Sempena hari hijab sedunia, saya harap belum terlambat untuk berkongsikan tentang seorang tokoh muslimah yang bagi saya sangat menginspirasikan. Iaitu Merve Kavakci.
Beliau bukan pencetus hari hijab sedunia, tetapi beliau antara orang yang berani mengenakan hijab semasa pemerintahan sekular di Turki di mana larangan bertudung di negara itu sudah pun dikuatkuasakan sejak 1980 yang lalu.
Pada tahun 1999, beliau masuk ke parlimen sebagai untuk mengangkat sumpah. Tetapi kerana memakai hijab, Merve Kavakci dihina dengan biadap, diusir dari parlimen dan dilucutkan kewarganegaraan bersama-sama keluarganya. Manakala, parti yang diwakilinya iaitu Parti Fazilat juga diharamkan.
Di situ kita dah boleh nilai prinsip yang dibawa Merve Kavakci ni bukan biasa-biasa sehingga beliau sendiri berani melawan arus ketika menjadi seorang ahli politik.
Ini sebenarnya mesej penentangan kepada kerajaan zalim yang sekular. Hanya kerana seorang wanita yang bertudung, mampu menggegarkan negara sehingga tergugat kerajaan sekular itu.
Yang membuatkan saya lebih kagum, wanita hebat ini merupakan seorang Hafizah Al-Quran. Pendidikan beliau dari Universiti Harvard dalam sarjana muda dan berjaya habiskan PhD di Universiti Howard. Dan sekarang merupakan professor di Universiti George Washington.
Bukan sekadar itu, dengan kesungguhan dan keberanian yang ada, beliau menjadi pengkritik kepada kerajaan sekular Turki dan menjelajah dunia untuk menyampaikan mesej dakwah tentang hak-hak wanita Islam serta aktif memberi ceramah di universiti dunia yang terkemuka.
Antara pencapaian lain,
1. Beliau merupakan antara wanita berhijab yang diiktiraf sebagai 500 Muslim yang berpengaruh di dunia.
2. Diiktiraf sebagai wanita cemerlang oleh NAACP (National Association for the Advancement of Colored People) pada tahun 2004.
3. Mendapat pengiktirafan atas usaha untuk memajukan hak asasi manusia dan wanita Muslim oleh Persatuan Antarabangsa Wanita dan kanak-kanak pada tahun 2000.
4. Pada 2017, beliau dilantik sebagai duta hijab pertama dari Turki ke Malaysia. (Beliau mendapat kerakyatan semula di Turki)
Dan lain-lain.
Sungguh, wanita hebat ini memang menginspirasikan. Dan wajar dikagumi kerana keberaniannya. Pada beliau, perjuangan untuk berhijab bukan lagi berperang dengan nafsu seperti kita hari ini. Tapi berperang dengan pemerintah sendiri demi hak sebagai Muslim.
Wallahualam.

No Comments