Tahun 2024 menyaksikan peningkatan ketara dalam kes jenayah terhadap wanita di Malaysia. Tahun ini negara dikejutkan dengan beberapa tragedi pembunuhan kejam terhadap wanita.
Antara kes yang mendapat perhatian meluas adalah pembunuhan Nur Farah Kartini, seorang graduan UPSI Cikgu Istiqamah, seorang guru dan Nuraina Humaira Rosli, seorang kanak-kanak orang asli berusia tujuh tahun.
Kes-kes ini berlaku dalam tempoh kurang dari enam bulan, menyebabkan masyarakat bimbang tentang keselamatan wanita di negara ini.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat peningkatan sebanyak 15 peratus dalam jenayah terhadap wanita pada separuh pertama tahun 2024 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Pada tahun 2023, PDRM mencatatkan 4,200 kes jenayah terhadap wanita, termasuk keganasan rumah tangga, serangan seksual, dan pembunuhan.
Walau bagaimanapun, menjelang pertengahan 2024, angka ini sudah mencapai lebih 4,830 kes sekaligus menunjukkan trend yang membimbangkan.
Peningkatan statistik ini mencerminkan keadaan yang semakin memburuk bagi keselamatan wanita di Malaysia.
Meskipun terdapat pelbagai inisiatif kerajaan untuk menangani isu ini, seperti kempen kesedaran dan perundangan yang lebih ketat, namun angka-angka tersebut menunjukkan bahawa masih banyak yang perlu dilakukan untuk melindungi wanita daripada menjadi mangsa jenayah.
Seolah-olah para penjenayah berasa kebal dan tidak takut dengan hukuman yang bakal menimpa mereka.
Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam, di mana ajaran Islam menekankan perlindungan dan penghormatan terhadap wanita.
Keganasan terhadap wanita adalah sesuatu kesalahan tidak bermoral kerana budaya masyarakat yang beragama Islam meletakkan wanita sebagai golongan yang mesti dilindungi dan bukan untuk ditindas.
Oleh itu, dalam usaha meningkatkan keselamatan wanita di Malaysia, perlu ada sinergi antara pihak kerajaan, badan bukan kerajaan, dan masyarakat umum.
Program pendidikan dan kesedaran harus diperluas untuk merangkumi semua peringkat umur.
Langkah-langkah yang lebih tegas juga perlu diambil untuk memastikan penjenayah tidak terlepas daripada hukuman yang setimpal, bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan wanita di Malaysia.
No Comments