Adakah kita mencari Allah saat kita benar-benar susah sahaja atau pun saat kita ditimpa musibah atau ujian?
Di mana kita letakkan Allah saat kita senang dan gembira?
Allah SWT akan sentiasa menanti kehadiran kita, rintihan kita, doa daripada kita malah Allah SWT akan sentiasa rindu mendengar suara hamba-hambaNya. “Kalau hambaKu mendekat kepada diriKu sehasta, maka Aku akan mendekatinya sedepa. Kalau hambaKu mendatangiKu dengan berjalan, maka Aku akan mendatanginya dengan berlari.” [HR Bukhari]
Itulah manifestasi hubungan Sang Khaliq terhadap hambaNya yang berusaha untuk sentiasa mencari Allah SWT. Dalam Al-Quran juga sering menyatakan bahawa Allah SWT itu sangat dekat dengan kita, cuma terkadang diri kita lalai dan leka dalam mengingatiNya.
Kita sering lupa kejayaan dan nikmat yang kita perolehi hari ini adalah di atas rahmat dan kasih sayang daripada Allah SWT. Kasih sayang Allah SWT begitu terasa walau kita dalam keadaan sulit sekalipun, Allah SWT tidak pernah sekali meninggalkan kita.
Firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 186;
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا۟ لِى وَلْيُؤْمِنُوا۟ بِى لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”
Allah SWT dengan penuh sifat Ar-Rahim-Nya, penyayang terhadap hamba-hambanya. Apabila kita melakukan dosa, Dia sudi memaafkan dan mengampuni segala dosa kita. Hakikatnya dosa yang kita lakukan tak terkira banyaknya saban hari. Malah diberikanNya kita nikmat bernafas dengan percuma tanpa meminta sebarang bayaran, tetapi kita masih kufur nikmat dan menjadi hamba yang tidak pernah bersyukur.
Peluang umur yang panjang adalah jalan terbaik untuk kita sentiasa bertaubat dan kembali ke jalan yang Allah SWT redha. Selagi kita masih punya masa, dakaplah cinta Allah SWT dengan sebaiknya. Balaslah cinta Allah SWT dengan penuh rasa kasih, bahawa Allah SWT menyayangi kita lebih daripada segala-galanya.
Berlarilah menuju Allah SWT dengan mengharapkan pertemuan denganNya adalah sesuatu yang dinantikan. Berlarilah dengan meninggalkan segala jahiliah yang makin berkarat di dalam diri. Berlarilah menuju Allah SWT, dengan meninggalkan segala perbuatan keji yang Allah SWT mungkar dan larang.
Janganlah kita begitu utamakan cinta dunia hingga kita ketepikan cinta yang paling agung,yakni cinta Allah SWT. Kerana redha Allah SWT itu lebih kita dambakan daripada yang lain. Jika ditanyakan soal cinta, jawapan yang terbaik adalah cinta Allah SWT, cinta yang benar-benar suci.
Semoga dengan mencintai Allah sepenuh hati, kelak kita akan bertemu denganNya dalam keadaan Dia tersenyum menyambut kehadiran kita. Aamiin Ya Rabbal A’lamin

No Comments