Cerpen / Pembangunan Diri

Jatuh Bangun Dalam Belajar

Pernahkah anda berCINTA? Wah tetiba.

Anda mencintai seorang teruna ataupun dara. Cinta setinggi langit katanya. Tapi si teruna atau dara itu pasti tidak sempurna, ada saja ragamannya. Ada saja kelakuannya yang mencabar kesabaran.

Tapi itulah, CINTA kan. Maka apa saja kerenah sanggup ditadah.

Saya percaya, begitulah hubungan kita dengan ‘belajar’.

Belajar itu susah (bagi saya yang tak seberapa nak cerdik ni lah ).

Menuntut pengorbanan.

Banyak kali perlu menarik badan daripada katil yang empuk untuknya.

Banyak kali perlu mengeluarkan ongkos besar khas baginya. Banyak kali perlu meluangkan masa dengannya.

Persis seorang kekasih kan lagaknya?

Ada masanya dia bekerjasama dengan baik. Terasa mudah sahaja belajar itu, mudah masuk ke otak, mudah dikeluarkan kembali ke kertas.

Tapi banyak masanya dia menolak. Merajuk. Enggan mengikut arahan kita. Enggan kekal lama dalam ingatan. Sehingga kita terpaksa berjam-jam ‘memujuknya’ dengan pen dan kertas agar masuk kembali ke dalam minda.

Benar-benar seperti seorang kekasih kan?

Tapi itulah, CINTA kan. Sakit macam mana pun, menyampah macam mana pun, tetap diperjuangkan.

—————

Saya ditolak berkali-kali dalam perjuangan ini.

Padahal dahulu, saya begitu erat dengannya.

Dahulu saya begitu mudah menundukkannya. Apa yang saya minta daripadanya saya sentiasa dapat.

Saya TIDAK PERNAH kalah.

Sehingga satu masa, tiba-tiba… saya hilang segala apa yang saya pernah ada.

Entah bila dan bagaimana, saya sendiri tidak menyedari. Saya juga pelik bagaimana seorang manusia boleh hilang dirinya sendiri?

Saya jatuh dalam longkang. Saya usap lutut yang tercalar, saya bangun.

Saya jatuh pula dalam paya. Saya basuh pakaian yang berlumpur, saya bangun.

Saya jatuh lagi dalam sungai. Saya balut tangan yang berdarah, saya bangun.

Saya bangun. Lambat atau berat, SAYA. SENTIASA. BANGUN.

Kerana CINTA.

Tapi sehinggalah… saya akhirnya jatuh ke laut dalam. Gelap. Tiada orang boleh menarik tangan kerana tiada yang pernah sampai ke laut itu. Saya mahu bangun. Saya mahu keluar.

Tapi saya kalah.

Saya akhirnya kalah.

Saya berhenti melawan.

Saya tidak lagi nampak apa pentingnya saya terus bangun kalau akhirnya jatuh juga.

Waktu ini, sudah tiada CINTA dalam hati saya.

Saya tidak tahu lagi apa yang perlu dilakukan. Maka saya biarkan diri terus dibawa gelombang. Sehinggalah saya sampai ke satu destinasi.

Saya tidak pernah mahu berada di destinasi itu. Saya membencinya. Sejak awal mula lagi saya yakin saya tidak akan boleh bertahan dalamnya.

Saya kalah lagi. Kalah dengan minda sendiri.

Maka saya teruskan sahajalah hidup di destinasi itu. Merungut, mengeluh. Walaupun masih berjalan, tapi sudah tiada CINTA.

Saya hidup seperti robot, belajar tanpa makna. Asal habis sudahlah. Asal merangkak jadilah.

Ini bukan saya.

Dahulu saya tidak begini.

Saya cuba ingat kembali. Dahulu pun saya banyak cabaran. Dahulu pun saya banyak jatuh. Tapi kenapa saya masih boleh bangun?

Saya akhirnya sedar. Sedar ini ialah lanjutan kisah saya dengan kekasih lama saya: ‘belajar’. Saya sendiri yang memilih untuk memutuskan hubungan dengannya.

Saya sendiri yang berkata bahawa “Sudah tidak ada lagi CINTA!”

—————

Kini saya sedar.

Bukan keputusan hebat itu saja yang patut saya CINTA.

Tapi manisnya ilmu itu.

Jika kita hanya separuh mati mengejar keputusan hebat tanpa sebarang makna, selagi kita tidak dapatkannya, kita akan sentiasa merasa tertekan dan tersiksa.

Mustahil ada CINTA dalam jiwa yang merana!

Walaupun keputusan masih belum mencapai target, walaupun masih sering perlu berusaha lebih keras berbanding rakan-rakan lain, walaupun masih banyak tugasan yang menuntut segenap pengorbanan, walaupun kelak ditakdirkan laluan kerjaya itu berlainan—

kita akan tetap kuat. Tetap semangat.

Kerana yang kita MAHU ialah ILMU itu.

Agar kelak menjadi muslimah yang bermanfaat.

Natijahnya biar Tuhan yang tentukan.

Ingat!

Jika kita sentiasa CINTA akan manisnya ilmu, kita pasti akan KUAT sepanjang perjuangan belajar ini.

Jangan putus asa, Cinta!

-Slot Suri Hati-

No Comments

    Leave a Reply