Fikirannya serabut. Beberapa helaian kertas cetakan bersaiz A4 berselerak di atas meja berwarna perang miliknya Zahirah. Peti kaca televisyen terpasang di ruang tamu; jauh pandangan Nenda tika menontonnya.
“Zahirah, dah azan ke ya?” soal Nenda kepada cucunya, sedikit menjerit dengan harapan cucunya menyahutnya dari kamarnya.
“Belum lagi, nenda. Em, lima minit lagi”, jam dinding hitam itu dilihatnya sebentar sebelum memaklumkan pada nenda waktu masuknya Zuhur. ‘Kejap lagi mesti dia tanya lagi’, getus Zahirah.
Nenda, warga tua lingkungan umur 80-an terus duduk menunggu waktu Zuhur tiba di kerusi sofa yang menghadap peti kaca televisyen 40 inci itu. Tubuh badannya yang kecil dan sihat itu sudah tentunya tidak menjamin kesihatan mentalnya. Semakin berusia seseorang itu, semakin luput ingatannya pada sekecil-kecil perkara yang remeh. Siaran di televisyen terus-menerus memaparkan iklan-iklan produk jualan promosi. Sudah habis satu jenama produk, bersambung pula dengan produk lain. Nenda terpaksa khusyuk menonton siaran iklan itu kerana drama cina yang digemarinya tidak bersiaran pula ketika itu. Cucunya pula kelihatan lagi sibuk untuk meminta bantuan menukar siaran rancangan lain.
Berbaki 24 jam lagi bagi Zahirah menghabiskan masanya di rumah sebelum pulang ke kampus. Draf tesis projek akhir tahunnya (FYP) masih belum siap sepenuhnya. Dua hari lagi perlu dihantarkan kepada penyelia untuk semakan. Peratus draf tesis cuma 10 %! Ah, satu habuk pun tak dapat nak hadam lagi! Mesyuarat program yang ditetapkan pada malam esok pula Zahirah sendiri perlu uruskan. Separa jerih sakit batinnya gadis anak keempat daripada sembilan itu, hanya Allah s.w.t. yang tahu. Sekejap telefon pintarnya itu dipegang, disemak group WhatsApp yang berkaitan dengan program, sekejap pandangannya dialihkan ke skrin komputer ribanya – membaca jurnal pilihan berkaitan FYP. Menjadi multitasker pada satu-satu masa tidak asing lagi bagi Zahirah. Itulah lumrah bagi seorang ahli Jemaah.
Azan Zuhur pun berkumandang, di kaca televisyen dan juga di corong-corong pembesar suara di surau-surau berhampiran kediamannya.
Belum sempat Zahirah ingin memaklumkan pada nendanya di ruang tamu, kelibat Nenda sudah pun tiada di situ. Terdengar bunyi derapan tapak kaki diseret perlahan di anak tangga. Hanya pandangan yang menyoroti kelibat nenda menuruni anak tangga. ‘Alhamdulillah, nenda pasti terdengar bunyi azan tadi. Nak solat lah tu’, fikir Zahirah. Mujur masih direzekikan Allah s.w.t. untuk mendengar kalimah-kalimah azan, bahkan di saat dirinya tenggelam dengan urusan dunia seketika sebelumnya. Zahirah lalu mendirikan solat fardhu Zuhur bersendirian di kamarnya.
Bukan tidak gemar solat fardhu berjemaah, sedangkan Nenda lah yang dah kali ke berapa menjauhkan diri daripada keramaian manusia. Mahukan privasi barangkali.
Sebuah buku berjudul ‘Himpunan Cerita-cerita Lawak’ terletak di sebelah sepasang kaca mata berwarna kelabu kekuningan di atas meja panjang di ruang tamu. Helaian demi helaian Zahirah membelek buku itu dengan harapan memberi sedikit kegembiraan buat dirinya meskipun tertawa kecil cuma. Usai makan tengahari bersama nenda, Zahirah lazimnya akan mengambil masa sebentar untuk duduk memberi peluang proses penghadaman makanan berlaku dengan baik. Kulit buku itu yang hampir pudar warna hitam dan putihnya serta lipatan-lipatan halaman yang agak lunyai itu sudah tentu memberi tanggapan pertama bahawa ianya milik Nenda. Sekadar sempat membaca sebuah cerita pendek, Nenda lalu menghampiri Zahirah yang sedang duduk di sofa kayu itu.
“Ni buku Nenda eh?” Zahirah memulakan perbualan.
Lama masa diambil Nenda untuk mengimbau semula dari mana datangnya buku itu. Zahirah tetap tersenyum memandang anak mata Nenda kesayangannya itu menantikan jawapan balas. Riak wajah Nenda yang sebelumnya muram bertukar ceria memandang wajah cucunya yang sering menunjukkan air muka kegirangan tak bertempat itu.
“Ha’ah..Nenda saja nak baca-baca. Haritu la Nenda ambil di rumah si Lut. Kita takda buat apa kan, baca la apa yang ada, Ira”, terang Nenda dengan suara lantangnya. Biarpun jarak antara mereka hanya sebelah-menyebelah, namun nada perbualan mereka perlu lebih kuat seperti jauh berbatu. Si Lut, gelaran Nenda kepada pakcik saudaranya Zahirah. Semenjak kematian arwah atuk lima belas tahun yang lalu, Nenda tidak lagi menetap di kampung halaman di Raub, Pahang. Kepulangannya ke sana hanya bermotifkan rawatan susulan kesihatan dan memungut gaji bulanan sebagai peneroka FELDA. Hari-hari selanjutnya lebih digemari beliau untuk menghabiskan masa di rumah anak-anaknya seramai sebelas orang kesemuanya. Sudah cukup seminggu di rumah keluarga Zahirah, Nenda akan beransur pulang ke rumah si Lut pula.
“Banyak juga cerita lawak dalam ni, Nenda”, Zahirah mula bercanda. Agak janggal, namun dibuatnya juga demi menawan hati satu-satunya nenek yang masih hidup antara kedua-dua belah ibu dan ayahnya.
“Eh kau nak balik dah ke esok? Belajar lagi?” soal Nenda tiba-tiba mengubah topik asal perbualan. Tak perlu hairan pun, bukan pertama kali Nenda bersikap begini. Zahirah merupakan salah seorang cucunya yang sering tidak diendahkan kata-katanya. ‘Tak apalah, layankan saja Nenda comel ni’, getus hatinya.
“Ya, Nenda. Tahun akhir dah ni. Bulan Julai ni insyaAllah habis dah”, ujar Zahirah seronok tak terkata.
“Oh yalah. Kita pun nak balik Kota dah lusa. Nanti Pakcik Lut ambil barang-barang sekali bawak balik sana”, balas Nenda, menceritakan perihal dirinya pula. Kota, panggilan kediaman Si Lut oleh Nenda yang terletak di Petaling Jaya. Jemu sudah Zahirah dibuatnya. Baru saja semalam Nenda memberitahu hal yang sama. Ulang lagi hari ini. ‘Tak apalah. Layankan saja Nenda, ya Ira’, pesan Zahirah memujuk hatinya sendiri.
“Sekejapnya cuti eh, Ira”, sambung Nenda, ingin berbual lagi.
“Eh lama juga ni, Nenda. Seminggu dah kat rumah”, balas Zahirah menyangkal kenyataan neneknya itu. Bagi Zahirah, cuti semester selama seminggu cukup lama bagi pelajar tahun akhir yang mempunyai FYP perlu dilunaskan sebaiknya. Jika diikutkan hati, mahu saja dia pulang ke kampus tiga hari lepas. Banyak urusan lain menanti di kampus. Malah, tak terbuat juga kerja akademiknya dek tanggungjawab lain pula yang dipikul menjadi awlawiyyat (keutamaan) di rumah.
“Ira ada buat projek tahun akhir, Nenda. Nak kena hantar dah ni”, cubaan menyampaikan hajat kepada Nenda.
“Projek apa?” Nenda soal kembali. Tak jelas agaknya sebutan perkataan Zahirah ni.
“Projek tahun akhir. Projek ni macam kena tulis banyak-banyak, panjang-panjang macam nak buat buku, Nenda”, terang Zahirah.
“Buat buku? Pasal apa?” soal Nenda ingin tahu.
“Pasal eksperimen. Kerja-kerja dalam makmal, Nenda. Lepas dah siap buat, kena tuliskan buat satu buku”, ujar Zahirah. Segala istilah bahasa sains perlu ubah megikut laras bahasa berbual dengan warga tua. Puas Zahirah mengulas berkenaan FYP nya dalam bahasa Melayu yang mudah difahami Nenda. Bukan mudah, tapi perlu ubah demi menawan hati Nenda.
Tersenyum lebar Nenda dibuatnya, tampak sebaris giginya penuh atas dan bawah. Anak matanya yang keperangan pudar itu mengecil hampir tertutup oleh kelopak mata dek gembira mendengarkan kisah FYP cucunya itu. ‘Alhamdulillah, bahagianya’, bisik hati kecil Zahirah. Begitu jarang sekali berkesempatan untuk berkongsi cerita dengan Nenda berdua sebegini. Kebiasaannya kakak-kakaknya saja yang berjaya menghiburkan hati Nenda. Lama sudah hidup berseorangan, pastinya mahu teman berkongsi cerita. Namun, siapa saja yang dikehendaki Nenda untuk memperdengar kisah-kisah silamnya?
“Selamatlah ya, Ira”, ringkas respon Nenda.
“Nenda doakan Ira ya supaya dapat habiskan buat projek buku ni. Pastu dapat habis belajar on time! Grad on time!” ujar Zahirah dengan nada berseloroh.
“InsyaAllah..Nenda doakan Ira dapat grad on time..dan dapat habis belajar baik-baik..pastu kahwin dapat jodoh yang baik-baik..You study hard, you success la”, kata Nenda tersenyum girang sambil mengangkat ibu jari tangan kirinya menunjukkan simbol ‘bagus’. Bahasa inggeris sudah semestinya tidak asing bagi Nenda yang membesar bertahun-tahun serta menerima pendidikan awal di negara seberang, Singapura. Ia merupakan antara asbab Zahirah teruja untuk berbual dengan Nenda kerana beliau mudah mengerti bahasa inggeris, iaitu bahasa perantara di kampusnya. Istilah yang mudah-mudah wajarlah berbanding laras istilah sains yang juga sukar difahami penjawat awam antarabangsa agaknya. Zahirah hanya mampu tersengih malu apabila Nenda mendoakan jodoh yang baik buatnya. Aduh, tak fikir lagi bab ni!
Keesokan harinya, tiba masanya Zahirah perlu pulang ke kampus menyambung perjuangannya lagi beberapa bulan. Selesai bersalaman dan berpelukan dengan ibu, ayah dan adik-beradiknya, Zahirah sengaja ingin bersalaman dengan Nenda sebagai orang yang terakhir. Kelihatan Nenda sudah pun tercegat berdiri di muka pintu rumah menantikan keberangkatan Zahirah ke stesen bas.
“Nenda, bye. Doakan Ira eh. Assalamualaikum”, ujar Zahirah perlahan di telinga Nenda sambil berpelukan dan memberi kucupan sayang di pipi penuh kedutan itu.
“Waalaikumussalam. Bye, Ira. InsyaAllah selamat jalan. Semoga Ira berjaya dunia akhirat dan dibantu Allah s.w.t.”, respon Nenda, cukup menyegarkan jiwa Zahirah yang gersang dengan bait-bait motivasi. Dua beranak itu saling berbalas senyuman kali terakhir sebelum menaiki kereta yang akan dipandu adik lelakinya ke stesen bas. Jauh di sudut hati Zahirah, teringin sekali mendengarkan nasihat yang lebih panjang daripada Nenda.
“Cepatlah, Kak Ira oii. Pukul berapa bas nya”, tegur separa menjerit adik lelakinya, Addin. Bukan tak ingat jam berapa, teguran itu sekadar mahu menggertak kakaknya untuk bergerak pantas.
“Ok Ira. Elok-elok jalan. Siap tak kerja kamu tempoh hari?” suara Ayah menghentikan drama Zahirah dan nendanya.
-bersambung-

No Comments