Dalam banyak-banyak destinasi yang kita jejaki, tiada satu pun mampu menandingi rindu yang mendalam kepada Tanah Suci. Benar, terasa seolah-olah hati ini tertinggal di sana.
Rasa syahdu, rindu, dan syukur berpadu indah, hinggakan tidak pelik apabila ramai jemaah menitiskan air mata saat menunaikan tawaf wada’. Sebuah perpisahan yang begitu menyentuh jiwa.
Lebih-lebih lagi ketika haji, kita telah lama bermukim di sana, sehingga lorong-lorongnya terasa begitu dekat di hati. Kita mula mengenali jalan mana yang biasa dilalui, sudut masjid yang sering disinggahi, kedai yang jadi pilihan, bahkan tandas masjid yang sering dikunjungi… Seolah-olah kita sudah mula hidup dalam ritma kehidupan Nabi. Seakan-akan, kita telah menjadi sebahagian daripada orang kota suci ini. Menjadi ‘orang Mekah’.
Maka tidak hairanlah jika ada yang berulang kali kembali kerana bagi mereka, di situlah kampung jiwa. Di situlah rindu terubat. Di situlah hati bertemu tenang.
Ini baru dua Tanah Suci. Belum lagi jika diberi rezeki menjejakkan kaki ke Masjidil Aqsa… Entah bagaimana pula gelora jiwa yang akan terasa. Masya-Allah.
Alhamdulillah, kami telah selamat tiba di tanah air membawa rindu yang dalam. Terasa seperti masih berlegar di halaman Haram. Sukar digambarkan dengan kata-kata, namun andai kata hati terasa tertinggal, maka seorang kenalan ada berkata, ” Bawalah Mekah itu pulang di dalam hati..”
Allahu Akbar, WalilLaahilhamd.
Signing off,
Fakhrurrazi & Ilyani.
P/s: Gambar semasa di Bukit Khandamah melihat Kota Mekah, lembah yang berkat dari atas. Kredit kepada jurugambar hebat, PJ Haramain Kak Rokhaizat Rahmat . ![]()

No Comments