Dalam konteks undang-undang islam, pemeliharaan anak disebut sebagai hadanah yang bermaksud pemeliharaan dari sudut fizikal dan perbuatan mengasuh anak yang dilakukan oleh seorang hadin (lelaki) atau hadinah (perempuan) terhadap diri anak atau seseorang yang tidak mampu menguruskan dirinya sendiri. Tafsiran bagi maksud konsep mengasuh adalah berbuat sesuatu yang mendatangkan manfaat dan melindunginya daripada segala kemudaratan dengan sepenuh perasaan (Al-Sharbini, 1978: 452).
Secara amnya, para ulama meletakkan dua elemen utama yang berkait rapat dengan hadanah, iaitu pemeliharaan fizikal, mental dan emosi yang menyeluruh dan memberikan pendidikan yang sempurna termasuklah terhadap golongan yang tidak berkemampuan untuk menguruskan atau melakukannya sendiri, sama ada atas sebab tidak mumaiyiz seperti anak dalam jagaan atau golongan safih yang kurang akal. Oleh yang demikian, perlu difahami bahawa tempoh tamat keutamaan bagi autoriti hadanah adalah apabila anak mencapai tahap mumaiyiz dan selepas itu dikira sebagai hak penjagaan bagi anak yang telah baligh (al-jaziri, 1969:569).
Para ulama membezakan kedua-dua tersebut kerana keperluan diri anak bagi kedua-dua tempoh tersebut adalah berbeza. Pada peringkat hadanah mereka lebih memerlukan susuan ibu dan kasih sayang, manakala pada peringkat seterusnya lebih memerlukan kebajikan dari sudut fizikal dan emosi yang melibatkan tumbesaran diri.
Antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan terhadap mereka termasuklah menyediakan dan menguruskan segala keperluan hidup seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan kelengkapan diri yang bersesuaian untuk mereka (al-zuhaily, 1997). Kadangkala terdapat segelintir pihak yang hanya memahami bahawa hadanah sekadar hak keistimewaan yang diberikan oleh islam atau undang-undang syariah kepada mereka sebagai ibu bapa atau penjaga. Namun demikian, hadanah seharusnya dihayati dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab agar tidak menzalimi hak anak dalam lingkungan umur anak yang sepatutnya diutamakan. Tanggungjawab melindungi mereka merangkumi setiap aspek kehidupan diri. Tanggungjawab ini tidak seharusnya diabaikan dan perlu dititikberatkan seperti hak-hak lain yang dipertanggungjawabkan atas wali atau hadin seperti nafkah anak yang masih di bawah tanggungan (Normi, 2004: 36).
Bagi tujuan itu, maka agama Islam lebih meraikan golongan ibu dari sudut keutamaan dalam penetapan hak hadanah bagi anak yang masih kecil atau masih pada peringkat umur di bawah mumaiyiz. Pengiktirafan ini berpandukan sifat semula jadi yang wujud dalam diri seorang ibu sebagai insan yang dikurniakan oleh allah swt dengan fitrah murni dan rasa kasih sayang yang tinggi dalam jiwa, terutamanya bagi anak yang masih menyusu serta menyebabkan berlaku kesukaran untuk berpisah dari sudut fizikal mahupun emosi dengan ibunya. Persepakatan ulama muktabar islam dalam hal ini berdasarkan dalil hadis Rasulullah saw yang bermaksud:
Diriwayatkan bahawa seorang wanita yang telah diceraikan oleh suaminya, kemudian datang berjumpa dengan Rasulullah saw dan menjelaskan bahawa: “Ya Rasulullah, rahimku adalah tempat mengandungkan anakku, dan dia mendapatkan susunya daripadaku, dan pangkuanku inilah yang melindunginya. Akan tetapi malangnya sekarang ayahnya (bekas suamiku) ingin mengambil hak tersebut daripadaku.” Maka jawab Rasulullah saw: “Ternyata engkaulah yang lebih berhak untuk itu selagi mana engkau masih belum berkahwin”.
(abu dawud, 1984: 616)
Dipetik dari jurnal Hak Pemeliharaan Anak Bagi Mualaf: Konflik Undang-undang di Malaysia. Redwan Yasin, Nor Aziah Mohd Awal dan Norhafilah Musa (2021).
No Comments