وَوَصَّيْنَا الْاِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ اِحْسَانًا ۗحَمَلَتْهُ اُمُّهٗ كُرْهًا وَّوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۗوَحَمْلُهٗ وَفِصٰلُهٗ ثَلٰثُوْنَ شَهْرًا ۗحَتّٰىٓ اِذَا بَلَغَ اَشُدَّهٗ وَبَلَغَ اَرْبَعِيْنَ سَنَةًۙ قَالَ رَبِّ اَوْزِعْنِيْٓ اَنْ اَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِيْٓ اَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلٰى وَالِدَيَّ وَاَنْ اَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضٰىهُ وَاَصْلِحْ لِيْ فِيْ ذُرِّيَّتِيْۗ اِنِّيْ تُبْتُ اِلَيْكَ وَاِنِّيْ مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ
Erti firman Allah SWT: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”. [Al-Ahqaf: 15]
Kewajipan mentaati ibu bapa banyak disebut di dalam al-Quran. Ini menunjukkan betapa tingginya darjat ibu bapa sehingga reda Allah bersama dengan reda ibu bapa.
Ibu dan bapalah yang sedari kita kecil lagi mereka kandungkan, lahirkan, menyusukan, memberi kita makan, mendidik dan menjaga sehingga kita mampu berdiri dan menjadi dewasa. Begitu mulianya kedudukan ibu bapa sehingga murka mereka bersama murka Allah.
Lalu bagaimana kita mahu membalas segala jasa besar mereka terhadap kita? Sudah semestinya dengan mentaati, beradab dan berakhlak mulia terhadap mereka. Antara adab dan akhlak terhadap ibu bapa yang dinukilkan dan digariskan di dalam hadis Nabi dan kitab-kitab ulama adalah:
1. Menghormati ibu bapa.
Adab yang paling tinggi adalah menghormati mereka. Bila adanya rasa hormat, segala aspek didahulukan dengan reda ibu bapa. Antaranya kita meminta izin dengan mereka, dahulukan mereka dari sudut percakapan dan mengambil makanan, tidak berjalan di depan mereka.
2. Bertutur lembut dengan ibu bapa.
Allah SWT melarang keras seorang anak meninggikan suara sehingga berkata “ah” kepada ibu bapa. Antara perkara yang boleh menyakiti hati ibubapa adalah dengan pertuturan kasar dan kata-kata kesat. Semarah mana pun kita terhadap ibu bapa, jangan sampai terlajak kata yang boleh mengguris hati mereka.
3. Mendengar kata dan nasihat ibu bapa.
Tanda anak yang soleh adalah mereka selalu mendengar dan mentaati kata ibu bapa tanpa rungutan. Biar apa pun agama, jawatan dan pangkat ibu bapa kita, itu bukan ukuran dalam mentaati mereka. Wajib ditaati walaupun mereka bukan Muslim selagi mana tidak bercanggah dengan syariat Islam.
4. Berbuat baik dan menjaga kebajikan ibu bapa.
Sentiasa melayani mereka dengan baik tanpa paksaan dan memberi nafkah kepada mereka setelah kita mampu. Terkadang ibu bapa tidak mengharapkan balasan wang ringgit dari anak mereka, melainkan kasih sayang dan perhatian yang tulus kepada mereka.
5. Berbuat baik kepada teman ibu bapa.
Kita boleh menjalin hubungan baik dengan kawan ibu bapa hatta setelah mereka meninggal. Bukan sahaja dapat menjaga nama baik mereka, malah mengeratkan tali persaudaraan yang sedia terjalin sebelumnya.
Keberkatan hidup seorang anak banyak bergantung kepada reda ibu bapa. Jadi, perlunya kita menghargai dan menjaga akhlak terhadap mereka dari mata terbuka hingga terpejamnya mata kita, dari bernafas hingga ditariknya nyawa kita.
Bagaimana layanan anak kita kelak bergantung bagaimana layanan kita terhadap ibu bapa kita dahulu. Keperitan dan kepayahan kita dalam menjaga ibu bapa kita pasti dibalas setinggi ganjaran kelak. Namun, kebiadapan dan tidak beradabnya kita terhadap ibu bapa, murka Allah bakal menanti kita jika tidak bertaubat.
Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ. قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” [Riwayat Muslim (2551)]

No Comments