Justeru itu, mereka yang pernah menjadi pemimpin atau mereka-mereka yang pernah berdiri dalam saf kepimpinan Harakah Islamiyyah akan sentiasa merencanakan sesuatu untuk Islam dan sentiasa merancang gerak kerja atau berusaha menjalankan program-program rasmi yang akan mencorakkan kembali Qalbu Manusia agar kembali mentadbir urusan manusia dengan bimbingan cahaya-Ilahi. Matlamat mereka hanya satu adalah berhidup dan bergerak dengan peraturan dan hukum Allah SWT. Walaupun saat itu mereka tidak lagi memegang jawatan. Antara mutiara kalam Tok Guru Nik Aziz Nik Mat:
“Amanah yang Allah SWT taklifkan kepada saya sebagai dai’e Islam tidak akan saya lepaskan. Dalam perjuangan Islam tidak ada istilah bersara. Perjuangan akan tetap diteruskan sehinggakan ke suatu masa yang Allah kehendaki untuk saya berhenti, saya tidak bimbang sekiranya hari ini saya mati. Apa yang membimbangkan saya pada ketika ini ialah sekiranya saya mati dalam keadaan Allah SWT tidak menerima segala amalan saya.Alangkah ruginya saya,”
Wahai para da’ie, ingatlah bahawa iman merupakan sinergi yang diyakini dalam hati (Tasdiqun Bil Qalbi) diikrarkan dengan lisan (Ikrarun Bi Lisan) dan diamalkan dengan perbuatan (Amalu Bil Arkhan) Iman yang benar sebagaimana yang digambarkan Allah SWT laksana pohon yang akarnya menjunam jauh ke dalam tanah, rantingnya menjulang tinggi ke udara dan setiap buahnya yang lazat dapat dijamah oleh manusia dan makhluk di sekelilingnya.Seseorang yang memiliki iman yang kuat tidak akan menjadi hamba sahaya dari sesiapapun kecuali kepada Allah SWT. Dan tidak akan mengikuti sesiapapun kecuali mengikuti Rasul-Nya.
Wahai para da’ie, orang yang beriman akan berakhlak dengan akhlak Islam, kerana akhlak adalah buah kepada iman. Orang yang imannya kuat dan berada dalam keadaan baik akan menghasilkan akhlak dan peribadi yang menyenangkan orang lain. Mereka yang mempunyai kekuatan iman akan memperlengkapkan dirinya dengan akhlak yang mulia dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai qudwah dalam setiap aspek kehidupannya. Dia akan disayangi sebagaimana sayangnya para sahabat kepada Rasulullah SAW. Dia akan disenangi sebagaimana senangnya setiap orang yang menemui Rasulullah SAW. Dia akan dirindui sebagaimana rindunya hati kita kepada Rasulullah SAW walaupun kita tidak pernah menatap wajah baginda walaupun hanya sekali.Betapa indahnya iman.
Wahai para da’ie, perkayakanlah dirimu dengan kekuatan ilmu pengetahuan dari Al Quran. Sesungguhnya pemuda pemudi Islam yang miskin dengan ilmu pengetahuan dan tidak memahami misi dan visi Al Quran serta perjuangan Rasulullah SAW akan dipandang rendah oleh musuh-musuh Islam. Bahkan ia tidak akan mampu mempersembahkan Islam sebagai sajian syumul, lengkap dan tepat kepada masyarakat yang di didokongnya. Inilah intipati tarbiyyah yang pernah dilalui oleh para sahabat dan para salafussoleh terdahulu sebagai bekalan untuk meneruskan kesinambungan dalam gerak kerja dakwah. Firman Allah SWT:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang),” [Al Ahzab: 21]
Maka jadilah pemimpin yang sentiasa bersedia untuk menjalani proses pentarbiyyahan dan jadilah pemimpin yang sentiasa menyediakan dirinya untuk ditarbiyyah,malah ia tidak akan cepat melatah bahkan ia akan bertindak dengan mengikut lunas-lunas yang ditentukan olehNya. Tanpa proses pentarbiyyahan yang sempurna, ia akan menyebabkan seseorang itu menjadi ego dan sentiasa merasakan dirinya cukup sempurna berbanding dengan orang lain. Faktor inilah yang akan membunuh jiwanya dan karektornya sebagai seorang pejuang agama Allah “Jundullah” atau “Ansorullah” sebaliknya untuk menjayakan misi Islam, pemimpin-pemimpin ini perlu sentiasa menerima pandangan dan pendapat orang disekelilingnya dan mampu bertahan serta mampu menerima segala asakkan duniawi samada asakkan itu datang dari dalam dirinya ataupun dari luar dirinya atau dari manusia-manusia yang berada disekelilingnya. Ego yang menebal akan membuatkan kita buta dalam menilai kebenaran,pekak untuk mendengar kebaikan dan tuli untuk membaca segala keperluan sebab itulah kita perlu cuba untuk mencontohi perjuangan generasi terdahulu.
“Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – Dengan melihat kesan-kesan Yang tersebut – mereka menjadi orang-orang Yang ada hati Yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga Yang dengannya mereka dapat mendengar? (tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan Yang sebenarnya bukanlah mata yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di Dalam dada,” [Al Hajj: 46]
Sanubari pejuang Islam yang sejati perlu dilenturkan dengan kefahaman dan matlamat perjuangan Islam yang sebenar ,bahkan ia sentiasa berkorban dan mengorbankan segala apa yang dicintai dan disayanginya itu dengan sepenuh hati, malah ia juga sanggup mengorbankan apa saja yang dicintainya itu semata-mata untuk perjuangan Islam dan dirinya sangat mementingkan hubungan hissiyyun qalbi,kerana baginya bukan pangkat, darjat, kedudukan, kekayaan dan pujian manusia yang menjadi buruan hidupnya, malah ia tidak meletakkan cinta manusia sebagai teras perjuangan hidupnya. Dan ia juga tidak berusaha keras untuk memiliki dan meraih tumpuan manusia sehinggakan sanggup melakukan kezaliman atau penganiayaan terhadap saudara seislamnya, akan tetapi ia menjadi insan yang sanggup melepaskan segala-galanya kerana Islam, untuk Islam, demi Islam.. Kerana dirinya sangat menyintai Allah dan RasulNya dan ia sangat menyintai perjuangan Islam, dalam jiwanya itu hanya Allah, ia berusaha sedaya upaya untuk menggapai redha Allah SWT. Perkara itulah yang menjadi dambaan para pejuang Islam sejati dan tokoh-tokoh pejuang Islam terdahulu, para ulama, para salafussoleh, para sahabat dan seterusnya.
Inilah implikasi tarbiyyah terbaik dalam membentuk jiwa dan keperibadian kita sebagai individu muslim yang hidup dibawah pentadbiranNya. Kita perlu menjadi pemimpin yang berhemah tinggi lagi disegani, antara laluan yang perlu kita pilih ialah dengan mencontohi perjuangan srikandi-srikandi Islam terdahulu, sentiasa bersedia dan menyediakan diri untuk berada dalam hamparan tarbiyyah Ilahi dan sentiasa hadir mentarbiyyah ahlinya dengan sentuhan ilmu, nasihat-nasihat agama, juga pedoman-pedoman kehidupan. Walaupun kita tidak lagi memegang jawatan atau berdiri bersama saf kepimpinan pada hari ini. Namun kita tetap bergerak dengan cara kita, dengan rencana Allah, dimanapun kita berdiri disitulah kita berperanan.
Antara contoh terdekat kita: BINTANG SYURGA : MURABBI UMMAH – Tokoh ulama’ Kelantan, tokoh yang paling di segani di Negeri Serambi Mekah iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, beliau seharusnya menjadi contoh teladan kita, lihat kesungguhannya dalam memastikan ketuanan Islam di bumi Kelantan:
138. (Katakanlah Wahai orang-orang Yang beriman: “Ugama Islam, Yang Kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah Yang mencorakkan seluruh kehidupan Kami Dengan corak Islam); dan siapakah Yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah Kami beribadat”.
Sesungguhnya amanah kepimpinan di dalam Islam berada di bawah medan dakwah kita dan ia menjadi tanggungjawab semua, ia tidak hanya terletak di atas bahu pemimpin yang berjawatan atau yang ditaklifkan oleh sistem manusia sahaja, hakikat kepimpinan itu telah ditaklifan dibahu kita dengan pengiktifan yang disebutNya di dalam Al Quran..BERKERJALAH SEHINGGA KE NAFAS MU YANG TERAKHIR..
Kita harus menyedari bahawa setiap manusia itu merupakan Khalifah yang di amanahkanNya untuk mengurus,mentadbir serta memimpin manusia lain menjalani kehidupan manusiawi dengan hukumNya dan Peraturan-Nya. Oleh sebab itu, sebagai seorang khalifah, ia perlu tahu bagaimana cara untuk memimpin dirinya sendiri sekaligus ia memimpin dan membimbing sesiapa sahaja yang menjadi da’ie dalam lingkungan dakwahnya.
Definisi Kepemimpinan menurut perspektif Islam: kepimpinan merupakan suatu amanah yang wajib ditunaikan. Manakala pemimpin adalah orang yang bertanggungjawab untuk menjaga dan menguruskan orang lain atau menjaga sesuatu yang diamanahkan kepadanya. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan Segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum Dengan adil. Sesungguhnya Allah Dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran Yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat,” [An Nisa’: 58]
Termasuk dalam suruhan ialah menunaikan kewajipan syarak yang merupakan amanah Allah SWT kepada manusia. Pemimpin bertanggungjawab menjaga pancainderanya daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan menunaikan segala amanah yang menjadi amalan manusia dalam pergaulan seharian.
Dengan ini dikatakan setiap manusia dipertanggungjawabkan untuk mengurus atau menjaga sesuatu amanah (tugas) khususnya pemimpin dan hakim adalah berkewajipan melaksanakan tugasnya dengan baik.Samada urusan tersebut berkaitan dengan hak Allah SWT. Bertepatanlah sebagaimana sabda Rasulullah SAW, diriwayatkan oleh Ibnu Umar :
حدثنا عبد الله بن مسلمة عن مالك عن عبد الله بن دينار عن عبد الله بن عمر أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال :
ألا كلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته فالأمر الذي على الناس راع عليهم وهو مسئول عنهم والرجل راع على أهل بيته وهو مسئول عنهم والمرأة راعية على بيت بعلها وولده وهي مسئوله عنهم والعبد راع على مال سيده وهو مسئول عنه فكلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته
Ibnu Umar r.a berkata : Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda :
“Setiap adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannya. Seorang Ketua Negara akan diminta pertanggungjawab perihal rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri yang memelihara rumahtangga suaminya akan ditanya perihal tanggungjawabnya dan tugasnya. Bahkan seorang pembantu rumah atau pekerja rumahtangga yang bertugas memelihara barang milik majikannya juga akan ditanya (diminta pertanggungjawaban) dari hal yang dipimpinnya [Riwayat Bukhari dan Muslim]
Kepimpinan dalam Islam bukanlah alat untuk mendapatkan kekayaan, pangkat dan kesenangan hidup di dunia. Malahan ia merupakan amanah yang wajib ditunaikan oleh setiap manusia yang hidup dalam sistem Allah, sedarilah bahawa bumi ini milik Allah yang mutlak. Kita sedang berhidup dibawah Pemerintahan-Nya. Seharusnya manusia itu mentadbir alam ini dengan Hukum-Nya, dengan Peraturan-Nya (Al Quran) juga menjadikan Sunnah Rasulullah SAW itu panduan kita dalam menjalani kehidupan insani. Kecuaian dan kegagalan pemimpin dalam melaksanakan tanggungjawabnya itu akan mengakibatkan penyesalan yang berpanjangan dan kerugian yang paling besar dalam hidupnya di dunia dan diakhirat kelak iaitu pada hari perhintungan amalan.Ingatlah segala kerja buat kita pada hari ini, hari-hari yang kita pada masa lalu dan pada masa akan datang. Setiap kerja buat kita ini akan dibentangkan di mahkamah Allah di akhirat kelak. Dan setiap dari kita tidak akan terlepas dari catatan dua malaikat yang ditugaskanNya menemani kita sejak diawal kelahiran kita sehinggalah roh kita terpisah dari jasad kita. Dua malaikat ini tidak pernah berhenti menulis,setiap darinya ada dalam catatan amalan kita. Segala kebajikan, segala kebaikan, segala keburukan, kejahatan kita hatta sebesar zarah sekalipun diambil kira.

No Comments