senjata kecil yang dipakai oleh hampir semua penduduk aceh pada ketika dahulu dan mampu digunakan untuk menumpaskan musuh dengan sekelip mata. Hampir semua rakyatnya suatu ketika dahulu mampu menguasai seni mempertahankan diri dan senjata rencong ini sememangnya sentiasa terselit di baju-baju mereka termasuk perempuan-perempuan mereka.

Kerana itu, tanah ini amat sukar dikuasai penjajah. Bumi ini menjadi saksi tumpahnya darah pejuang tidak kurang juga petualang. Tercatat di dalam sejarah, aceh merupakan wilayah terkuat yang paling sulit dijajah belanda kerana semangat juang rakyatnya. Perlawanan di laut pula aceh menunjukkan kekuatan menumpaskan tentera belanda dalam banyak siri peperangan laut. Teknologi kepakaran ketenteraan laut dari kerajaan turki uthmaniyah telah banyak membantu.

Aceh pada tahun-tahun awal 1400 telah pun dipimpin oleh sultanah perempuan yang amat hebat. Sultanah-sultanah ini juga telah didokong & disokong oleh para ulamak membuktikan islam tidak menyekat bakat & kepimpinan wanita.

Pada zaman 1800 an berlaku pertembungan besar-besaran kuasa besar & ketamakan mereka dalam menjajah negara-negara umat islam. Dalam pada itulah munculnya tokoh-tokoh besar dalam lipatan sejarah yang menjadi sang pemberani melawan penjajah bukan sahaja lelaki, malah wanita sama naiknya mencagarkan harta & nyawa demi mempertahankan tanah yang merdeka.

Kami ke rumah cut nyak dhien. Cut nyak dhien merupakan tokoh pahlawan wanita islamis yang bangkit berani melawan belanda sehingga terbuang.

Tidak banyak tempat yang dikenali dengan gelaran serambi mekah, dan kita amat bertuah selain aceh, negeri kelantan juga dikenali dengan gelaran serambi mekah.

Tanah tumpah darah yang bertuah ini juga pernah dinaungi oleh sultanah wanita iaitu cik siti wan kembang dan kemudiannya puteri saadong sehingga mampu menggerunkan kerajaan ayyuthaya.

Hubungan di antara dua negara ini melangkaui hubungan susur galur bangsa & keturunan, tetapi hubungan lebih kuat dan lebih bermakna kerana perjuangan memartabatkan agama.

Kini, setelah aceh bergulat dengan pergeseran kuasa dengan pemerintahan pusat selama 30 tahun, tsunami yang melanda memberikan sejuta hikmah kepada kita. Kuasa autonomi yang telah diberikan kepada acheh menjadi titik mula kepada perjuangan yang lebih besar dalam membangunkan ummah. Royalti petroleum diberikan kepada aceh pada kadar 60-70% hasil berbanding 30% sebelum ini.

Bagaimana aceh mengisi “kemenangan” setelah tsunami & mendapat kuasa autonomi? Sedikit perkongsian pengalaman oleh pemimpin kami apabila beliau menjadi saksi hidup para pekerja wanita atau pasukan khas wanita yang memeriksa dengan disiplin saf-saf solat para jemaah jumaat dari belakang. Itu hanya sedikit. Saya tidak berpeluang untuk melihat hukuman yang bersifat mendidik kerana mengikut masyarakat di sana, jarang-jarang sekali ianya berlaku.

Mereka cuba melaksanakan islam secara bersungguh-sungguh setakat termampu.

Lalu di manakah kita? Adakah kita perlu mengangkat senjata untuk mendapatkan kembali hak kita? Tidak, akan tetapi kita sudah punya jalan yang lebih damai untuk memartabatkan agama di puncak kuasa.

Kini polemik yang berlaku berkenaan pertindihan kuasa penggubalan undang-undang di antara kerajaan pusat & negeri berlaku. Kanun jenayah syariah bukanlah perkara baru. Ianya sudah wujud sejak puluhan tahun bukan hanya di negeri kelantan sahaja. Kesan ini bakal berjangkit ke negeri lain nampaknya.

Oleh itu, semua pemimpin muslim samada pemimpin politik atau bukan perlu bersatu hati dalam meleraikan polemik ini. Samada memperkasakan ekjs atau mengislamisasikan undang-undang sivil yang mana saya percaya sudah pun terdapat undang-undang yang islamik secara subsantif di sana. “long way forward” mungkin nanti hanya ada satu set undang-undang yang menaungi kita semua yang mana ianya sudah pun menepati piawaian syari’ah. Untuk itu, memerlukan kesatuan hati ahli parlimen muslim sekurang-kurangnya untuk menggubalnya.

Undang-undang islam sifatnya mendidik. Ada keberkatannya. Moga hikmah dengan perkara ini para pemimpin kita bekerja dengan lebih kuat, lebih cerdas, lebih tekun dalam mendaulatkan agama yang kita cintai ini. Insya-allah.

Separuh hatiku tertinggal di aceh walaupun sudah pelbagai negara daku kembara. Bangsa aceh & malaysia sebenarnya merupakan 2 entiti penduduk bumi yang dilahirkan dalam satu rumpun, aqidah, bahkan bahasa serta cita-citanya yang perbezaannya tidak terlalu jauh. Kita semua sejak dahulu kala sudah dikenal sebagai hamba tuhan yang memiliki ikatan emosional yang sukar bahkan mustahil dipisahkan.

Kami saling berbagi semangat apatah lagi saya punya rakan yang dekat di hati walaupun berjawatan tinggi. Semua ini sudah cukup ramuan untuk diriku kembali lagi ke bumi rencong ini. Insya-allah.

Semoga allah merahmati bumi aceh! Amin.

No Comments

    Leave a Reply