Agama

Daging korban tidak disedekah kepada orang miskin

HENDAKLAH diketahui bahawa wajib sedekahkan akan sebahagian daging korban kepada faqir miskin maka jika kesemuanya diberikan kepada orang kaya nescaya korbannya itu tidak memadai tetapi jika sebahagiannya sudah disedekahkan kepada orang miskin dan sebahagian lagi dihadiahkan kepada orang kaya maka hukumnya adalah harus dan memadai.

Ketahuilah bahawa tujuan utama ibadah korban itu ialah bersedekah daging kepada orang miskin dan orang susah kerana mereka tidak mampu membelinya dan bukan tujuannya untuk makan sendiri sesuka hati bersama kaum keluarga dan sahabat handai.

Dan yang afdal ialah tuan korban memakan sedikit daripada daging korbannya kerana mengambil berkat daripadanya.

Firman Allah Taala:

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Ertinya: “Maka kamu makanlah sebahagian dari daging korban itu dan berilah sebagai makanan kepada orang faqir yang kesusahan.” (Al-Haj : 28)

Berkata Imam Nawawi:

وَالْأَصَحُّ وُجُوبُ التَّصَدُّقِ بِبَعْضِهَا

Ertinya: “Dan pendapat yang paling sahih ialah wajib sedekahkan (kepada orang miskin) akan sebahagian daging korban.” (Kitab Minhaj At-Talibin)

Dan berkata Syeikh Khatib As-Syarbini:

(وَالْأَصَحُّ وُجُوبُ التَّصَدُّقِ بِبَعْضِهَا) وَلَوْ جُزْءًا يَسِيرًا مِنْ لَحْمِهَا بِحَيْثُ يَنْطَلِقُ عَلَيْهِ الِاسْمُ عَلَى الْفُقَرَاءِ

Ertinya: “Dan pendapat yang paling sahih ialah wajib sedekahkan akan sebahagian daripada daging korbannya walaupun sedikit sekira-kira telah dinamakan bersedekah ke atas faqir miskin.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)

Dan berkata Syeikh Al-Ghamrawi:

وَالأَصَح وجوب التَّصَدُّق بِبَعْضِهَا وَلَو جُزْءا يَسِيرا من لَحمهَا

Ertinya: “Dan yang paling sahih ialah wajib sedekahkan sebahagian daging korban itu walaupun sedikit daripadanya.” (Kitab As-Siraj Al-Wahhaj)

Wallahua’lam. –  HARAKAHDAILY 11/6/2025

(Tulisan ini diambil daripada laman Facebook Ustaz Azhar Idrus mengenai Fiqah Korban Bahagian Kesepuluh dengan tajuk seperti di atas.)

No Comments

    Leave a Reply