Travelog

Ku Ingin Kembara Lagi..

Pada awal tahun 2020 yang lalu, sejurus selepas penubuhan Kelab Momen Buku Malaysia, kami terbang ke Jakarta menyertai Pesta Buku Islam Antarabangsa Indonesia. Pada masa tersebut parlimen masih lagi tergantung dan belum dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Suami saya sempat berseloroh, “Bila kita balik Malaysia nanti kerajaan akan bertukar”. Betul “ramalan cuaca” beliau. Sejurus kami sampai di Malaysia, kerajaan bertukar dan dilaksanakan PKP. Nasib kami baik, pada masa tersebut, kes covid di Indonesia masih lagi sedikit dan Pemerintah Indonesia masih membenarkan aktiviti-aktiviti ekonomi dan sosial seperti biasa.

Saya masih ingat, seorang pemandu grab di Jakarta sempat bertanya khabar berkenaan pergolakan politik yang berlaku pada ketika itu. Saya bercerita serba sedikit, lalu beliau berkata, “Mujurlah Malaysia itu negaranya punya Raja”. Rakyat patuh pada Raja dan tidak melakukan rusuhan tidak menentu. Saya kemudian berfikir hikmah di sebalik ayatnya sambil memerhati Monumen Proklamasi (Tugu Kemerdekaan) Indonesia. Ada harga yang cukup mahal di sebalik peristiwa 3 Mac 1946 (Revolusi Sosial Sumatera Timur). Ianya mengheret ke Revolusi Nasional Indonesia yang lebih besar yang telah meruntuhkan kuasa Raja dan Sultan.

Berbekalkan sekeping kad kredit dan tahap tawakkal yang tinggi, maka terbanglah kami bersama ahli-ahli terawal Kelab Momen Buku ke Pesta Buku Indonesia. Alhamdulillah, tidak rugi melaburkan wang pada ilmu dan tarbiah. Kami bukan sahaja berjumpa dengan tokoh-tokoh dunia penulisan, kami juga berpeluang berjumpa tokoh tarbiah dan politik di sana. Sangat ramah dan menginspirasikan.

Semoga kita bisa kembara lagi. Insha Allah.

No Comments

    Leave a Reply