Agama / Pendidikan

Aisyah R.A Sebagai Guru, Mujtahid dan Mufti

Pengkaji merasakan pendapat Muhammad Yusof Musa hanyalah berdasarkan kepada realiti kepimpinan yang ada pada masa kini. Kebanyakkan pemimpin tertinggi Negara Islam terdiri daripada kalangan tokoh politik yang menang dalam pilihanraya dengan mendapat sokongan pengundi secara majoriti. Dengan sebab itu amat sukar untuk mendapatkan seorang pemimpin yang tahap ilmunya sampai ke peringkat mujtahid. Ditambah lagi dengan sistem pendidikan moden kini yang memisahkan antara politik dan agama. Sehingga dirasakan syarat ini amat sukar untuk dipenuhi.

Sifat berilmu yang menjadikan ciri-ciri utama kepimpinan telah dimiliki oleh wanita Islam semenjak empat belas abad yang lalu. Keupayaan mereka menguasai bidang keilmuan amat terserlah dan tahap pencapaian mereka membanggakan. Fenomena ini adalah disebabkan Islam bukan sahaja memberi hak menuntut ilmu pengetahuan kepada wanita, malah menggalakkannya lagi.

Para sahabat dikalangan wanita telah meminta Rasulullah SAW memperuntukkan masa khusus untuk mengajar ilmu pengetahuan kepada mereka. Permintaan tersebut telah diperkenankan oleh Baginda. Begitu juga Ummahatul Mukminin turut memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan ilmu pengetahuan khususnya pada bidang agama. Mereka bukan sahaja menjadi guru kepada wanita malah juga menjadi guru kepada para sahabat lelaki dan generasi Islam masa kini.

Para sahabat Rasulullah SAW merujuk kepada Ummahatul Mukminin akan perkara-perkara yang mengelirukan mereka, terutamanya masalah yang berkaitan dengan keperibadian Rasulullah SAW, rumahtangga baginda, pergaulan baginda dengan para isteri dan perkara-perkara khusus yang berkaitan dengan wanita. Hal ini kerana merekalah yang lebih arif dan lebih mengetahui tentang perkara ini. (Al Baijani 1950,57)

Ummu mukminin yang paling banyak memberikan sumbangan dan melibatkan diri dalam perkembangan ilmu pengetahuan ialah Aisyah r.a. Beliau berwibawa menguasai dengan baik pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Al-Zuhri menyatakan seandainya dikumpulkan ilmu Ummahat Al Mukminin dengan ilmu kesemua wanita Islam nescaya ilmu Aisyah r.a dapat mengatasi ilmu mereka.

Aisyah r.a dapat menguasai kesemua bidang ilmu keagamaan dengan baik iaitu ilmu Al-Quran, Hadis, Fekah, Tafsir, Faraid. “Aisyah r.a adalah orang yang paling unggul dalam bidang fekah, alim dan berakhlak mulia.”

Selain daripada seorang guru, Aisyah r.a juga adalah seorang mujtahid dan seorang mufti. Beliau termasuk ke dalam golongan tujuh orang sahabat Rasulullah SAW yang memberi fatwa.

Kemahiran Aisyah r.a dalam bidang keagamaan menarik perhatian para sahabat Rasulullah SAW. Sahabat dekat datang sendiri menemuinya, sahabat yang jauh pula berkirim surat kepadanya untuk bertanya masalah dan meminta fatwa. Aisyah r.a mampu memperjelaskannya kepada mereka perkara-perkara yang kurang jelas dan memperbetulkan mana-mana yang salah.

Ketokohan Aisyah r.a dalam bidang fekah dan dan hadis amat mengkagumkan. Beliau menjadi pakar rujuk dalam kedua-dua bidang ini. Abu Musa Al Ashari menceritakan bahawa kami para sahabat Rasulullah SAW apabila musykil tentang sesuatu hadis, kami akan bertanya kepada Aisyah r.a. Kami mendapati Aisyah r.a mengetahui tentang hadis tersebut. Kebolehan dan kemahiran Aisyah r.a tidak boleh disangkalkan lagi dikalangan sahabat. Beliau menjadi tumpuan para sahabat dan dijadikan sumber rujuk para sahabat dalam ilmu hadis dan fiqh.

Kepimpinan Aisyah r.a jelas dari Perang Jamal, pengaruh yang dibawa oleh Aisyah r.a mampu menarik para muslimin untuk menyertai seruan Aisyah r.a. Kebijaksanaan Aisyah r.a dalam mempengaruhi para sahabat membuktikan kepimpinan wanita antara barisan srikandi Islam.

Ibn Hajar r.a pula menyatakan bahawa Aisyah r.a adalah seorang ahli fekah yang terkemuka sehingga dikatakan orang bahawa satu per empat daripada hukum-hukum syarak diambil dan dipelajari daripadanya.

Selain daripada bidang agama, Aisyah r.a juga mahir dalam bidang perubatan, sejarah, kesusteraan arab, pandai bersyair dan berpidato. Beliau juga mahir dalam bidang astronomi dan salasilah keturunan bangsa Arab. Urwah bin Al Zubir menyatakan “Aku belum pernah melihat seorang yang lebih alim daripada Aisyah r.a dalam ilmu fekah, ilmu perubatan dan pandai bersyair” (Ibnu Hajar t.t 4:360)

Daripada keterangan di atas,jelas kepada kita tentang keupayaan dan kebolehan Aisyah r.a dalam menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan dengan baik. Ini menunjukkan keupayaan lelaki dan wanita adalah sama dalam menguasai ilmu pengetahuan. Malah ada wanita mampu menguasai keupayaan kaum lelaki dalam bidang ini. Ini menunjukkan pencapaian ilmu Aisyah r.a sampai ke peringkat memenuhi syarat yang dikehendaki pada seseorang khalifah, bahkan lebih daripada itu.

Al-Zarkashi menyatakan bahawa Umar bin Al Khattab dan Ali bin Abi Talib pernah berulang kali bertanya Aisyah r.a tentang masalah fekah (Umar Rida Kahhalah 1982, 3,106)

Kenyataan di atas menunjukkan Aisyah r.a adalah seorang pemimpin wanita yang berwibawa. Kepimpinannya dalam bidang ilmu pengetahuan amat membanggakan, samada sebagai seorang guru, seorang mujtahid atau seorang mufti. Para sahabat yang jauh dan dekat tertarik datang berguru kepadanya. Bertanyakan masalah dan meminta fatwa daripadanya. Mereka mengkagumi ilmunya, akur pada pandangannya dan memperakui ketokohannya sebagai seorang ulama’ yang berwibawa dan tiada tandingannya.

Kesemua kenyataan ini menunjukkan kepimpinan Aisyah r.a dalam bidang ilmu. Beliau seperti pelita yang memberi cahaya dalam kegelapan malam. Inilah dikatakan kepimpinan dalam bidang ilmu pengetahuan.

About Author

Ustazah Fadhlina merupakan tenaga pengajar tauliah MAIK Kelantan. Beliau juga salah seorang Penerbit Rancangan Radio Klate Kita, Radio Digital Online dan antara penulis sukaralewan di bawah Jabatan Informasi dan Teknologi Maklumat Dewan Muslimat PAS Malaysia.

No Comments

    Leave a Reply