Agama

Rahsia Azan

AZAN

Lafaz-lafaz azan yang mudah itu, pada hakikatnya mengandungi falsafah dan dasar-dasar hidup yang mendalam. Lafaz Allah Akhbar “الله اكبر” menyampaikan maksud Allah Maha Besar yang menentukan sifat Yang Maha Agung,Yang Maha Mulia dan yang Maha Besar itu hanya kepada Allah SWT. Tuhan semesta alam sahaja. Tiada manusia walaupun yang berada dipuncak kekuasaannya.

Tiada sesuatu yang lain dapat mengatasi keagungan dan kedaulatan Allah SWT di alam ini, apabila hakikat ini menyerap ke dalam jiwa seseorang maka dengan sendirinya ia akan melahirkan kesedaran bahawa perhubungan dan pertalian kasih sayang dengan Allah SWT merupakan sesuatu yang paling penting,yang paling mulia,yang paling kudus dalam kehidupan manusia,pengertian Allahu Akhbar menamakan keberanian, keyakinan, ketabahan, kegigihan dan keazaman untuk terus tegak di atas agama Islam yang paling benar tanpa takut kepada kuasa sesiapa pun selain Allah SWT.

Lafaz syahadah “اشهد ان لا اله الاالله” Aku mengaku bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah “واشهد ان محمد رسول الله dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Lafaz syahadah ini adalah pengakuan mutlak dari seseorang mukmin bahawa dia tidak akan menyembah atau beribadah melainkan kepada Allah SWT dan untuk Allah SWT bahawa dia tidak akan tunduk kepada selain darinya kecuali tunduk dan patuh hanya kepada Allah SWT. Dan dia berjanji tidak akan mencari pimpinan serta hidayat melainkan pada Allah SWT.

Lafaz syahadah واشهد ان محمد رسول الله bukan sekadar mengajak manusia mengakui Nabi Muhammad itu pesuruh Allah SWT malah mengajak kita menurut jejak langkah Rasulullah SAW dan mematuhi seluruh ajaran-Nya serta menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan kita. Manusia yang tidak patuh akan membiarkan diri mereka diseleweng oleh pemimpin duniawi dan pemimpin idealogi. Mereka tidak seharusnya membiarkan pemikiran mereka dipesong oleh pemikiran falsafah, teori, pendapat, idea dan ajaran-ajaran serta ezim-enzim yang lain yang bertentangan dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Lafaz “” حى على الصلاة marilah bersama-sama mendirikan solat dan marilah bersama-sama rebutkan keuntungan merupakan matlamat dari seruan-seruan sebelumnya apabila kita telah menerima pengertian Allahu Akhbar iaitu pengertian bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT dan pengertian kerasulan Nabi Muhammad SAW. Maka, perlulah kita membuktikan penerimaan pengertian-pengertian itu dengan ibadah solat dan amalan kebajikan yang lain membawa keuntungan yang tulen.

Dalam Islam, iman tidak boleh dipisahkan dari ibadah dan amalan. Iman tanpa ibadah dan tanpa amalan sama seperti pokok tanpa daun-daun dan buah-buah, kerana ibadah dan amalan yang soleh merupakan penyertaan dan penjelmaan dari iman yang sejati.

Disaat manusia sedang asyik dengan urusan kehidupan, seruan “” حى على الصلاة dan “حى على الفلاخ” mengajak mereka berhenti sejenak mendirikan solat untuk menghadap Allah SWT dan untuk menguatkan keazaman mereka bagi melaksanakan amalan yang banyak memberi keuntungan yang hakiki.

Disaat manusia sedang menghadapi detik-detik hidup yang sukar, detik-detik yang muram, detik-detik hidup yang mencemaskan, panggilan azan “” حى على الصلاة dan “حى على الفلاخ” mengajak mereka menyembah Allah SWT bagi memohon kekuatan jiwa, ketabahan hati, kekerasan kemahuan dan keheningan pemikiran untuk mengatasi detik-detik hidup yang hitam, muram dan cemas itu.

Panggilan “” حى على الصلاة dan “حى على الفلاخ” itu merupakan panggilan kasih sayang Allah SWT yang sentiasa menyintai para mukmin, ia merupakan seruan yang abadi, bahawa kebahagian dan keberuntungan hidup manusia yang sebenar adalah terletak pada hubungan yang mesra dan kecintaan kita kepada Allah SWT.

Seruan ini mengajak manusia untuk berhimpun, mengajak kita ke arah perpaduan umat Islam yang suci dan murni untuk sama-sama menegakkan KEBENARAN ISLAM iaitu manusialah satu-satunya makhluk yang diciptakanNya untuk dijadikan Khalifah di atas muka bumi ini.

Lafaz khusus dalam azan Subuh “الصلاة خير من النوم” solat itu lebih baik daripada tidur, membangkitkan muslim yang cintakan Allah SWT dari tilam dan balutan selimutnya di awal pagi untuk bersyukur kepada Allah SWT yang telah melanjutkan usianya sehari lagi. Boleh jadi kita sudah pun telah tiada. Dengan kasih sayang-Nya, Allah SWT telah memberikan kita peluang dan ruang untuk terus hidup dan melakukan sebanyak mungkin amalan serta kebajikan sebagai bekalan di akhirat kelak.

Solat lebih baik dari tidur adalah satu hakikat yang seharusnya diterima oleh manusia dan satu hakikat yang amat jelas kepada para mukmin yang cintakan Allah SWT. Tidur hanya membawa insan ke dalam impian yang berlarutan dan tidak bertepi. Tetapi solat itu membawa manusia berdepan dengan Khalik-Nya diawal pagi. Membawa manusia dalam penyebaran rohani yang qudus. Seruan azan ini akan menggerakkan hati manusia untuk terus bangun dan bersegera berwudhuk seterusnya mendirikan solat.

Setiap lafaz yang diucapkan oleh bilal, harus disambut oleh para pendengar dengan lafaz yang sama seolah-olah turut membenarkan, mengiyakan lafaz-lafaz itu. Hanya dua lafaz azan sahaja iaitu ” ” حى على الصلاة dan “حى على الفلاخ” perlu disambut dengan ungkapan : لاحول ولاقوة الابالله “Tiada upaya melainkan dengan pertolongan Allah SWT”

Jawapan-jawapan ini menamakan kesedaran dan keyakinan bahawa jalan yang menuju ibadah solat dan jalan yang menuju amal soleh merupakan jalan-jalan yang sukar, yang perlu ditempuh dengan daya upaya dan keazaman yang kukuh serta dengan rasa keikhlasan yang tinggi. Untuk mendapatkan daya tenaga itu, ia harus sentiasa mempunyai hubungan mesra dengan Allah SWT supaya setiap jejak kita akan diberi hidayah oleh Allah SWT.

Setelah azan selesai dikumandangkan,setiap pendengar disunatkan berdoa :

اللهم رب هذه الدعوة التامة والصلاة القائمة ءات محمدا الوسيلة والفضيلة وابعثه مقاما محمودا الذي وعدته

Wahai tuhan yang mengandungi seruan yang sempurna ini, dan menerima solat yang didirikan manusia, kurniakanlah darjat kehampiran dan kelebihan kepada Nabi Muhammad SAW dan bangkitkannya kedarjatan yang terpuji yang telah Engkau janjikan kepadanya,”

Azan bukan semata-mata seruan dan panggilan sahaja tetapi ia merupakan pengistiharan yang tidak rapuh dek zaman. Pengisytiharan yang melambangkan suara Allah SWT yang memanggil manusia pulang ke pangkuanNya Yang Rahman dan Yang Rahim. Pengisytiharan yang dilakukan secara keseluruhan telinga alam dapat didengari manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan, gunung-ganang, getaran bunyi, ia akan menjadi gelombang suara yang berdengung mengembara diangkasa lepas sehingga memenuhi ruang alam.

Para muazzin yang mengumandangkan azan itu diberi pahala yang amat tinggi nilainya. Antara hadis-hadis yang menerangkan kelebihan mereka ialah :

عن ابي هريرة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : لو يعلم الناس ما في الأذان والصف الاول ثم لم يجد والا أن يستموا ولو يعلمون ما في التهجير لايستبقوااليه ولو يعلمون ما في العتمة والصبح لأتوهما ولوحبوا

Dari Abu Hurairah r.a,Rasulullah SAW telah bersabda : Andainya orang ramai tahu kelebihan azan dan saf pertama solat Jumaat kemudian mereka tidak boleh mendapatinya melainkan dengan mengundi nescaya mereka akan berlumba-lumba mengundi dan andainya mereka mengetahui kelebihan solat isyak dan solat subuh nescaya mereka ikan segera keluar mengerjakan kedua-duanya walaupun merangkak.

عن البراء بن عازب أن نبي الله صلى الله عليه وسلم قال : ان الله وملائكته يصلون على الصف المقدم والمؤذن يغفرله مد صوته ويصدقه من سمعه من رطب ويابس وله مثل أجر من مصلى معه (رواه عمدوالنسائى)

Dari Al Bara’ bin Azib,Nabi SAW bersabda : “Sesungguhnya Allah SWT dan para malaikatnya mengucapkan ucapan sejahtera ke atas barisan pertama (solat berjemaah) dn muaazin itu, diampunkan dosanya sepanjang gelombang suaranya,azannya itu diakui benar oleh setiap pendengarnya baik yang basah atau yang kering (makhluk hidup dan makhluk beku) dan dia akan mendapat pahala sebanyak pahala orang yang solat bersama-sama dengannya.

Sementara menunggu iqamah,kita digalakkan mengisi waktu lapang diantara azan dan iqamah dengan apa-apa sahaja doa yang disukai oleh kita.Segala-galanya itu dapat dipenuhkan oleh Allah SWT dalam ruang waktu istimewa yang disanggupi Allah SWT untuk menerima doa-doa para hamba-hambaNya.

عن أنس أن النبى صلى الله عليه وسلم قال : لايرد الدعاء بين الأذان والاقامة (رواهابو داود والنسائي والترمزي)

Dari Anas,nabi Muhammad SAW bersabda : “Tidak ditolak doa yang dipenuhkan diantara azan dan iqamah”

IQAMAH

Kini masa yang ditunggu-tunggu itu telah tiba, bilal tampil iqamah dengan suara yang agak cepat. Jika pada azan ia menyebutkan lafaz-lafaz suci itu dua kali, tetapi semasa iqamah ia menyebutkannya satu-satu kali sahaja kecuali pada lafaz tambahan yang berbunyi (قد قامت الصلاة) ia menyebutnya dua kali. Erti lafaz itu “sembanyang telah tegak” atau “sembahyang telah berlansung” ertinya dengan gerak-geri yang akan dilakukan nanti dan dengan bacaan-bacaan yang akan diucapkan nanti terlaksana upacara sembahyang yang penuh erti itu.

Nyatalah bahawa iqamah itu merupakan ulangan azan dan ulangan itu memanglah wajar dikumandangkan sebelum dimulakan sembahyang untuk mengukuhkan ingatan kita terhadap Allah SWT dan terhadap Allah dan terhadap pengertian dan falsafah yang murni yang terkandung dalam lafaz-lafaz azan.

Pada iqamah, para pendengar disunatkan menyebutkan (اقامها وادامها) ketika bilal menyebut ucapan (قد قامت الصلاة) lafaz itu bererti semoga Allah SWT “tegakkannya dan abadikannya” satu doa yang mengharapkan semoga syiar sembahyang itu tetap teguh dan abadi dalam kehidupan kita para mukmin. Begitu juga kita disunatkan membalas dengan lafaz لا حول ولاقوة الا بالله”” apabila bilal menyebut “”حى على الفلاح sebagaimana kita lakukan pada azan.

Kini imam mengambil tempatnya dan para makmum berdiri dibelakangnya sambil membetulkan saf dan barisan seluruh fikiran ditumpukan disekitar sembahyang, pandangan mata ditutupkan ke tempat sujud niat dibetulkan untuk mengerjakannya sembahyang yang tulus ikhlas kerana Allah SWT, kenangan dan perasaan berpusat pada kebesaran dan keagungan Allah SWT.

Kini imam dengan suaranya yang lantang mengucapkan “takbiratul ihram” iaitu ucapan Allahu Akhbar yang akan memindahkan diri kita dari alam nyata ke alam penghadapan dengan hadrat Allah SWT yang kudus, ucapan itu amat sesuai menjadi anak kunci dan roh solat kerana seseorang yang benar-benar mahu menghadap Allah SWT perlulah menolak segala kebesaran yang lain dari Allah SWT. DIA lah sahaja yang Maha Besar yang wajar disembah, ditaati, dijunjungi dan dipenuhi dan segala sesuatu yang lain itu kosong belaka dan fana belaka.

Dalam solat setiap anggota menyatakan keabdiannya dan anggota yang pertama membuat gerakan yang menunjuk penyerahan diri dipatuhi secara mutlak ialah dua tangan yang diangkat hampir sejajar dengan kedua-dua bahunya dan serentak dengan itu ia mengucapkan Allahu akhbar dengan niat solat yang bulat dan jujur.

Kalimah “Allahu Akhbar” yang sentiasa bergema disetiap gerak-geri solat merupakan kalimah-kalimah yang mengingatkan kita bahawa seluruh detik solat pastilah diselubungi perasaan mengagungkan Allah SWT.

Kini kalimah takbiratul ihram yang agung itu telah kita ucapkan dengan penuh khusyuk. Setelah itu dua tangan kita berkuasa telah dibeku dibawah dada tanda penyerahan yang bulat kepada Allah SWT. Dua kaki yang cergas itu telah dipaku dilantai, kepala dan dua mata ditundukkan ke bawah dan seluruh badan tegak dihalakan ke arah kiblat. Seluruh kedudukan akan menyatakan sifat-sifat hamba yang hina dina, yang lemah dan tidak berdiri di depan Khalik yang Maha Agung.

Kini ucapan Allahu Akhbar yang pertama itu merupakan masa penceraian kita dengan alam sekeliling yang hingar. Masa perpisahan kita dengan kesibukan duniawi dan segala nikmat dan malapetakanya. Seluruh jasmani dan rohani kita telah berpindah ke ruang alam yang “kudus” alam menghadap hadrat Allah SWT Yang Maha Agung yang penuh nikmat yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata yang terbatas.

About Author

Ustazah Fadhlina merupakan tenaga pengajar tauliah MAIK Kelantan. Beliau juga salah seorang Penerbit Rancangan Radio Klate Kita, Radio Digital Online dan antara penulis sukaralewan di bawah Jabatan Informasi dan Teknologi Maklumat Dewan Muslimat PAS Malaysia.

No Comments

    Leave a Reply