Pembangunan Diri

Emosi Banjir

Tiap-tiap tahun Kelantan sememangnya menghadapi musim tengkujuh. Ada yang bergembira seolah-olah berpesta menyambutnya. Saya tersenyum sendiri apabila melihat video-video kreatif musim banjir.

Namun, kadang-kadang malang tidak berbau. Banjir juga mungkin boleh mendatangkan bahaya sehingga meragut nyawa.

Suka melihat pesta air rakyat Kelantan, namun terasa sedih mengenangkan korban & kerugian. Semoga Allah ganti yang lebih baik. Amin.

Alhamdulillah, kediaman saya & orang tua selamat daripada banjir. Namun, kami tidaklah senang duduk melihat mereka yang susah, sahabat-sahabat kami yang basah lencun membantu.

Seusai oncall, hari ini saya melapor diri kepada Papisma Malaysia Cawangan Kelantan Official untuk menjadi petugas perubatan sukarela. Namun, saya tidak dapat ke lokasi pemeriksaan kesihatan kerana air yang tinggi ke sana. Jadi saya membuat keputusan untuk menyumbang di sekitar capaian saya iaitu Pasir Mas.

Alhamdulillah, sempat menyampaikan bantuan keperluan ke PPS SKOT 2 Tendong di bawah kelolaan NGO Inspirasi Muslim . Saya juga sempat berbual dengan mangsa banjir. Ada yang sebelum ini tidak pernah menjadi mangsa banjir. Ada yang masih terkejut. Ada yang menangis sambil menceritakan detik-detik mendebarkan bagaimana mereka diselamatkan. Memang banjir kali ini luar biasa melanda terutamanya kawasan yang dilanda limpahan air dari Sungai Golok.

Semoga mangsa banjir tabah. Berat mata memandang, berat lagi yang memikul bebanan. Juga saya memohon pihak berkenaan mempertimbangkan tarikh SPM kerana melibatkan jumlah anak-anak mangsa banjir yang agak besar seluruh negara. Kita tidak pasti sejauh mana persediaan mereka secara fizikal & mental pada ketika ini. Kasihanilah mereka.

No Comments

    Leave a Reply