KUALA LUMPUR, 28 JUN – Di era dunia maya yang bergerak pantas, konten ataupun kandungan ayat sesebuah artikel atau bahan tidak wajar dipandang enteng.
Hanya dengan satu ayat ‘power’, mampu merubah jiwa dan pegangan manusia jika ia digunakan sebaiknya untuk ‘menembak’ dengan niat yang baik semata-mata untuk meraih pahala di sisi Allah.
Inilah mesej utama yang dibawa dalam Bengkel Bina Content Impactful 2.0, anjuran Jabatan Media Baharu, Lajnah Penerangan dan Media Baharu, Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) yang berlangsung di Hotel Olympic, Kuala Lumpur, semalam.
Seawal jam 8 pagi, suara muslimat bergema memecah dewan berkapasiti 50 orang peserta dengan aura semangat mewakili tujuh buah negeri terdiri daripada Terengganu, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Wilayah Persekutuan yang hadir sebagai pejuang konten berjiwa.

Masa emas hampir setengah hari dimiliki mereka digunakan sebaiknya bergulat dengan idea, mengasah kemahiran, dan menggenggam tekad untuk menjadi penyampai kebenaran di alam digital.
Dua ikon dakwah digital, Sufi Kamari (Bro SK) dan Ahmad Zulkarnain Ghazali (Bro Zack) membimbing peserta dengan pendekatan yang bukan hanya teknikal, tetapi juga berteraskan nilai dan kesedaran dakwah.
Para peserta didedahkan dengan ilmu dan teknik bagaimana sesebuah konten boleh menjadi wasilah hidayah, jika dihasilkan dengan niat, strategi dan isi yang betul.
Ujar Bro Zack, menghasilkan konten yang mampu tular memang hebat. Tapi menghasilkan konten yang menghidupkan hati dan membangkitkan jiwa, itu jauh lebih mulia dan mencabar.
“Konten bukan soal view, tapi soal amanah. Apa yang kita tanam dalam fikiran dan hati manusia hari ini, akan membentuk ummah esok,” tegasnya, yang turut menyentuh pentingnya kejujuran dalam mencipta kandungan.
“Bila konten disuntik roh, ia jadi peluru paling tepat bukan untuk membunuh, tapi untuk menyedarkan, membangkitkan, dan membawa manusia kepada Tuhan,” tambahnya, dalam slot penyampaian beliau yang sarat dengan gaya bersahaja tapi menyentap.
Sementara itu, Bro SK ketika mempersembahkan slot beliau turut menekankan kepentingan ‘gerakan awal’ mencipta sesebuah kandungan harus dimulai dengan ‘tembakan’ mula dari diri sendiri.
“Apa paling penting? Bukan nombor dua atau tiga. Soalnya, nombor satu, anda buat atau tidak?” – satu tembakan padu dari Bro SK yang disambut angguk penuh azam para peserta.
Menurut Pengarah Program, Puan Nurul Ashidah Johari atau lebih dikenali sebagai SS (Simple Shida), program ini membuktikan bahawa wanita Muslim hari ini telah melangkah jauh dari barisan belakang.
“Muslimat bukan lagi sekadar penonton dunia digital. Mereka kini pemain utama, mencorak naratif kebaikan dengan konten yang mengajak, bukan menghukum,” ujarnya
Dengan kehadiran 50 peserta yang mewakili pelbagai latar belakang dan negeri, bengkel ini diharap mencapai sasaran dan mampu meniup roh baru kepada barisan srikandi digital.
“Paling penting, peserta bukan sekadar pulang dengan ilmu, strategi dan keberanian tetapi juga kesedaran bahawa setiap ‘post’, ‘caption’ dan ‘video’ adalah ladang pahala yang akan terus hidup selama ia menyentuh hati manusia,” ujarnya puas.

No Comments