Travelog

Kami Dengar & Kami Patuh

Mungkin ini catatan terakhir tentang #kembaraeropah supaya di hadapan hari, ada memori & ibrah yang tersimpan. Sebenarnya, sebagaimana yang telah saya kongsikan pada mulanya saya merasa amat berat untuk menerima arahan ke Benua Eropah. Di saat mata wang negara berada dalam tahap yang rendah berbanding nilai matawang Dollar, Euro & Swiss-franc. Banyak kali memikirkan adakah berbaloi ke persidangan di sana sedangkan bumi Palestin tetap dijarah dengan rakus & kejam.

Maka, saya & suami mengambil masa congak-congak berkira-kira. Namun, apabila diberitahu ianya jaulah dakwah, tarbiah & perjuangan, maka kami pejam mata, ikhlaskan niat, tempah tiket, here we go. Kami dengar & kami patuh. Kami bawa bersama Suraya Yusof Wong yang sangat banyak membantu dari sudut teknikaliti.

Maka, bermulalah kelana di bumi asing. Antara bumi yang pernah menjadi penjarah kepada kebanyakan tanah umat Islam. Kami bermula dengan penyertaan dalam Global Refugee Forum dalam beberapa linked events mereka, seterusnya mengikuti perbincangan dalam Persidangan Small Arms & Light Weapons oleh All Parliamentary Forum.

Suatu pengalaman yang cukup berharga apabila Ahli Parlimen dari Lubnan Hon. Elias Hankach memulakan ucapan beliau dan bercerita berkenaan situasi yang amat genting di Gaza. Walaupun beliau dari sebuah parti Kristian di Lubnan, namun atas semangat solidariti & kemanusiaan, beliau menggesa gencatan senjata segara diadakan.

Setelah itu, wakil daripada Malaysia YB Dato’ Mumtaz Md Nawi telah menyambut naratif tersebut dan menyatakan pendirian Malaysia. Beliau juga memberi input berkenaan statistik korban nyawa wanita & kanak-kanak yang telah mencecah puluhan ribu di Palestin.

Semua ahli mesyuarat senyap. Hiba.

Seterusnya, wakil Ahli Parlimen Jordan bersetuju dengan pendirian Malaysia dan beliau juga tetap dengan pendirian bersama Palestin & menggesa gencatan senjata.

Naratif terus bersambut dengan Ahli Parlimen Lubnan wanita Hon. Halime dalam nada yang sama.

Saya terharu kerana Ahli Parlimen daripada Jordan mengucapkan terima kasih & tahniah kepada Malaysia atas “bold stand” yang ditunjukkan untuk Palestin. Kebetulan saya berada berdekatan beliau.

Seterusnya Ahli Parlimen dari Algeria datang ke kumpulan kami dan mengucapkan tahniah & terima kasih atas pendirian Malaysia.

Beliau juga ada menyatakan beliau sebenarnya berbelah bahagi untuk hadir ke persidangan kali ini kerana merasakan seperti tidak signifikan untuk membantu Palestin, lalu kami menyatakan perkara sama yang kami rasa 😅

Pada persidangan kali ini, tiada penentangan jelas ditunjukkan oleh negara-negara non muslim. Mungkin mereka juga merasakan perkara sama dan bersetuju dengan naratif negara-negara majoriti Muslim ini perjuangkan.

Walaupun mungkin persidangan kali ini tidak memberikan impak yang besar kepada penjarahan di Gaza, diharapkan mereka melihat solidariti wakil-wakil Ahli Parlimen daripada negara-negara majoriti umat Islam bersatu dalam naratif yang sama.

Sedikit ulasan dari Geneva:
https://fb.watch/p9vdNKiaGR/?mibextid=RtaFA8

Tambahan pula pada hari ini tular video-video daripada negara-negara Eropah yang rakyatnya menggesa untuk boikot jenama-jenama yang ada kaitan dengan penjajah di bumi Palestin. Lebih berani gesaan itu sempena krismas.

Saya belajar sekali lagi terma yang selalu kita sebutkan. Jika tak mampu semua, jangan tinggal semua. AlhamdulilLah.

Maka, saya mula berdamai dan mencintai apa yang berlaku. Saya anggap ini merupakan proses pentarbiahan. Semoga Allah redha.

Syukurnya, public transport di Geneva ini semuanya percuma. Program-program & persidangan yang kami sertai berbeza tempatnya. Jadi, untuk kami bergerak dari satu tempat ke satu tempat cukup dengan menggunakan public transport sahaja. Sangat efisien. Kami menggunakan hampir ke semua jenis public transport bermula dari tram, bas, keretapi bawah tanah & water taxi (feri).

Apabila public transport efisien, “the first & last mile” dapat dikurangkan jaraknya, orang akan berjalan daripada stesen tram ke rumah masing-masing & begitu juga sebaliknya. Tram pula diintegrasikan di jalan raya. Kereta & tram berjalan dalam laluan yang sama. Tapi punya sistem berbeza. Jadi, orang bujang di sana, fresh grad, atau baru mendirikan rumah tangga, saya rasa mereka tidak terlalu tergesa-gesa untuk membeli kereta. Kerana public transport sudah cukup untuk ke mana-mana dan ianya percuma. Jadi, tidak hairanlah anak-anak muda mampu membuat simpanan walaupun gaji tidak tinggi & mereka mampu mengembara ke serata dunia.

Saya juga terfikir, jika beginilah efisiennya pengangkutan awam di sini, cukai yang tinggi yang dikenakan oleh kerajaan mereka rasanya mereka sanggup bayar. Kerana, kemudahan itu akhirnya akan dipulangkan kembali kepada rakyat dalam bentuk pembangunan mapan. Sepanjang kami berkelana menjelajah Bandar Geneva bergerak dari satu tempat persidangan ke satu tempat yang lain, sekupang pun kami tidak bayar untuk pengangkutan awam kerana ianya percuma.

Cukup cerita di Geneva.

Pada hari ke 5, setelah habis persidangan, kami bergerak pula ke Nottingham, United Kingdom dalam misi menyampaikan taujihat & menyambung ukhuwwah bersama rakan-rakan Malaysia yang berprogram di sana. Mereka yang masih istiqamah dalam dakwah & tarbiah yang menetap di UK.

Selama 3 hari berada di sana, pelbagai program, mesyuarat, sumbang saran, taujihat & rehlah menyebabkan senyuman sentiasa terukir sehingga kini apabila teringatkan memori itu.

Kemudian kami bergerak dengan kereta, melawat Cambridge, ke Heathrow & singgah di London Bridge untuk menyambung ukhuwwah dengan aktivis Ms. Aisha Ghazi.

Setelah itu, kami kembali ke Geneva semula dan berpeluang melakukan kunjung hormat kepada Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Dato’ Nadzirah Osman.

Adinda Suraya telah menunjukkan komitmen yang cukup tinggi. Beliau membentangkan “proposal defense” pengajian master beliau pada pukul 2 pagi di Lapangan Terbang Heathrow. Epik betul 😂. Beliau tidak pernah merungut sepanjang musafir, tetap tenang. AlhamdulilLah, semoga beroleh keberkatan adikku.

Sepanjang musafir kali ini, kami banyak terhutang budi pada semua yang telah membantu dari sudut kewangan, logistik, malah ada yang memberi pinjam “winter gears”. Sangatlah membantu untuk golongan marhaen macam kami ini.

Pergerakan on ground juga amat lancar. Ukhuwwah & jaringan dengan Muslim serata dunia memberi kemudahan pada kami. Kami dibawa ke Gunung Jura secara percuma oleh Uncle Tariq & isteri untuk melihat sendiri keindahan bumi Switzerland & Perancis. Rupa-rupanya rakyat negara Eropah boleh masuk & keluar negara masing-masing dengan bebas bersahaja tanpa melalui imigresen pun. Betapa bersatunya mereka. Contohnya, kerja di Geneva Switzerland, makan tengah hari di Lyon Perancis 🤭

Untuk akhirnya, kepada sahabat-sahabat yang punya peluang untuk mengembara. Kembaralah jika ada peluang. Bina jaringan antarabangsa & luaskan ukhuwwah islamiyyah. Duit mungkin akan habis, namun pengalaman, didikan, kematangan mungkin sukar untuk didapati selepas ini.

Bak kata murabbiah saya, هذه فرصة ذهبية (ini adalah peluang keemasan) untuk mengenal dunia, meluaskan horizon, menambah ilmu & pengalaman, menambah kenalan & mengeratkan ukhuwwah. AlhamdulilLah ala kulli hal.

Kota Bharu –> KL–> Dubai –> Lyon (France) –> Geneva (Switzerland) –> Jura (France) –> Geneva (Switzerland )–> London –> Nottingham –> London –> Geneva –> Dubai –> KL –> Kota Bharu

Till we meet again Insya-Allah.

Cacatan Wanita Sejahtera – Penulisan ini telah ditulis pada Disember 2023

No Comments

    Leave a Reply