Kita hantar anak-anak ke sekolah agama bukan sekadar mahu mereka menjadi soleh selepas mumayyiz atau sebelum baligh.
Kita hantar mereka ke sekolah agama kerana mereka perlu menjadi manusia soleh pada ketika mereka berumur mencecah 40 tahun ke atas.
Kerana pada masa itu merupakan kemuncak kematangan. Pada waktu itu, segala nikmat dunia bakal dikecapi. Tubuh yang kekar sihat, akal yang cerdas, menjawat jawatan-jawatan tinggi, mengetuai jabatan-jabatan penting, pendek kata, kemuncak segala nikmat dunia bakal dikecapi pada umur sekitar ini.
Pada waktu itu, kita sebagai ibu ayah sudah tidak berdaya. Kita hanya mampu berdoa. Kerana kita mungkin sudah tidak tergamak juga untuk menegur. Atau kita mungkin sudah tiada di dunia. Bukankah kita sudah melihat perkara ini berlaku di sekeliling kita?
Jadi, apa “daya tahan” dari ujian yang diperlukan pada ketika segala nikmat dunia berada di genggaman? Ya, iman di dada. Iman tidak akan datang dengan percuma. Jadi, inilah antara pelaburan dalam menjamin kemaslahatan anak-anak kita dan ummah.
Jika jadi doktor, diharapkan menjadi doktor yang beriman, jika jadi jurutera, jurutera yang beriman, jika jadi kontraktor, kontraktor yang jujur. Jika jadi ahli politik, ahli politik yang amanah. Begitulah. Sudah tentu cabaran di zaman mereka berlainan dengan zaman kita.
Maka, mari sama-sama kita doakan anak-anak kita menjadi insan soleh yang berjiwa besar yang mampu membawa masyarakat ke jalan kebaikan. Bukan hanya ibu bapa boleh tumpang bahkan ummah boleh tumpang. Agar Nabi Muhammad SAW berbangga punya ummat seperti ini yang lahir dari rahim-rahim kita. Amin. Insha-Allah.
Terima kasih SRITI Samad Gul Rantau Panjang atas peluang berkongsi. Semoga ada keberkatan. Amin.

No Comments