3 Mac 1924 merupakan satu tarikh keramat dan pilu bagi Umat Islam, di mana runtuhnya sebuah kerajaan Islam yang pernah menaungi seluruh umat Islam dalam 2/3 dunia iaitu berlakunya permansuhan Khilafah Uthmaniyah oleh Parlimen Republik Turki.
Kehebatan dan gahnya empayar Islam Uthmaniyah ketika itu berjaya menakluki sebahagian besar benua Asia, Eropah dan Afrika Utara.
Perlu kita banggakan, di samping kejayaan menawan beberapa wilayah menerusi Perang Kosovo dan Perang Salib, kemuncak kejayaan Uthmaniyyah ialah kejayaan menawan Constantinople atau Istanbul di bawah pimpinan Sultan Muhammad ke-II atau Sultan Al-Fateh.
Kegemilangan Islam bertahan lebih 600 tahun lamanya, bagaimanapun akhirnya runtuh disebabkan pelbagai faktor dalaman dan agenda perancangan musuh untuk menumbangkan Islam ketika itu.
Kenapa kita meratapi kesedihan ini? Tak lain dan tak bukan jika umat Islam hilang Khilafah, hilanglah simbol perpaduan umat Islam yang boleh mempertahankan ummah secara kesuluruhannya. Kesannnya, tanah dan kekayaan umat Islam dijajah dengan rakus oleh imperialis.
Perpaduan Islam juga runtuh, hari ini Saudi bergabung dengan Mesir menentang Syria, esok hari Mesir bergabung dengan Syria menentang Saudi, lusa pula Turki bergabung dengan Saudi menentang Mesir. Tiada kasih-sayang sesama saudara seagama. Umat Islam ibarat rela dicatur dan dijadikan boneka oleh kuasa imperialis.
Tidak mustahil ! Sejarah merakamkan dalam peristiwa kejatuhan Uthmaniyyah, dapat kita saksikan beberapa watak “mahacai” kepada penjajah. Antaranya adalah watak yang dimainkan oleh Syarif Hussein Amir Makkah yang dibantu oleh British dalam menggerakkan Revolusi Agung Arab untuk berperang menentang Uthmaniyyah.
Gerakan ini dibantu oleh seorang pengembara Inggeris yang terkenal sehingga digelar “Raja Arab yang tidak bermahkota” iaitu Lawrence of Arabia. Setelah Syarif Hussein berhasil menghalau Uthmaniyyah dari wilayah-wilayah Arab, British menghasut pula Bani Saud pula untuk berperang mengalahkan Syarif Hussein. Perperangan-perperangan ini hanya menguntungkan pihak British, terus yang menjadi mangsa ialah Umat Islam sendiri.
Anak muda Islam perlu segera bangkit. Fahami kepentingan untuk memperingati sejarah kegemilangan dan kejatuhan pemerintahan Islam suatu ketika dulu ialah supaya :
1. Hari ini kita perlu mengambil pengajaran dan ikhtibar dalam berusaha menwujudkan kepimpinan bercirikan nubuwwah. Kita perlu berhati-hati dalam kita memberi kuasa pemerintahan. Kerana ada dua pilihan kepada Islam iaitu sama kita memilih kepada kebangkitan atau kehancuran.
2. Kegemilangan Islam yang lalu mampu dijadikan contoh, inspirasi dan semangat buat umat hari ini untuk bersatupadu berjuang mengembalikan semula syiar dan daulah Islamiyah.
Dalam siri kejatuhan Turki Uthmaniyah juga memaparkan kebangkitan seorang tokoh bernama Badiuzzaman Said Nursi yang menentang pemerintahan sekular ketika itu.
Dibahunya diggalas perjuangan agama tetapi akhirnya berulang kali ditangkap dan diseksa sepanjang hidupnya. Semangat juang beliau perlu dicontohi oleh pemuda hari ini dalam usaha mengembalikan cita-cita Islam yang mulia.
3. Kita perlu menyedari bahawa ideologi anak muda perlu dikawal rapi. Jangan dibiarkan ruang untuk disunting dengan fikrah lain melainkan fikrah Islam yang sebenar.
Wajar untuk kita mengambil pengajaran dari khilafah yang hilang pada tahun 1908 akibat golongan cendekiawan dan aktivis “Young Turk” memberontak dan menuntut sebuah negara bebas.
Kerana pernolakan sistem Khilafah, pandangan mereka disuntik bahawa orang Islam hanya dapat “maju” melalui modenisme dan sekularisme.
Pengajaran juga, anak muda dan umat Islam tak seharusnya menggadai prinsip diperalatkan oleh musuh yang akhirnya maruah Islam sendiri tergadai.
4. Akhir sekali, dalam menghadapi isu dan krisis kenegaraan hari ini marilah kita muhasabah untuk sentiasa sedar kita hanya hamba yang ditugaskan mentadbir bumi, tetapi sebaik-baik pemilik kuasa dan pemerintahan hanya Allah yang Maha Kuasa.
Firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 140 : Dan masa (Kejayaan dan Kehancuran ) itu, kami gilirkan di antara manusia ( agar mereka mendapat pengajaran) dan supaya Allah membezakan orang yang beriman ( dengan orang kafir) dan supaya sebahagian kamu dijadikanNya (gugur sebagai) syuhada. (Ali- Imran, 140)
Rujukan :
i. Punca Sebenar Kejatuhan Turki Ukthmaniyah – Ayman Rashdan Wong
ii. Sejarah Umat Islam – Hamka
iii. 3 Mac 1924 : Sejarah Kejatuhan Turki Uthmaniyah – MTEN IPG KPI Bangi

No Comments