Agama / Pembangunan Diri

Jangan Berhenti, Teruskan Perjuangan

إِنَّ ٱلْمُسْلِمِينَ وَٱلْمُسْلِمَـٰتِ وَٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ وَٱلْقَـٰنِتِينَ وَٱلْقَـٰنِتَـٰتِ وَٱلصَّـٰدِقِينَ وَٱلصَّـٰدِقَـٰتِ وَٱلصَّـٰبِرِينَ وَٱلصَّـٰبِرَٰتِ وَٱلْخَـٰشِعِينَ وَٱلْخَـٰشِعَـٰتِ وَٱلْمُتَصَدِّقِينَ وَٱلْمُتَصَدِّقَـٰتِ وَٱلصَّـٰٓئِمِينَ وَٱلصَّـٰٓئِمَـٰتِ وَٱلْحَـٰفِظِينَ فُرُوجَهُمْ وَٱلْحَـٰفِظَـٰتِ وَٱلذَّٰكِرِينَ ٱللَّهَ كَثِيرًۭا وَٱلذَّٰكِرَٰتِ أَعَدَّ ٱللَّهُ لَهُم مَّغْفِرَةًۭ وَأَجْرًا عَظِيمًۭا

“Sesungguhnya orang-orang lelaki Yang Islam serta orang-orang perempuan Yang Islam, dan orang-orang lelaki Yang beriman serta orang-orang perempuan Yang beriman, dan orang-orang lelaki Yang taat serta orang-orang perempuan Yang taat, dan orang-orang lelaki Yang benar serta orang-orang perempuan Yang benar, dan orang-orang lelaki Yang sabar serta orang-orang perempuan Yang sabar, dan orang-orang lelaki Yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan Yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki Yang bersedekah serta orang-orang perempuan Yang bersedekah, dan orang-orang lelaki Yang berpuasa serta orang-orang perempuan Yang berpuasa, dan orang-orang lelaki Yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan Yang memelihara kehormatannya dan orang-orang lelaki Yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan Yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala Yang besar,” [Al Ahzab : 35]

Antara janji-janji Allah SWT terhadap orang-orang yang beriman, dalam firman-Nya :

مَنْ عَمِلَ صَـٰلِحًۭا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌۭ فَلَنُحْيِيَنَّهُۥ حَيَوٰةًۭ طَيِّبَةًۭ ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

“Sesiapa Yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka Sesungguhnya Kami akan menghidupkan Dia Dengan kehidupan Yang baik; dan Sesungguhnya Kami akan membalas mereka, Dengan memberikan pahala Yang lebih dari apa Yang mereka telah kerjakan” [An Nahl : 97]

فَٱسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّى لَآ أُضِيعُ عَمَلَ عَـٰمِلٍۢ مِّنكُم مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ ۖ بَعْضُكُم مِّنۢ بَعْضٍۢ ۖ فَٱلَّذِينَ هَاجَرُوا۟ وَأُخْرِجُوا۟ مِن دِيَـٰرِهِمْ وَأُوذُوا۟ فِى سَبِيلِى وَقَـٰتَلُوا۟ وَقُتِلُوا۟ لَأُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّـَٔاتِهِمْ وَلَأُدْخِلَنَّهُمْ جَنَّـٰتٍۢ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ ثَوَابًۭا مِّنْ عِندِ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسْنُ ٱلثَّوَابِ

Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang Yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya Yang lain; maka orang-orang Yang berhijrah (kerana menyelamatkan ugamanya), dan Yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga Yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan ugamaKu, dan Yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan Yang terbunuh (gugur Syahid Dalam perang Sabil) – Sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan Sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke Dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka Yang beramal soleh)” [Al Imran : 195]

Wangian Cinta terhadap Agama Allah SWT: Menerbitkan Sebuah Perjuangan Yang Mukhlis

Justeru itu, mereka yang pernah menjadi pemimpin atau mereka-mereka yang pernah berdiri dalam saf kepimpinan Harakah Islamiyyah akan sentiasa merencanakan sesuatu untuk Islam dan sentiasa merancang gerak kerja atau berusaha menjalankan program-program rasmi yang akan mencorakkan kembali Qalbu Manusia agar kembali mentadbir urusan manusia dengan bimbingan cahaya-Nya. Matlamat mereka hanya satu adalah berhidup dan bergerak dengan peraturan dan hukum Allah SWT. Walaupun saat itu mereka tidak lagi memegang jawatan. Antara mutiara kalam Tok Guru Nik Aziz Nik Mat :

“Amanah yang Allah SWT taklifkan kepada saya sebagai dai’e Islam tidak akan saya lepaskan. Dalam perjuangan Islam tidak ada istilah bersara. Perjuangan akan tetap diteruskan sehinggakan ke suatu masa yang Allah kehendaki untuk saya berhenti. Saya tidak bimbang sekiranya hari ini saya mati. Apa yang membimbangkan saya pada ketika ini ialah sekiranya saya mati dalam keadaan Allah SWT tidak menerima segala amalan saya. Alangkah ruginya saya,”

Wahai para da’ie, ingatlah bahawa iman merupakan sinergi yang diyakini dalam hati (Tasdiqun Bil Qalbi) diikrarkan dengan lisan (Ikrarun Bi Lisan) dan diamalkan dengan perbuatan (Amalu Bil Arkhan) Iman yang benar sebagaimana yang digambarkan Allah SWT laksana pohon yang akarnya menjunam jauh ke dalam tanah, rantingnya menjulang tinggi ke udara dan setiap buahnya yang lazat dapat dijamah oleh manusia dan makhluk di sekelilingnya. Seseorang yang memiliki iman yang kuat tidak akan menjadi hamba sahaya dari sesiapapun kecuali kepada Allah SWT. Dan tidak akan mengikuti sesiapapun kecuali mengikuti Rasul-Nya.

Wahai para da’ie, orang yang beriman akan berakhlak dengan akhlak Islam, kerana akhlak adalah buah kepada iman. Orang yang imannya kuat dan berada dalam keadaan baik akan menghasilkan akhlak dan peribadi yang menyenangkan orang lain. Mereka yang mempunyai kekuatan iman akan memperlengkapkan dirinya dengan akhlak yang mulia dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai qudwah dalam setiap aspek kehidupannya. Dia akan disayangi sebagaimana sayangnya para sahabat kepada Rasulullah SAW. Dia akan disenangi sebagaimana senangnya setiap orang yang menemui Rasulullah SAW. Dia akan dirindui sebagaimana rindunya hati kita kepada Rasulullah SAW walaupun kita tidak pernah menatap wajah baginda walaupun hanya sekali. Betapa indahnya iman.

Wahai para da’ie, perkayakanlah dirimu dengan kekuatan ilmu pengetahuan dari Al Quran. Sesungguhnya pemuda pemudi Islam yang miskin dengan ilmu pengetahuan dan tidak memahami misi dan visi Al Quran serta perjuangan Rasulullah SAW akan dipandang rendah oleh musuh-musuh Islam, bahkan ia tidak akan mampu mempersembahkan Islam sebagai sajian syumul, lengkap dan tepat kepada masyarakat yang di didokongnya. Inilah intipati tarbiyyah yang pernah dilalui oleh para sahabat dan para salafussoleh terdahulu sebagai bekalan untuk meneruskan kesinambungan dalam gerak kerja dakwah. Firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِيْ رَسُوْلِ اللّٰهِ اُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَنْ كَانَ يَرْجُوا اللّٰهَ وَالْيَوْمَ الْاٰخِرَ وَذَكَرَ اللّٰهَ كَثِيْرًاۗ

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” [Al Ahzab: 21]

Maka jadilah pemimpin yang sentiasa bersedia untuk menjalani proses pentarbiyyahan dan jadilah pemimpin yang sentiasa menyediakan dirinya untuk ditarbiyyah.

Sanubari pejuang Islam yang sejati perlu dilenturkan dengan kefahaman dan matlamat perjuangan Islam yang sebenar, bahkan ia sentiasa berkorban dan mengorbankan segala apa yang dicintai dan disayanginya itu dengan sepenuh hati, malah ia juga sanggup mengorbankan apa saja yang dicintainya itu semata-mata untuk perjuangan Islam dan dirinya sangat mementingkan hubungan hissiyyun qalbi kerana baginya bukan pangkat, darjat, kedudukan, kekayaan dan pujian manusia yang menjadi buruan hidupnya, malah ia tidak meletakkan cinta manusia sebagai teras perjuangan hidupnya.

Dan ia juga tidak berusaha keras untuk memiliki dan meraih tumpuan manusia sehinggakan sanggup melakukan kezaliman atau penganiayaan terhadap saudara seislamnya, akan tetapi ia menjadi insan yang sanggup melepaskan segala-galanya kerana Islam, untuk Islam, demi Islam.. kerana dirinya sangat menyintai Allah dan RasulNya dan ia sangat menyintai perjuangan Islam. Dalam jiwanya itu hanya Allah, ia berusaha sedaya upaya untuk menggapai redha Allah SWT. Perkara itulah yang menjadi dambaan para pejuang Islam sejati dan tokoh-tokoh pejuang Islam terdahulu, para ulama, para salafussoleh, para sahabat dan seterusnya.

Inilah implikasi tarbiyyah terbaik dalam membentuk jiwa dan keperibadian kita sebagai individu muslim yang hidup dibawah pentadbiranNya. Kita perlu menjadi pemimpin yang berhemah tinggi lagi disegani, antara laluan yang perlu kita pilih ialah dengan mencontohi perjuangan srikandi-srikandi Islam terdahulu, sentiasa bersedia dan menyediakan diri untuk berada dalam hamparan tarbiyyah Ilahi dan sentiasa hadir mentarbiyyah ahlinya dengan sentuhan ilmu, nasihat-nasihat agama, juga pedoman-pedoman kehidupan.

Walaupun kita tidak lagi memegang jawatan atau berdiri bersama saf kepimpinan pada hari ini. Namun kita tetap bergerak dengan cara kita, dengan rencana Allah SWT, dimanapun kita berdiri disitulah kita berperanan.

Jadilah ANAK PANAH ISLAM…

Antara contoh terdekat kita : BINTANG SYURGA : MURABBI UMMAH – Tokoh ulama’ Kelantan, tokoh yang paling di segani di Negeri Serambi Mekah iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau seharusnya dijadikan contoh teladan kita. Lihat kesungguhannya dalam memastikan ketuanan Islam di bumi Kelantan:

صِبْغَةَ اللّٰهِۚ وَمَنْ اَحْسَنُ مِنَ اللّٰهِ صِبْغَةًۖ وَّنَحْنُ لَهٗ عٰبِدُوْنَ

(Katakanlah Wahai orang-orang Yang beriman: “Ugama Islam, Yang Kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah Yang mencorakkan seluruh kehidupan Kami Dengan corak Islam); dan siapakah Yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah Kami beribadat” [al-Baqarah: 138]

Sesungguhnya amanah kepimpinan di dalam Islam berada di bawah medan dakwah kita dan ia menjadi tanggungjawab semua, ia tidak hanya terletak di atas bahu pemimpin yang berjawatan atau yang ditaklifkan oleh sistem manusia sahaja,hakikat kepimpinan itu telah ditaklifan dibahu kita dengan pengiktifan yang disebutNya di dalam Al Quran.

About Author

Ustazah Fadhlina merupakan tenaga pengajar tauliah MAIK Kelantan. Beliau juga salah seorang Penerbit Rancangan Radio Klate Kita, Radio Digital Online dan antara penulis sukaralewan di bawah Jabatan Informasi dan Teknologi Maklumat Dewan Muslimat PAS Malaysia.

No Comments

    Leave a Reply