KESIHATAN / Travelog

Post-Hajj Depression?

1. Kerap kali orang menggunakan terma seperti post-hajj @ post-umrah depression atau syndrome.

2. Setakat ini saya tidak jumpa lagi kajian-kajian kotemporari yang menyentuh secara langsung berkenaan hal ini, juga di dalam buku DSM-V (Diagnostic & Statistical Manual of Mental Disorders 5th Edition). Kalau ada pun, secara tidak langsung.

3. Secara ringkasnya, ia merujuk kepada perasaan sayu, kosong, sedih, malah mungkin air mata keluar dengan sendirinya ketika kita sedang menginsafi memori di Tanah Suci. Pendek kata, rindu yang tidak mampu terungkap dengan kata-kata. Ini secara ringkasnya bukan depression.

4. Mungkin terdapat lintasan-lintasan penyesalan, “I could have done better..” dan sebagainya. Walaupun sebenarnya kita sudah pun berhempas pulas melaksanakan manasik & amal ibadat di sana sesempurna yang boleh, akan tetapi mungkin masih juga ada perasaan itu tanda kita manusia yang sedar akan kelemahan diri.

5. Ia juga dikaitkan dengan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas mengalami pengalaman spiritual yang mendalam semasa haji/umrah.

6. Perasaan ini masih boleh dikategorikan dengan rasa yang normal, namun jika sehingga menyebabkan fungsi kehidupan terjejas seperti perasaan sedih melebihi kesedihan biasa, berpanjangan pula selama 2 minggu atau lebih di samping hilang minat berterusan, mengalami masalah tidur, masalah selera makan, rasa letih, rasa diri tidak berharga atau tidak berguna sehingga kepada lintasan-lintasan mahu meninggalkan dunia ini, maka di sini merupakan titik penting untuk mendapatkan rawatan psikiatri yang sewajarnya. Ini merupakan di antara tanda-tanda atau simptom depression.

7. Macamana nak hadapi?

  • Terima rasa sedih & rindu itu normal.

Kadangkala kita rasa pelik kenapa hati jadi terlalu sedih, padahal baru balik dari tempat yang paling mulia. Sebenarnya, itu tandanya hati kita hidup kerana rindu yang amat pada suasana penuh keberkatan. Jadi, adalah lebih baik kita menerima emosi itu sebagai satu rahmat, bukan bebanan jiwa. Nikmati dan hargai rasa tersebut.

  • Bawa Mekah ke dalam hati

Walaupun jasad kita jauh daripada Masjidil Haram/Nabawi, tapi roh & hati kita masih boleh hidup dalam suasana ibadah dan amalan semasa haji/umrah seperti solat berjemaah, tahajud, zikir, baca al-Quran, solat sunat isyraq, sunat dhuha dan lain-lain. Kita juga boleh gunakan wangian yang mengingatkan kita kepada segala apa yang berkaitan Tanah Suci. Percayalah kadangkala kita tersenyum sendiri setelah tercium bau raudhah di tikar sejadah. Satu rasa yang tidak mampu kita terjemahkan dengan kata-kata.

  • Kongsi Ilmu & Cerita

Bercerita pengalaman haji kita mungkin boleh menguatkan iman orang lain juga. Ramai keluarga & sahabat-sahabat yang sangat menghargai tips & cerita dari Tanah Suci. Jadikan perkara ini sebagai sumbangan kecil kita kepada masyarakat.

  • Melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan

Paling simple, berusaha hadir ke masjid dengan lebih kerap. Terlibat dengan program-program yang baik, sentiasa menjadi ahli komuniti yang mudah, pemurah dan baik. Doakan kita ditemukan dengan orang-orang yang baik.

  • Terus minta Allah kekalkan rasa rindu ini

Minta Allah pelihara rasa rindu ini supaya jadi bahan bakar untuk kita terus istiqamah.

“Ya Allah, jangan Kau tarik rasa manisnya haji ini dari hati hamba-Mu…”

Juga sentiasa doakan agar haji kita mabrur insha-Allah. Kerana haji yang mabrur, tiada balasan, kecuali syurga Allah. Masha-Allah.

__________________________________

Ringkasnya, perasaan “lost” atau sedih selepas haji bukan petanda kita lemah, akan tetapi boleh jadi ianya petanda perasaan jiwa kita yang halus & lembut. Jangan biar rasa itu menjatuhkan kita, akan tetapi, jadikan ia sebagai penunjuk jalan pulang kepada Allah SWT dalam kita meniti kehidupan setiap hari sebagai seorang hamba yang beriman & beramal soleh.

Allahu Akbar, walilLaahilhamd.

Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

No Comments

    Leave a Reply