Artikel ini adalah Bab 6 dari Siri “Mentafsir Semula Hak Asasi Manusia” oleh Mardhiyyah Johari.
Kanak-kanak adalah golongan yang rentan (vulnerable). Mereka adalah insan suci tanpa dosa.Di tangan manusia dewasa terletak tanggungjawab untuk melindungi, mendidik dan menjaga mereka dengan kasih-sayang dan penghormatan. Proses yang dilalui oleh kanak- kanak sepanjang tempoh membesar akan mempengaruhi karakter mereka apabila dewasa.
Abu Hurairah (r.a) berkata: Rasulullah (s.a.w) pernah mencium Al Hasan bin Ali sedangkan di samping beliau ada Al Aqra’ bin Habis At Tamimi sedang duduk, lalu Aqra’ berkata: “Sesungguhnya aku memiliki sepuluh orang anak, namun aku tidak pernah mencium mereka sekalipun.” Maka Rasulullah (s.a.w) memandangnya dan bersabda:
“Barangsiapa tidak mengasihi maka ia tidak akan dikasihi.” (Hadith riwayat Al-Bukhari)
Rasulullah s.a.w menegur Al-Aqra’ hanya kerana tidak pernah mencium anak-anaknya, maka apatah lagi bagi perbuatan mengasari dan menzalimi anak- anak pasti lebih berat dan dilarang agama.
Kanak-kanak turut mempunyai hak asasi yang mesti dilindungi. Negara yang melindungi hak kanak- kanak adalah tanda aras sebuah negara yang bertamadun. Negara yang tidak membiarkan bangsanya mencabuli hak kanak-kanak akan melihat hasilnya apabila anak-anak ini mendewasa menjadi pemimpin berjasa dan manusia berguna.
Hak kanak-kanak boleh dirujuk melalui dokumen antarabangsa Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak yang telah diterimapakai oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 20 November 1989. Dalam konteks Malaysia, Akta Kanak-Kanak 2001 berfungsi sebagai undang- undang yang melindungi kanak-kanak.
Terdapat empat prinsip asas dan utama dalam mengangkat hak kanak-kanak berdasarkan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak.
Pertama ialah prinsip untuk tidak didiskriminasi sepertimana termaktub dalam Perkara 2. Kanak- kanak tidak boleh didiskriminasi atas apa sahaja faktor sama ada bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, agama, pandangan politik, warganegara, asal usul etnik ,harta atau apa-apa alasan lain. Kerajaan hendaklah memastikan kanak-kanak dilindungi daripada diskriminasi. Pengalaman didiskriminasi pasti akan mencipta rasa rendah diri dan trauma pada diri kanak-kanak.
Kedua, adalah menjadi hak kanak-kanak untuk hidup dan berkembang mencapai potensi yang maksima sepertimana tercatat di dalam Perkara 6. Hak untuk hidup dan berkembang ini merangkumi hak mereka untuk mendapat pendidikan, tidak dikasari atau didera (torture). Apabila mereka dilindungi dari kekasaran dan penderaan serta mendapat hak pendidikan yang baik, maka mereka akan mampu berkembang dan mencapai potensi yang maksima.
Ketiga adalah prinsip kepentingan terbaik kanak- kanak (the best interest of the child) mestilah diambilkira dalam segala tindakan berkaitan kanak- kanak tersebut sama ada oleh ibu bapa, Mahkamah mahupun institusi. Hak ini dijamin dalam Perkara 3. Dalam soal penjagaan anak-anak selepas perceraian ibu bapa mahupun memutuskan hukuman terhadap pesalah juvana, prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak mestilah dijadikan pertimbangan utama oleh pihak-pihak berautoriti.
Keempat ialah prinsip menghormati pendapat kanak-kanak dalam semua perkara yang menyentuh kanak-kanak. Hak ini termaktub dalam Perkara 12 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak. Di Malaysia Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menubuhkan Majlis Kebangsaan bagi Kanak-Kanak sepertimana termaktub dalam Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016 [Akta 1511] di bawah seksyen 3. Fungsi Majlis ini adalah antaranya bagi tujuan menggalakkan penyertaan kanak-kanak dalam proses membuat keputusan mengenai perkara yang menyentuh isu kanak-kanak. Namun seharusnya jumlah kanak- kanak sebagai anggota Majlis ini haruslah ditambah supaya berpadanan dengan komposisi anggota lain agar lebih menepati tujuan asal Majlis ini diwujudkan.
Selain daripada Konvensyen Mengenai Hak Kanak- Kanak, Malaysia turut menjamin hak asasi kanak- kanak sebagai manusia sama seperti orang dewasa melalui Perlembagaan Persekutuan seperti hak kebebasan diri (merdeka) dalam Perkara 5, larangan dijadikan buruh paksa dalam Perkara 6, semua insan adalah sama rata di sisi undang- undang dalam Perkara 8 serta kebebasan untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan termaktub dalam Perkara 10.
Dari sudut perundangan, kelihatannya hak kanak- kanak sudah mendapat perlindungan yang baik. Malangnya kita masih dikejutkan dengan satu demi satu berita sedih melibatkan kezaliman ke atas kanak-kanak:
- Seorang kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) Sindrom Down berusia 13 tahun yang melecur di beberapa anggota badan dipercayai akibat didera penjaganya kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata tindakan lanjut telah dibuat termasuk memberhentikan hak penjagaan kanak-kanak tersebut. (Al-Hijrah, 9 Julai 2021)
- Kanak-kanak meninggal dunia ditemui dalam tong. Pasangan suami isteri didakwa bunuh dan dera adik Amir. Kanak-kanak yang dikenali sebagai Amir baru sahaja diserahkan semula kepada ibu kandungnya selepas 6 tahun dijaga dengan baik oleh keluarga angkat. Ibu kandung dan bapa tiri mendakwa adik Amir mati lemas di dalam tong air. Namun siasatan menemui kesan penderaan. (Astro Awani, 10 Februari 2021)
- Betong: Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia dengan kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian badan dipercayai menjadi mangsa dera ahli keluarganya. (Utusan Malaysia , 7 Jun 2021)
- Kajang: Polis menahan seorang wanita dan teman lelakinya yang didakwa mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun sehingga meninggal dunia di sebuah pangsapuri . Pemeriksaan lanjut doktor mendapati mangsa mengalami kecederaan di kemaluan dan terdapat kesan lebam di beberapa bahagian badan. Kanak-kanak itu disyaki dipukul teman lelaki ibu mangsa sehingga tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke hospital. (Sinar Harian, 19 Februari 2021)
Menginsafi peristiwa-peristiwa menyedihkan ini, kita sedar bahawa perlindungan dari segi undang- undang sahaja tidak mencukupi untuk mencegah kanak-kanak dari diperlakukan dengan kejam. Perlindungan yang paling baik adalah daripada masyarakat yang bersifat pelindung (protective) kepada kanak-kanak. Pencabulan hak kanak-kanak seperti penderaan fizikal, seksual, emosi dan pengabaian dapat dihalang apabila masyarakat bersifat prihatin dan pelindung.
Anggota masyarakat mestilah bertindak segera melaporkan kepada pihak berkuasa apabila sahaja mengesyaki terdapat kanak-kanak yang didera. Membuat laporan Polis atau menghubungi Talian Kasih 15999 di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat adalah antara usaha yang boleh dilakukan oleh orang awam.
Walaubagaimanapun, sikap pelindung masyarakat mestilah berasaskan kefahaman undang-undang. Sikap memviralkan wajah dan nama kanak-kanak disyaki didera adalah satu perbuatan yang salah. Seksyen 15(1) dan (2) Akta Kanak-Kanak melarang pendedahan nama, alamat, institusi pendidikan atau apa-apa sahaja butiran yang membolehkan kanak- kanak dikenalpasti.
Selain itu, terdapat salah faham di kalangan masyarakat iaitu mereka khuatir akan berhadapan tindakan undang-undang seandainya mereka tersalah melaporkan info mengenai penderaan kanak-kanak. Mereka risau akan disaman oleh penjaga kanak-kanak seandainya siasatan mendapati penderaan tidak berlaku. Salah faham ini mesti diperbetulkan. Masyarakat harus disedarkan bahawa pihak berkuasa akan sentiasa melindungi maklumat saksi atau pengadu demi memastikan proses keadilan dapat dilaksanakan.
Justeru itu anggota masyarakat tidak perlu takut untuk segera bertindak membuat laporan kepada pihak berwajib seandainya mengesyaki berlakunya penderaan. Harus diingat, tersalah lapor dan mendapati penderaan sebenarnya tidak pun berlaku adalah lebih baik daripada diam kerana takut salah, lalu risikonya terdapat kanak-kanak yang terpaksa mengharung azab derita bertahun-tahun menjadi mangsa dera. Menangis sendiri menahan sakit dipukul tanpa belas ihsan. Ada yang kita ketahui hanya setelah berita kematian tersebar, namun ada yang terus menerus tidak kita ketahui. Penderitaan mereka terselindung di sebalik tembok rumah pendera.
Tertuduh Juvana
Pada masa ini, praktis di Mahkamah adalah kes kanak-kanak didengar secara tertutup. Pihak-pihak yang tidak berkaitan dengan kes tidak dibenarkan untuk berada di dalam dewan bicara. Hanya Majistret/ Hakim, jurubahasa, peguam dan waris yang menemani sahaja dibenarkan berada di dalam dewan bicara Mahkamah semasa kes berlansung.
Namun terdapat satu amalan yang dilihat perlu diperbaiki oleh sistem undang-undang sedia ada agar dapat menambah baik perlindungan kepada kanak-kanak. Amalan itu adalah mendedahkan nama penuh kanak-kanak yang didakwa bagi pertuduhan jenayah (penama). Pada masa ini walaupun kes didengar secara tertutup, namun nama penuh penama tercatat jelas pada papan kenyataan Mahkamah yang memaparkan senarai kes. Malah di sebahagian Mahkamah, penama masih terdedah kepada penglihatan orang awam yang hadir ke Mahkamah semasa menunggu giliran kes dipanggil kerana penama terpaksa menunggu bersama-sama dengan orang awam. Tiada kawasan khas yang tertutup disediakan buat penama. Seandainya situasi ini dapat diperbaiki, sudah pasti kanak-kanak akan lebih dilindungi. Walaupun mereka pernah tersalah langkah, namun selepas selesai menjalani hukuman mereka tetap mampu menempuh masa hadapan dengan watak yang baru tanpa dihantui kisah silam apabila identiti mereka benar-benar dilindungi.
Marilah kita berusaha membina satu peradaban dengan akhlak yang mulia. Ia bermula dengan mendidik generasi seawal usia kanak-kanak. Golongan dewasa mesti menunjukkan contoh yang baik kepada mereka.
Rasulullah s.a.w sebagai Rasul kepada seluruh ummat manusia dan ketua negara menunjukkan contoh terbaik dalam menghormati kanak-kanak. Dalam sebuah hadith diriwayatkan bahawa Rasulullah (s.a.w) memberi salam kepada anak-anak dan mengusap kepala mereka. Daripada Anas (r.a), pada suatu ketika dia berjalan melalui kumpulan kanak-kanak lalu beliau memberi salam kepada mereka dan berkata: “Bahawa Rasulullah (s.a.w) sentiasa lakukan seperti yang aku lakukan ini (iaitu memberi salam kepada kanak-kanak).” (Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

No Comments