Hak Asasi Manusia

77 tahun Nakbah Palestin

15 MEI setiap tahun semenjak 1948 adalah tarikh yang menikam hati dan perasaan umat Islam; Nakbah Palestin ataupun bencana Palestin yang hilang daripada peta digantikan dengan negara haram Israel.

Pengusiran dan pembantaian ke atas umat Palestin tidak berhujung, seolah dunia Islam sudah pekak dan tuli terhadap jeritan mangsa penindasan. Hilang sensitiviti dengan kemuliaan Masjidil Aqsa yang dicerobohi serta pembantaian lebih setahun di Gaza yang menikam sukma orang-orang beriman. Cuma kali ini kesedihan umat Islam terubat melihat Tentera Allah yang meranapkan Israel dengan lahan terbakar seluas 5,000 ekar, dengan hembusan ribut taufan tidak bersahabat sehingga memaksa negara haram itu meminta bantuan luar. Inferno meliar yang tidak terkawal seolah-olah kembar kepada kejadian yang menimpa kuasa adijagat beberapa bulan lepas yang membaham sebahagian lahan di Los Angeles, California.

15 Mei kali ini juga menoreh sejarah hitam kepada umat Islam dengan pembunuhan kejam di Gaza dengan sikap munafik negara-negara Arab.

Gaza melimpah derita dengan hampir 50,000 kehilangan nyawa, dianggarkan kemusnahan hampir 90 peratus bangunan serta prasarana awam. Penjara terbuka terbesar ini juga juga mengalami genosid bahkan dalam keadaan separah itu pun tiada bantuan kemanusiaan luar dibiarkan bebas.

Kelmarin, kapal kemanusiaan Food Flootila dibedil tanpa belas kasihan oleh rejim Zionis di zon antarabangsa menuju ke Gaza. Ironinya dalam keadaan api sedang membakar lahan mereka perangai kebinatangan mereka tidak mampu disembunyikan walau sesaat!

Gerakan Zionis yang ditubuhkan pada tahun 1897, terus merancang dengan teliti untuk menakluki tanah Palestin. Tanah yang mereka dakwa milik mereka, saat itu dijaga oleh pemerintah Islam, Khilafah Uthmaniah. Zaman imperialisme Barat, zaman the blue eyes mentality, zaman umat Islam hilang kekuatan politik Islam yang menyaksikan umat Islam yang terpuruk ke belakang turut mempercepatkan kewujudan negara haram Israel di atas tanah Palestin.

Teodor Herzl yang memimpin konspirasi Zionis ini meminta Sultan Abdul Hamid II untuk melepaskan Palestin dengan tukaran wang, namun khilafah Uthmaniah semenjak pemerintahan Khalifah Uthman Urthugul tetap menjaga setiap inci tanah Palestin.

Seterusnya, gerakan Zionis telah berjaya memperalatkan Britain untuk melakukan perluasan kuasa di Palestin sehingga berlaku perang pada tahun 1917 yang dimenangi oleh tentera British. British menjemput migran Yahudi dari pelbagai pelusuk dunia terutama dari Eropah selepas Deklarasi Balfour.

Negara haram Israel menjadi duri dalam daging kepada umat Islam, dengan pengusiran dan pembantaian terhadap umat Islam Palestin. Nakbah Palestin yang berlaku semenjak Mei 1948 terus berterusan memotret luka kepada umat Islam.

Perang Palestin melibatkan mujahidin Ikhwanul Muslimin pada tahun 1940-an dan dengan alasan inilah, Ikhwan Muslimin telah diseret ke jeriji penjara pada tahun 1948 oleh penguasa Mesir. Terkini, Ikhwanul Muslimin Jordan juga telah diharamkan kerana pengupayaan mereka dalam membantu umat Islam di Gaza.

Sebelum itu lagi dalam rakaman sejarah, dalam dekad 1930-an, Sheikh Izzudin al Qassam telah berjuang dan akhirnya telah mati syahid dibunuh penjajah British. Juga seorang ilmuan dari alam Melayu yang gencar memperjuangkan isu Palestin, Dr Burhanuddin al Helmi turut ditangkap dan dipenjarakan oleh British. Negara-negara dan pemimpin-pemimpin Arab dikunci mulut dan diikat tangan mereka oleh British melalui Perjanjian Posmourth maka terkucillah keberanian pemimpin melihat tanah Palestin dijarah oleh musuh Islam.

Malangnya, negara-negara Arab dalam dekad 1950-an dan 1960-an berselimut dengan fahaman Baath (Sosialis Arabism); mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menjaga tanah Palestin daripada perampok Zionis.

Bahkan dalam Perang Enam Hari atau Perang Arab Israel 1967 menyaksikan tiga buah negara Arab bernuansa Baath telah dipijak maruah dan dihina dengan kekalahan. Mesir telah kehilangan Wilayah Sinai, Jordan dirampas Tebing Barat dan Syria kehilangan Bukit Golan yang strategik. Ketiga-tiga negara Arab ini juga telah kehilangan 25,000 anggota tentera yang dibunuh oleh pihak Zionis dalam perang yang singkat tempohnya ini. Arab hilang kekuatan dan kemuliaan tanpa Islam!

Namun, hikmah kekalahan ini telah memunculkan semangat kebangkitan semula Islam di kalangan generasi anak muda berpendidikan Timur Tengah.

Mesir akhirnya berjaya mengambil kembali Semenanjung Sinai dalam Perang Ramadhan 1973, dengan bantuan ulamak dan sentimen kebangkitan semula Islam. Bulan jihad dan kemenangan yang sangat memotivasikan Muslim untuk berjuang. Namun rejim Mesir pasca Perang Ramadhan 1973 kembali mengganas dan menangkap aktivis Islam dan menyumbat  kembali mereka ke dalam jeriji penjara.

Cahaya kemenangan hanya muncul bersinar dengan perjuangan berteraskan akidah. Di Gaza, munculnya HAMAS pada tahun 1987 yang meletakkan matlamat untuk membebaskan setiap tanah Palestin yang dirampas oleh Zionis. Sheikh Ahmad Yasin telah memimpin gerakan jihad ini sehingga dilihat HAMAS menjadi pembela utama Palestin dan oleh kerana inilah, gerakan ini telah membayar harga yang mahal dalam usaha menjulang perjuangan pembebasan Palestin.

Sayap tentera HAMAS, Al Qassam, berjaya dalam banyak siri pertempuran dan sehingga kini mengawasi percubaan Zionis untuk melumpuhkan Gaza. Mereka tidak sewenangnya untuk menyerang Gaza kerana bimbangkan tindak balas daripada al Qassam.

Usaha menyelamatkan al Quds memerlukan usaha yang berterusan, sistematik serta penggarapan seluruh iltizam politik kerajaan umat Islam di seluruh belahan dunia.

Malangnya hari ini, keseriusan untuk menyelamatkan al Quds sangat sederhana malah sangat mengecewakan. Lihatlah bagaimana sikap negara-negara Teluk terhadap Qatar pada bulan Jun 2017 di mana negara itu dikucilkan oleh negara-negara Teluk yang lain kerana melindungi pimpinan HAMAS, malah sikap rejim Arab dalam isu taufan Al Aqsa.

Lihat juga sikap penguasa Saudi yang sangat menjengkelkan dan sangat mengecewakan umat Islam dalam isu Palestin ini.

Bagi penulis, usaha penyelamatan al Quds mestilah paralel dengan usaha membantu Gaza yang sedang dibantai kejam. Dunia Islam mestilah bangkit mendesak agar kerajaan kudeta Mesir bahkan kerajaan Jordan membuka pintu sempadan bagi memudahkan dunia antarabangsa membantu membangunkan kembali Gaza yang diluluh lantak dengan serangan Zionis sejak Oktober 2023.

Perjuangan membebaskan Palestin adalah tanggungjawab seluruh umat Islam dan merentasi sempadan politik dan kotak kecil negara bangsa!

Lalu, bangun, bangkitlah umat Islam! 77 tahun Nakbah Palestin dan terkini, sudah lebih setahun mereka meratapi dengan airmata darah warga Gaza. Kita adalah manusia yang paling tolol jika rajin beribadah namun melupakan nasib tanah Palestin, kiblat pertama umat Islam ini serta Masjidil Aqsa.

DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 3/5/2025

(Artikel ini diambil daripada laman web rasmi HarakahDaily yang diterbitkan pada 3 Mei 2025)

No Comments

    Leave a Reply