Musim-musim cuti begini, seronok juga masuk dapur membakar roti.
Apa lagi.. tudung dicapai, ambil kunci kereta dan menuju ke pasar raya seraya memenuhkan troli dengan ibu roti, tepung berprotein tinggi, mentega, susu sejat, telur sepapan, gula perang, dan kekacang buat taburan hiasan..
Sekembalinya ke rumah, apron dicapai lantas disarung. Perkara pertama yang perlu dibuat ialah menyediakan beberapa bekas bervariasi bentuk mengikut jenis adunan yang perlu dibancuh.
Begitulah juga dalam kita berorganisasi.
Bukan semua orang sama kelebihan dan kelemahan; maka tugas pemimpin untuk menyesuaikan tugasan dengan kebolehan, kan?
Kemudian, pastikan pula peralatan seperti alat penimbang, senduk dan sudu sudah siap tersusun di atas meja. Samalah seperti kita hendak berprogram. Jangan hanya bergegas melakukan tugasan tanpa persediaan alatan(tools) yang rapi. Tidakkah membuang masa dan tidak efisien jika perlu meninggalkan lagi tempat kerja kita untuk mencari alatan?
Selepas itu, ikut resepi yang telah dicari mengikut turutan yang betul. Dalam proses membakar, penting untuk semua sukatan mengikut ketetapan. Oleh sebab itu, penting untuk kita mencari resepi yang bersesuaian dengan kapasiti peralatan membakar yang ada dan juga jenis ketuhar yang kita gunakan. Seperti ketika bergerak kerja, semua orang perlu ada panduan ataupun Standard Operating Procedure (SOP) bagi setiap tugasan.
Namun, penting untuk manual yang digunakan itu bersesuaian dengan visi dan misi organisasi serta kapasiti ahli di dalamnya. Kalau kelab memasak, jangan guna manual kelab berbasikal pula ye!
Jika diperhatikan, banyak proses dalam membakar roti ini melibatkan haba dan tekanan. Hendak menyatukan semua bahan, perlu menggunakan pengadul eletrik. Hendak memasak roti, perlu dibakar dalam ketuhar. Tanpa segala jenis haba dan tekanan ini; tepung, telur, gula, ibu roti, mentega, dan susu hanya menjadi elemen individual dan bukannya sebuku roti yang enak.
Begitulah kita dalam berorganisasi, adakalanya perlu juga sedikit konflik dan tekanan agar ahli-ahli dapat disatukan. Apabila para anggota ‘dipaksa’ bekerjasama menyelesaikan masalah, barulah kita saling mengenali dan memahami.
Disitulah akan terbit bibit ukhuwah yang sejati.
Organisasi yang hebat bukanlah organisasi yang bebas masalah, tetapi mempunyai pemimpin yang bijak mengatur ahlinya bersatu mendepani masalah.
Panjang pula catatan kali ini. Namun tak terasa dek dicatat sambil menjamah roti panas yang segar daripada ketuhar.
Jangan cemburu, ya! Pergilah ke dapur anda dan hasilkan sesuatu… dan ingat, segala proses dalam kehidupan ini ada ibrahnya, jika kita mahu melihat dan berfikir
No Comments