Keluarga

Ada Apa dengan Cinta?

Cinta bukan hanya tentang kasih sayang, cinta juga bermaksud kebencian dan perseteruan. Cinta Nabi Allah Ya’kub cinta seorang bapa CINTA SEJATI. Cinta Nabi Allah Ya’kub tertumpah ke atas Nabi Yusuf a.s sehingga menimbulkan kebencian dan perseteruan diantara saudara-saudaranya yang lain.

Cinta adalah perkongsian perasaan dari ombak kehidupan, suka duka, jatuh bangun, susah senang, antara mimpi, impian dan cita-cita serta perjuangan, wawasan dan masa depan.

Cinta itu mengambil berat, melindungi dan prihatin terhadap keselamatan orang yang dicintai. Satu beban yang amat berat ialah terlalu bimbang terhadap apa yang dicintai, bimbang tentang keselamatan dan ancaman terhadap orang yang dicintai.

Perpisahan adalah satu beban cinta yang paling berat. Sebagaimana bicara cinta Nabi Allah Ya’kub a.s ianya disebut di dalam Al Quran :

(Surah Yusuf 12: 86) – (Nabi Yaakub) menjawab: “Sesungguhnya Aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan Aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa Yang kamu tidak mengetahuinya.

Cinta Nabi Allah Ya’kub tak bertepi, tak luput ditelan waktu dan hilang walaupun ia telah lama berpisah dengan anaknya Yusuf, sebuah cinta yang benar-benar teruji dan ia tidak pernah kenal erti putus harapan.

Cinta para nabi yang melalui perpisahan yang panjang iaitu cinta Nabi Adam dan Hawa,. Mereka bertemu di Syurga dan berpisah di dunia, kemudian dipertemukan semula di padang Arafat. Dari situlah terbitnya doa taubat, kedua-duanya menyesali atas kealpaan dan termakan hasutan serta tenggelam dalam tipu daya syaitan laknatullah.

Begitu juga pertemuan puteri Balqis Malikah Sabak dengan Nabi Sulaiman. Cinta Nabi Allah Ibrahim dengan Siti Hajar, Cinta Nabi Yusuf dan Siti Zulaikha, dan CINTA SEJATI adalah CINTA RASULULLAH SAW dengan SITI KHADIJAH R.A

Cinta yang mendalam membawa kesan kepada jiwa. Perpisahan yang menumbuhkan kerinduan yang tidak terubat selagi mana pertemuan itu tidak kembali berlaku. Merana jiwa raga kerana Cinta Sejati.

“Betapa hebat KUASA CINTA – manusia sanggup berkorban apa sahaja terhadap apa yang dicintainya. Kadangkala rasa cinta ini membuahkan pengorbanan dan tindakan yang luarbiasa. Ia bukan hanya dibuktikan KEBENARANNYA DENGAN MELAFAZKAN UNGKAPAN CINTA YANG MENITI DI BIBIR, tetapi ternampak jelas dengan tindakannya.Terhasilnya sebuah tindakan yang luarbiasa..

Buka lah lembaran sejarah generasi agung terdahulu,mereka membuktikan cinta mereka terhadap agama Allah SWT, pengorbanan demi pengorbanan dilakukan bukan setakat tenaga dan harta, malah jiwa raga mereka juga diserahkan demi agama Allah. Segala yang mereka sayangi, segala apa yang mereka cintai disisi mereka diserahkan sepenuh hati demi CINTA SEJATI, kerana memburu cinta yang kekal abadi – CINTA RABBUL IZZATI demi SEBUAH PERJUANGAN ISLAM.

Antara BUKTI CINTA SEORANG PEMIMPIN KE ATAS RAKYATNYA ialah Cinta Al Marhum TGNA : Contoh yang paling jelas, pengorbanan dan perjuangan AL Marhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Beliau berusaha sedaya upaya untuk menegakkan ketuanan Islam di bumi Kelantan.

Model pentadbiran Rasulullah SAW dilaksanakan sepenuhnya dalam pentadbiran Kerajaan Islam Kelantan. Prinsip UMI diketengahkan :

UBUDIAH : Konsep ini berkaitan dengan soal iman (aqidah) yakni merujuk kepada kedudukan manusia sebagai hamba Allah SWT yang diciptakan semata-mata untuk beribadah kepada Allah SWT. Memberi signifikan dari sudut sifat dirinya, tujuan hidupnya serta aktivitinya. Apakah tujuan hidupnya serta cara aktivitinya. Apakah tujuan mentadbir sebuah negeri? Adakah sebagai ibadah atau penderhakaan kepada Allah SWT?

MASULIYYAH : Konsep ini berkait dengan soal amal (syariat) yakni pertangungjawaban (akauntabiliti) yang merujuk kepada sifat kerja seseorang yang dikaitkan dengan kedudukan Allah SWT sebagai pemberi tanggungjawab. Segala kerja (tanggungjawab) kita akan dipersoalkan oleh Allah SWT untuk pengadilan. Aspek ini dirakamkan dalam konsep Khalifah. Segala taklifan, amanah, tanggungjawab kita terhadap diri kita dan juga terhadap insan-insan yang berada disekeliling kita akan ditanya dan dipersoalkan di Mahkamah Allah SWT. Oleh itu tadbirlah alam ini dengan system dan peraturanNya.

ITQAN : Konsep ini berkaitan dengan soal soleh (akhlak) yakni merujuk kepada kualiti kerja yang boleh diterjemahkan sebagai ketekunan, komitmen dan kesungguhan pada peringkat awal dan disusuli pula dengan fokus dalam melakukan kerja. Ia juga bermaksud berterusan dengan tidak memberi ruang berlakunya penyelewengan atau sikap sambil lewa. Bila mana kita merasa diri kita berada dalam perhatian dan pengawasan Allah SWT. Kita akan nekad untuk melaksanakannya dengan sempurna dan berusaha sedaya upaya untuk menjayakannya.

Mutiara kalam TGNA : “Lakukan amanah kita itu seumpama kita melaksanakan solat di tikar sejadah sempurnakanlah ia sebaik mungkin.kerana setiapnya akan dipersoalkan dan akan ditanya oleh Allah satu persatu. Sempurnakanlah Amanah Allah ini sebaik mungkin. ALLAH MAHA MELIHAT SEGALA KERJA BUAT HAMBA-HAMBA-NYA”.

Bumi Serambi Mekah dimakmurkan dengan sentuhan ILMU (IMAN,ISLAM DAN IHSAN) natijahnya Negeri Kelantan menjadi pusat penyebaran ilmu dan model negeri yang mendaulatkan agama Allah : AL QURAN dijadikan panduan dan AS SUNNAH dijadikan bimbingan.

CINTA LUARBIASA…

About Author

Ustazah Fadhlina merupakan tenaga pengajar tauliah MAIK Kelantan. Beliau juga salah seorang Penerbit Rancangan Radio Klate Kita, Radio Digital Online dan antara penulis sukaralewan di bawah Jabatan Informasi dan Teknologi Maklumat Dewan Muslimat PAS Malaysia.

No Comments

    Leave a Reply