Perundangan

Usaha Memperkasakan Mahkamah Syariah Negeri Kedah

Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu, KDYMM Sultan Kedah telah menitahkan supaya Kerajaan Negeri Kedah menyemak semula struktur Mahkamah Syariah supaya memberi lebih ruang keadilan dalam institusi kehakiman syariah di negeri ini.

Marcapada ini, Kedah hanya mempunyai peringkat sehingga Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Kedah sahaja. Bagi Mahkamah Sivil, terdapat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan iaitu satu peringkat yang lebih tinggi dalam sistem kehakimannya. Maka, Mahkamah Syariah sewajarnya juga mempunyai satu lagi peringkat selepas Mahkamah Rayuan Syariah.

Allahyarham Professor Ahmad Ibrahim pernah mencadangkan untuk mengambil sama seperti tatacara yang dilaksanakan oleh Privy Council. Dalam konteks sistem hierarki Mahkamah Syariah ini akan diteliti oleh Kerajaan Negeri Kedah untuk disemak semula daripada susunan “three tier hierarchy” iaitu melibatkan Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah kepada susunan “four tier hierarchy” iaitu dengan ditambah satu lagi tingkatan mahkamah selepas Mahkamah Rayuan Syariah.

Maka, Negeri Kedah juga akan memiliki empat peringkat atau hierarki mahkamah iaitu Mahkamah Utama Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah. Pada masa kini, Negeri Perak adalah satu-satunya negeri yang telah melaksanakan penstrukturan semula hierarki Mahkamah Syariah kepada empat hierarki pada tahun 2018. Hal ini juga secara tidak langsung akan memperbaharui kedudukan Hakim-Hakim Syarie ke arah kedudukan yang lebih tinggi daripada semasa.

Dalam sesi penggulungan Sidang DUN Kedah Mac yang lepas, Pengerusi Jawatankuasa Agama Majlis Mesyuarat Negeri Kedah turut menjelaskan bahawa pemerkasaan undang-undang syariah Negeri Kedah akan melibatkan usaha mengukuhkan kedudukan Mahkamah Syariah dalam Undang-undang Tubuh Negeri.

Kerajaan Negeri Kedah melalui Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah sedang giat merangka pindaan tertentu bagi meletakkan suatu punca kuasa yang jelas terhadap penubuhan Mahkamah Syariah dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah.

Kesemua ini adalah sebahagian daripada usaha yang dilakukan bagi memperkasa dan mempertahankan kedaulatan Mahkamah Syariah di Negeri Kedah ini. Perlu diingati semula harapan hakim-hakim Mahkamah Syariah oleh Allahyarham Profesor Ahmad Ibrahim, katanya:

“Tanggungjawab kita ialah untuk menjalankan dan mentadbirkan undang-undang Islam supaya undang-undang Islam nyata di dalam praktiknya ialah undang-undang yang terbaik. Prejudis dan sangka buruk terhadap undang-undang Islam dan pentadbirannya harus dihapuskan.”

Tugas hakim Mahkamah Syariah dan pegawainya adalah sangat berat kerana harus menunjukkan undang-undang Islam bukan sahaja terbaik dari segi teori, tetapi dari segi amalannya juga. Ironinya Mahkamah Syariah ini dipandang enteng bukan sahaja sesetengah orang bukan Islam tetapi juga oleh umat Islam sendiri.

Justeru, usaha sebegini harus digembleng secara konsisten dan berstrategi bagi memelihara ketertinggian institusi Mahkamah Syariah di Negeri Kedah yang tercinta.

No Comments

    Leave a Reply