Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan telah peruntukkan Agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan. Walau bagaimanapun agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Perlembagaan walau bagaimanapun tidak memberi takrif yang jelas apa yang dimaksudkan dengan perkataan ‘Islam atau ‘undang-undang Islam’.Perbezaan tafsiran ini sekiranya ditafsir dengan penafsiran yang positif sama ada dalam kalangan pengamal undang-undang syariah dan sivil tidak akan timbul isu penafsiran yang memberi implikasi kepada rakyat atau berat sebelah kepada mana-mana individu dan organisasi.
Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan sebenarnya membawa erti agama Islam mempunyai kedudukan yang istimewa dan utama. Ini lebih difahami dengan melihat kepada beberapa peruntukan lain dalam Perlembagaan Persekutuan. Peranan Islam dalam Perlembagaan juga digalas oleh Yang di-Pertuan Agong. Baginda sebagai ketua agama terikat kepada Perkara 3(5) Perlembagaan Persekutuan.
Di dalam perkara ini menyebut tiga institusi berkaitan Islam di Wilayah Persekutuan iaitu Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam; Parlimen sebagai badan perundangan yang berhak membuat undang-undang berkaitan hal ehwal Islam dan Majlis Agama Islam, institusi yang dibuat oleh Parlimen melalui sebuah undang-undang untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam perkara berkaitan Islam.
Yang di-Pertuan Agong juga perlu melafazkan sumpah lafaz jawatan sebagai Ketua Agama yang telah diperuntukkan di Bahagian 1 Jadual Keempat di mana baginda perlu memulakan dengan lafaz sumpah Wallahi, Wabillahi, Watallahi.
Berdasarkan intisari lafaz ini baginda berikrar dengan sesungguhnya dan mengaku taat setia menjalankan dengan adil pemerintahan di Malaysia mengikut undang-undang dan Perlembagaan dan baginda berikrar mengaku memelihara setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri.”
Seterusnya, Perlembagaan Persekutuan juga mentakrifkan orang Melayu adalah yang beragama Islam. Takrifan ini jelas menunjukan bahawa ‘Melayu’ dan ‘Islam’ adalah dua unsur yang tidak boleh dipisahkan.
Takrif ini dapat dikuatkan lagi berdasarkan kes Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah [2004] 2 MLJ 119. Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa takrifan ‘Melayu’ dalam Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan membawa erti bahawa orang Melayu mesti kekal beragama Islam sehingga akhir hayat dan tidak boleh murtad daripada agama Islam.
Jika dilihat dalam penghakiman kes Lina Joy jelas tujuan asal Perlembagaan Persekutuan ialah meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan. Usaha untuk memberikan tafsiran positif Islam dalam Perlembagaan ini sepatutnya dipuji kepada pengamal undang-undang yang sangat berjasa bertahun lamanya kepada rakyat Malaysia.
Seperti yang dilakukan oleh Almarhum Prof Ahmad Ibrahim sebenarnya memberi sumbangan besar kepada umat Islam dengan hanya mengubah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan. Ini turut memberikan bidang kuasa ekslusif kepada Mahkamah Syariah. Justeru, tafsiran Islam dalam Perlembagaan Persekutuan ini penting dikaji semula kerana ia memberi impak besar kehidupan masyarakat Islam bukan sahaja dari sudut hal ehwal dan adat tetapi meliputi segala aspek kehidupan harian.
Syatirah Badri
Pegawai Penyelidik
Yayasan Kedah Sejahtera

No Comments